Tuesday, February 23, 2010

Universiti Kartun Malaya (UM)

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Tanggal Khamis (23 hb Feb) depan secara rasmi watikah perlantikan bagi kepimpinan baru MPMUM yang telah menang baru-baru ini. Secara peribadi, saya ucapkan syabas kepada yang telah berjaya memenangi hati rakyat UM.

Pun begitu, saya ingatkan amanah serta tanggungjawab di hadapan sangat besar. Bukan sekadar berjanji dalam manifesto yang lantang dilaungkan tatkala berkempen, hari ini, semua itu perlu ditunaikan.

Melalui blog sahabat saya, saudara Hafiz (yang juga menang kerusi umum), kabinet secara tidak rasminya telah dilantik melalui mesyuarat pada minggu lepas antara wakil-wakil yang menang. Apabila meneliti senarai tersebut, saya ketawa sendiri. Apa yang saya boleh sebutkan adalah sebuah 'Kabinet Kartun'.

Calon umum, calon fakulti

Bukan sengaja saya nak labelkan seumpama itu. Ia bersebab.

Ketepikan soal menang majoriti. Jika itulah tajuk perbincangannya, maka Penggerak Mahasiswa layak dengan jawatan-jawatan tersebut. Malah mereka boleh buat apa sahaja lebih dari itu.

Saya hairan. bagaimana begitu ramai calon-calon daripada fakulti yang menangnya jumlah undi antara seratus ke tiga ratus diangkat ke jawatan Majlis Tertinggi (MT). Manakala yang menjadi Yang Di-Pertua (YDP) Khairul Anwar, adalah calon umum yang menang undian terendah.

Secara tradisinya, calon yang mengisi jawatan MT adalah daripada calon-calon yang memenangi kerusi umum, kerana mereka ini diundi oleh keseluruhan mahasiswa. Seluruh fakulti mengundi calon umum. Walaupun tiada secara bertulis, mahupun perlembagaan MPM yang menyatakan calon umum mesti dipilih ke MT.

Namun, secara logiknya untuk apa dibuat pemilihan calon umum itu? Jawabnya, supaya semua mahasiswa tahu, dan calon tersebut dapat membawa suara keseluruhan mahasiswa yang memilihnya lebih tinggi. Ini berbeza dengan calon fakulti, mereka berjuang untuk kebajikan mahasiswa fakultinya dan isu disekitar fakultinya sahaja. Kebiasaan calon umum membawa agenda lebih besar, misalnya mengurangkan yuran pengajian dan sebagainya.

Tetapi, amat malang untuk sesi kali ini, calon-calon umum semuanya diletakkan sebagai ajk dibawah biro-biro. Sekurang-kurangnya, bagi membawa hasrat keseluruhan mahasiswa UM itu, berilah jawatan ketua biro. Ini tidak.

Sesi kepimpinan Aspirasi 2007/08 sebelum ini, seingat saya YDP nya saudara Affandy Sutrisno Tanjung. Ketika itu dua calon umum dari Pro-M menang undian kedua tertinggi. Saudara Shahir Aziz dan Hasbie diletakkan di jawatan timbalan setiausaha dan timbalan bendahari, jawatan MT.

Ketika sesi kepimpinan Pro-M menerajui MPMUM yang lepas, tidaklah seteruk yang disangka. Saudara Benjamin dipilih sebagai Bendahari. Kokilavani Sanmungan dilantik timbalan bendahari walaupun dia daripada Fakulti Bahasa, kedua-dua mereka daripada Penggerak Mahasiswa. Tidak ada masalah bagi Pro-M melantik mereka.

Entah macamana, saya tidak tahu atas dasar apa pertimbangan mereka melantik. Saya rasa, dendam mereka masih lagi belum padam untuk merampas MPMUM daripada Pro-M dan mahasiswa.

Permulaan kartun

Tetapi asasnya, saya boleh sebutkan ia datang dari sistem pilihan raya kampus yang tidak adil dan penuh dengan penyelewengan. Ditambah lagi dengan penggunaan sistem yang berisiko, e-voting, memudahkan lagi misi untuk melenyapkan demokrasi di kampus UM.

Bermula dengan sistem kartun, diterajui dan dikuasai oleh puak-puak kartun HEP dan akhirnya melahirkan pemimpin mahasiswa yang menduduki kabinet kartun. Cukup sempurna sebuah 'Kampus Kartun' di UM.

Saya tidak tahu bagaimana masa depan UM jika ditadbir oleh gerombolan kartun-kartun ini. Tetapi yang pastinya, rakan-rakan saya yang menang dalam PRK lepas tidak duduk diam. Kata saudara Fadzil, mereka mahu menjadi pembangkang yang berkesan. Bukan kepada Penggerak Mahasiswa semata-mata, malah pentadbir kartun HEP juga.

Monday, February 22, 2010

Kisah saya dan seorang jururawat

Catatan : Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Minggu lepas, saya ke sebuah pusat perubatan kerajaan, untuk mengambil ubat. Sakit tulang belakang yang kadang-kadang menusuk memaksa saya ke situ. Sesudah x-ray, saya diarahkan ke kaunter pengambilan ubat.

Kebetulan saya terserempak dengan sekelompok jururawat yang sedang bertugas. Wajah mereka tampak manis ceria walaupun saya tahu mereka kepenatan seharian bekerja.

Dalam banyak-banyak profesion kerja, yang saya rasa masih lagi tak dapat menandingi pengorbanan mereka, salah satunya adalah jururawat, selain guru, polis, bomba dan sebagainya.

Tanpa saya sedari, seorang jururawat bertudung duduk di sebelah saya. Bukan sebelah sangat, tapi lebih kurang jaraknya dua kerusi menunggu. Saya kira mungkin dia sedang menunggu seseorang.

Melalui pakaiannya, saya duga, dia jururawat pelatih daripada institusi di sekitar pusat perubatan ini. Beberapa rakan saya juga pernah memberitahu tentang mereka ini.

“Tunggu ubat cik?”. Suara halus menegur saya.

Saya agak tersentak. Suara itu dari jururawat di sebelah saya.

“Ya. Agak lama juga ya urusan di sini”. Saya menjawab.

“Biasalah cik, ramai patient. Kenalah tunggu giliran. Sabar sikit ya.” Dia membalas sambil tersenyum.

Mendidik manusia

“Err.. Saya nak tanya sikit boleh tak?” Saya memulakan soalan baru.

“Eh.. Boleh je silakan. Tanya apa tu encik?” Dia menjawab. Tersenyum lagi.

“Dah berapa lama cik berkhidmat sebagai jururawat?” Soal saya.

“Oh.. Dekat tiga tahun dah. Saya praktikal sekarang. Bulan lima hadapan saya tamat dan posting ke tempat lain beberapa tahun lagi.” Jawabnya.

“Mesti mencabar kerja sebagai jururawat kan?” Entah macamana soalan itu boleh keluar dari mulut saya.

Dia tersenyum. “Eh.. Tak lah. Ok je. Saya memang minat kerja-kerja macam ni” Dia menjawab, saya agak dia menjangka soalan saya itu.

“Biasalah, berhadapan dengan patient. Macam-macam jenis perangai ada. Dan macam-macam jenis penyakit. Yang penting kita boleh berikan mereka harapan dan tenang untuk terus hidup.” Dia menjawab panjang.

“Kadang-kadang kena suapkan makanan mereka. Kadang-kadang basuh najis mereka. Mereka kurang upaya, kita kena bantulah..” Katanya lagi. Senyuman tidak pernah lekang dari mulutnya.

“Jadi jururawat syaratnya mesti seorang penyabar dan penyayang, kan?” Saya bertanya lagi.

“Hmm.. Tak juga. Kalau tak seorang yang penyabar dan penyayang, pun, bila kerja jururawat, automatically dia jadi penyayang.” Ujarnya. “Sebab suasana yang akan mendidik dia jadi begitu.” Tambahnya lagi.

“Err.. Encik, saya kena pergi dulu ya. Ada patient panggil saya. Semoga cepat sembuh ya.” Ucapnya sebelum berlalu meninggalkan saya. Sejurus itu nama saya dipanggil untuk mengambil ubat.

Tak sedar masa rupanya bersembang dengan seorang jururawat. Patutlah pesakit tak jemu dengan mereka. Besar juga pengorbanan tugas mereka mendidik, menyelamatkan dan menguruskan pesakit. Seperti juga tugas seorang pendakwah untuk mendidik, menyelamatkan dan menguruskan akidah umat Islam kini.

Susahnya sama seperti mereka jururawat. Syaratnya tidak ada, bahkan automatically mesti menjadi penyabar apabila ingin menguruskan akhlak dan akidah umat. Cabarannya sama, cuma tempatnya saja yang berbeza.

Lupa saya tanyakan nama dia..

Saturday, February 6, 2010

'Dato Saifuddin menteri KPT kami'

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Datuk Saifuddin Abdullah, timbalan menteri Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menerima kunjungan kami 9 mahasiswa demonstrasi Sogo, tempoh hari.

Sebenarnya, beliau sendiri yang mahu berjumpa dengan kami. Beliau menghubungi salah seorang dari kami untuk bersemuka dengan kami dan bertanya khabar.

Pada saya, keterbukaan serta kefahaman beliau kepada hasrat dan kehendak mahasiswa sangat saya hormati dan sanjungi. Beliau memang seolah-olah ayah yang mendengar suara anak-anaknya. Lihatlah pandangan dan idea-idea beliau sebelum ini.

Banyak yang saya perolehi dari beliau, terutama nasihat serta pandangan. Beliau menghargai suara kami, tidak menghalang kami berdemo. Katanya : "Biarlah mahasiswa bersuara, kita orang dewasa kena kaji sebab apa mereka bersuara.."

Mulai hari ini, beliau kami lantik sebagai menteri Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kami. Saya pasti semua mahasiswa di luar sana juga bersetuju dan sependapat dengan kami.


Dato Saifuddin buat lawak, kami tergelak

Idris serahkan memo yang tak sampai ketika demo di KPT tempohari! Tak sampai sebab polis tangkap 2 mahasiswa, polis halang naik pejabat KPT.

Hidup..hidup mahasiswa!
Student power!

Friday, February 5, 2010

Pilihan Raya Kampus Harus Lebih Telus - Saifuddin



PUTRAJAYA: Pilihan raya kampus seharusnya dijalankan dengan lebih telus dan sistematik agar ia mampu berfungsi dengan lebih efektif sesuai dengan statusnya yang diadakan di gedung-gedung ilmu, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata pilihan raya kampus adalah proses pendidikan politik bagi pelajar, justeru ia wajar menerima sambutan hangat setiap kali diadakan.

Menurutnya, rakyat khususnya mahasiswa harus melihat pilihan raya kampus sebagai satu proses untuk melahirkan hasil atau produk yang terbaik, sekaligus memenuhi objektif yang disasarkan.

"Apa yang perlu menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ialah kalau boleh, jangan ada kerusi yang dimenangi tanpa bertanding kerana kalau ada, ini menunjukkan penyertaan mahasiswa sangat rendah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan sekumpulan sembilan pelajar dari lima buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di kementeriannya di sini hari ini.

Para pelajar berkenaan telah ditahan polis semasa berhimpun secara haram di ibu negara pada 23 Jan lalu kerana membantah proses pilihan raya kampus yang didakwa tidak adil termasuk undian secara elektronik.

Dilaporkan mereka adalah antara 200 mahasiswa dari IPTA di sekiar Lembah Klang yang menyertai bantahan tersebut.

Empat daripada sembilan pelajar tersebut ialah dari Universiti Kebangsaan Malaysia, dua pelajar dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor dan masing-masing seorang dari Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia.

Menurut Saifuddin, kementeriannya pada dasarnya berpuas hati dengan perjalanan pilihan raya di semua IPTA walaupun berpendapat ia boleh mencapai tahap yang lebih baik.

"Kesemua calon yang bertanding juga dilihat mematuhi etika dan peraturan berkempen dengan mengenengahkan isu-isu luar tanpa menggunakan isu bersifat peribadi," katanya.Mengenai tindakan yang bakal diambil ke atas sembilan pelajar terbabit, beliau berkata ia bergantung kepada budi bicara pihak universiti.

"Kementerian tidak akan mencampuri tindakan yang akan dikenakan ke atas mereka kerana ia tertakluk di dalam bidang kuasa pihak universiti, namun diharapkan ia akan memberikan keadilan kepada semua.

"Begitu juga dengan tindakan oleh pihak polis kerana kes tersebut masih dalam siasatan. Kita serahkan kepada pihak polis untuk membuat keputusan," katanya. - BERNAMA