Friday, February 5, 2010

Pilihan Raya Kampus Harus Lebih Telus - Saifuddin



PUTRAJAYA: Pilihan raya kampus seharusnya dijalankan dengan lebih telus dan sistematik agar ia mampu berfungsi dengan lebih efektif sesuai dengan statusnya yang diadakan di gedung-gedung ilmu, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata pilihan raya kampus adalah proses pendidikan politik bagi pelajar, justeru ia wajar menerima sambutan hangat setiap kali diadakan.

Menurutnya, rakyat khususnya mahasiswa harus melihat pilihan raya kampus sebagai satu proses untuk melahirkan hasil atau produk yang terbaik, sekaligus memenuhi objektif yang disasarkan.

"Apa yang perlu menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ialah kalau boleh, jangan ada kerusi yang dimenangi tanpa bertanding kerana kalau ada, ini menunjukkan penyertaan mahasiswa sangat rendah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan sekumpulan sembilan pelajar dari lima buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di kementeriannya di sini hari ini.

Para pelajar berkenaan telah ditahan polis semasa berhimpun secara haram di ibu negara pada 23 Jan lalu kerana membantah proses pilihan raya kampus yang didakwa tidak adil termasuk undian secara elektronik.

Dilaporkan mereka adalah antara 200 mahasiswa dari IPTA di sekiar Lembah Klang yang menyertai bantahan tersebut.

Empat daripada sembilan pelajar tersebut ialah dari Universiti Kebangsaan Malaysia, dua pelajar dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor dan masing-masing seorang dari Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia.

Menurut Saifuddin, kementeriannya pada dasarnya berpuas hati dengan perjalanan pilihan raya di semua IPTA walaupun berpendapat ia boleh mencapai tahap yang lebih baik.

"Kesemua calon yang bertanding juga dilihat mematuhi etika dan peraturan berkempen dengan mengenengahkan isu-isu luar tanpa menggunakan isu bersifat peribadi," katanya.Mengenai tindakan yang bakal diambil ke atas sembilan pelajar terbabit, beliau berkata ia bergantung kepada budi bicara pihak universiti.

"Kementerian tidak akan mencampuri tindakan yang akan dikenakan ke atas mereka kerana ia tertakluk di dalam bidang kuasa pihak universiti, namun diharapkan ia akan memberikan keadilan kepada semua.

"Begitu juga dengan tindakan oleh pihak polis kerana kes tersebut masih dalam siasatan. Kita serahkan kepada pihak polis untuk membuat keputusan," katanya. - BERNAMA

No comments: