Saturday, January 30, 2010

PRK UM 2010 : Satu sejarah baru gerakan mahasiswa UM (1)

oleh : Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Pilihan raya kampus Universiti Malaya yang berlaku baru-baru ini telah membentangkan satu jalan rentas baru buat seluruh mahasiswa Malaysia.

Bermula dengan ketetapan kerajaan untuk melaksanakan sistem e-undi di dalam pilihan raya kampus seluruh universiti, dan ia turut berlaku di kampus Universiti Malaya. Namun, ia terus mendapat tentangan demi tentangan dengan kebimbangan berlakunya penipuan dan penyelewengan terhadap sistem yang tidak terjamin keselamatannya.

Sekatan demi sekatan serta peraturan yang tidak masuk akal mula dibuat diperingkat Hal Ehwal Pelajar yang menjadi jawatankuasa pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa, dek kerana kebimbangan gelombang besar mahasiswa yang menuntut perubahan.

Tempoh berkempen yang selalunya selama seminggu, dipendekkan kepada dua hari. Satu peraturan yang tidak logik. Cuba bayangkan satu hari setengah sahaja adalah tempoh untuk menyelesaikan kelulusan poster dan banner kempen. Sudahnya, banyak mana lagi waktu untuk berkempen?

Penyelewengan dalam sistem e-undi

Menjelang hari pengundian, bantahan terhadap sistem e-undi di dalam pilihan raya terus diteruskan. Kehadiran Dato' Saifuddin Abdullah merasmikan speaker corner di UM terus diasak mahasiswa apabila memorandum dihantar sebagai desakan tuntutan mansuhkan sistem e-undi.

Hari pengundian

Sekitar awal pagi hari pengundian, laporan diterima bahawa wujudnya kebimbangan keselamatan dan kerahsiaan pengundian di kolej kediaman kelapan (Kinabalu), apabila paparan komputer untuk mengundi dapat dilihat daripada luar. Di situ juga seramai dua mahasiswa penghuni kolej berkenaan gagal mengundi apabila nama mereka tidak tersenarai di dalam daftar pemilih kolej tersebut.

Keraguan dan kebimbangan terus berlaku. Ketika jam 4.05 petang, laporan diterima berlakunya server down di enam buah komputer di kolej kediaman kedua belas (Raja Dr Nazrin Shah). Hampir 30 pelajar terhalang daripada mengundi. Hampir setengah jam tergendala, sistem diambil-alih oleh seorang pegawai kolej berkenaan yang tidak berautoriti dalam sistem.

Jam 5 petang, satu lagi laporan diterima juga berlaku server down kepada komputer-komputer untuk mengundi di pusat mengundi kolej kediaman keempat dan sekali lagi berlaku di pusat mengundi di fakulti ekonomi dan pentadbiran (FEP). Ia turut mengalami masalah yang sama.

Menjelang pengumuman keputusan

Sekitar jam 6.30 petang, mahasiswa mula berkumpul di hadapan Dewan Tunku Canselor (DTC) bagi menunggu keputusan pilihan raya yang dijangka akan diumumkan oleh Naib Canselor Datuk Ghauth Jasmon.

Jam 7 petang, Naib Canselor mengumumkan keputusan tidak rasmi. 21 kerusi dimenangi kumpulan Penggerak Mahasiswa manakala 17 dari Pro-Mahasiswa serta 3 kerusi dimenangi oleh bebas.

Keputusan yang diragui

Meneliti keputusan pilihan raya tersebut, mula wujud keraguan dikalangan mahasiswa. Sebagai contoh seperti di fakulti pendidikan, beza undi hanya 3 undian sahaja. Ditambah lagi dengan laporan-laporan yang diterima ketika pengundian yang dijalankan sedari pagi tadi.

Dengan keraguan tersebut, kumpulan Pro-Mahasiswa membuat bantahan terhadap keputusan tersebut. Bahawa wujudnya penipuan dan penyelewengan yang jelas di dalam sistem e-undi di dalam pilihan raya kali ini.

Keraguan dapat dihidu, apabila jawatankuasa bantahan yang diketuai oleh Dato' Azarae, Timbalan Naib Canselor HEP bertindak cuba menolak keseluruhan bantahan-bantahan daripada Pro-Mahasiswa. Justeru itu, keputusan diambil bahawa perlunya bertemu dengan Naib Canselor pada malan itu dengan kadar segera bagi menjelaskan status perjalanan pilihan raya yang kelihatan didominasi oleh HEP.

Lalu perarakan penyokong-penyokong mahasiswa mula beralih daripada dataran Dewan Tunku Canselor (DTC) ke pejabat Naib Canselor di Canseleri. Desakan perlu dibuat agar Naib Canselor turut campur tangan dalam pilihan raya ini dan TNC HEP perlu bertanggungjawab ke atas penyelewengan yang telah berlaku.

(Bersambung)

Akan datang : Mahasiswa Tawan Canseleri

No comments: