Saturday, January 2, 2010

Demokrasi kampus: Tiada apa yang boleh diharapkan pada tahun baru 2010

Sedih dan sungguh memalukan. Itu sahaja ungkapan yang boleh saya luahkan tatkala menerima email terakhir daripada Prof Abdul Aziz Bari jam 1 petang semalam. Email itu menyebut beliau mendapat surat amaran daripada pentadbiran UIAM agar tidak menyertai forum demokrasi kampus.

Apalah yang boleh dikatakan lagi dengan demokrasi kampus kita? Sudahlah mahasiswa dibelenggu dengan akta AUKU, disekat bersuara. Hari ini sekatan itu pergi pula kepada ahli akademik.

Kali ini, saya menjangkakan, kumpulan pro-HEP benar-benar mahu merampas semula kampus daripada kelompok pro-kebajikan mahasiswa. Memang serius. Melalui maklumat dalaman yang saya terima di UM, figure-figure penting yang memenangkan kumpulan pro-Hep ketika dahulu, akan turun semula. Satu peringatan buat pro-mahasiswa.

Tidak waras

Saya tidak tahu, tahap kewarasan apa yang diguna-pakai oleh mereka ini. Kenapa begitu takut untuk membenarkan mahasiswa memberi pandangan. Mengapa begitu pengecut sehingga menggunakan ugutan lucut jawatan kepada ahli akademik yang lantang menyokong kebenaran.

Kali terakhir seingat saya, mahasiswa disekat daripada berforum adalah ketika berlangsungnya wacana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang membincangkan mengenai AUKU. Mahasiswa yang datang dari luar semuanya dihalang dan disekat masuk. Pintu pagar dikunci dari dalam. Pengawal keselamatan menahan pelajar dengan bermodalkan kata-kata “Saya menjalankan arahan”.

Paling terbaru, adalah penggunaan sistem e-voting di dalam PRK akan datang. KPT dan HEP berselindung disebalik ungkapan penggunaan sistem yang lebih mudah dan jimat. Semua ini ilusi dan penipuan terang-terangan kepada mahasiswa. Dan mereka perlu bertanggungjawab dengan pencemaran demokrasi kampus yang berlaku ini.

E-voting dan mengundi di bilik air

HEP jangan jadi bodoh setelah membodohkan mahasiswa. Cukuplah kebodohan itu datang dari mereka sahaja. Jika nak mudah mengundi, saya cadangkan buat undian secara SMS. Boleh mengundi di mana-mana, lagi mudah dan senang. Dalam bilik air pun boleh mengundi. Sebelum tidur, sebelum mata terpejam pun boleh taip undian kepada siapa.

E-voting jelas membuka ruang lebih tercemarnya demokrasi kampus. Kerahsiaan dan jaminan tiada. Setakat cakap bolehlah kerana benda belum terjadi lagi. Siapa boleh jamin sistem tidak diceroboh oleh orang lain?

Dan sekatan kepada forum baru-baru ini, adalah kemuncak ketidak warasan KPT dan HEP kepada mahasiswa dan ahli akademik. Di mana autonomi universiti yang dilaung-laungkan? Di mana kebebasan pindaan AUKU yang diura-urakan? Semua kosmetik dan palsu!

Berikan makna pada universiti

Mahasiswa jangan takut dengan tekanan. Universiti milik kita. Kita punya hak. Kita bayar dan kita ada suara. Yakin dengan kuasa yang ada supaya tidak mudah diperbodohkan. Jangan jadi pak turut kepada mana-mana pihak yang berkepentingan. Jika tidak, tiada makna universiti pada mahasiswa.

Mohd Aizat Bin Mohd Saleh (Pengerusi BANTAH)

1 comment:

al karamah said...

BANTAH tetap BANTAH segala ketidakadilan. Teruskan perjuangan. Dalam forum semalam, kita nak DEMOKRASI, bukan KUKU BESI!
STUDENT POWER sokmo!!