Tuesday, January 5, 2010

Boleh guna kalimah Allah


oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Minggu ini agak ribut sedikit dengan isu penggunaan kalimah Allah oleh majalah Herald. Demonstrasi demi demonstrasi telah diadakan oleh pihak tertentu yang nampak seolah mempertahankan sungguh-sungguh kalimah Allah ini.

Beberapa hari lepas, banyak sms yang saya terima untuk menjawab persoalan ini. Boleh atau tidak? Itu sahaja jawapan yang diinginkan.

Dan hari ini, para ulama, pemimpin negara, ahli politik, ahli akademik dan mahasiswa semua membicarakan boleh atau tidak.

Kalau ditanya saya, maka jawapan saya boleh.

Tiada masalah apabila penganut agama lain untuk menggunakan kalimah Allah tersebut. Malah dengan menggunakan nama Allah itu, ia lebih membawa mereka lebih dekat dengan maksud Allah itu yang sebenar dan bersama dengan Islam.

Tetapi dengan syarat. Syaratnya apabila nak guna kalimah Allah itu mestilah melalui pentafsiran Allah yang betul. Allah sebagaimana yang ditafsir dan dimaknakan oleh Islam, iaitu Allah Yang Maha Esa, Yang Menciptakan alam semesta dan sebagainya. Bukan sebagaimana Allah yang ditafsirkan oleh pegangan agama itu.

Jika syarat ini dipenuhi, maka tiada masalah. Saya cadangkan kepada majalah Herald, di muka surat depan majalah anda, letakkan pentafsiran nama Allah yang betul seperti yang saya sebut tadi, letak di muka depan atau ruangan yang boleh dibaca. Dan ia mesti dibuat setiap kali majalah itu dikeluarkan.

Ini supaya penganut agama anda faham maksud kalimah Allah itu. Dan bukankah itu yang dikehendaki oleh mereka?

Cumanya, janganlah ada agenda terselindung dalam perkara ini. Dan ini yang menjadi kerisauan rakan-rakan kita beragama Islam. Bukannya Islam tidak terbuka, tetapi terbuka yang membawa keburukan kepada agama Islam, bukankah mereka juga tidak mahu berlaku pada agama mereka juga?

No comments: