Tuesday, November 23, 2010

"Maaf, aku tidak dapat menyintaimu.."


oleh Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Mereka bertemu setelah memeterai 'janji' untuk hidup bersama sebagai suami dan isteri yang sah.

"Moga Sakinah boleh menjadi pelengkap hidup saya nanti" kata Farid kepada bakal isterinya, Siti Nur Sakinah.

"Insya Allah abang, saya akan berusaha menjadi isteri yang taat dan solehah" balas Sakinah. Pertemuan di rumah bertemankan anak saudaranya, begitu hening dan damai.

"Jangan banyak berjanji, takut tak tertunai. Cukup beritahu abang yang Sakinah akan buat yang terbaik dalam hidup. Itu sahaja" Farid seperti mengingatkan.

Bertemu dalam satu 'gelanggang' perjuangan yang sama sangat mengujakan. Masing-masing dengan aspirasi dan teori dakwah serta impian kasih-sayang yang tinggi melayang.

Walaupun Farid seorang yang dihormati di kalangan sahabat-sahabatnya. Dia pernah memimpin ketika di kampus dahulu. Namun, dia tidak 'meninggi diri' tatkala berkata soal kehidupan realiti.

"Abang pilih Sakinah kerana perjuangan, kerana kehidupan abang penuh perjuangan. Sebab itu abang tak mengharap apa-apa pada Sakinah" kata Farid kepada isterinya suatu hari.

"Maksud abang? Abang tak cintakan Sakinah?" soal Sakinah. Begitu naluri wanita.

"Bukan begitu sayang. Abang sayang Sakinah. Abang harap Sakinah boleh menyayangi kehidupan abang sepertimana abang menyayangimu" balas Farid. Syahdu seketika.

Selepas empat tahun, setelah kelahiran anak ketiga mereka, Farid semakin sibuk menguruskan kehidupan, keluarga dan dakwahnya. Seperti biasa, kerja dakwah sangat banyak berbanding keluarga.

Farid masih lagi utuh menjadi manusia, daie dan pejuang yang istiqamah.

Kehidupan mereka sedikit sebanyak berubah. Sakinah sudah mula merungut akibat kepulangan Farid yang selalu sahaja lewat, tengah malam.

"Abang, kalau boleh janganlah pulang lewat sangat. Tak kasihan pada anak-anak? Sakinah?" tegur Sakinah.

"Maaf sayang. Abang ada urusan mesyuarat bersama sahabat-sahabat dalam parti tadi. Kebetulan selepas itu ziarah sahabat yang baru sahaja kehilangan anaknya dalam kemalangan" jawab Farid perlahan. Dia menarik nafas sedikit kerana kepenatan baru pulang.

Jam di dinding berlalu menunjukkan 1.30 pagi.

"Urusan, urusan juga, tapi jangan sampai tinggal keluarga.." jawab Sakinah semula.

"Abang bukan tinggal terus sayang, hm..tak apelah usah dipanjangkan ya, Insya Allah abang cuba buat yang terbaik" kata Farid.

Suatu hari, anak ketiga mereka jatuh sakit. Demam panas.

Setelah dua minggu di hospital, keadaan semakin kritikal. Demam panasnya memberi kesan kepada jantung dan paru-paru. Peluang sembuh hanya 20 peratus.

Tanpa diduga, Allah lebih menyayangi anaknya.

"Abang, kita dah hilang seorang anak kita.." ujar Sakinah sedih.

"Allah uji kita. Moga diganti dengan yang lebih baik. Kita redha dengan takdir ini sayang" balas Farid menenangkan isterinya.

"Saya tidak mahu kehilangan abang pula" kata Sakinah lagi.

Selepas kehilangan anaknya yang ketiga. Farid pasrah. Perjuangannya dan kehidupannya. Semua itu menyesakkan dadanya. Benarlah kadang-kala keluarga menjadi sebahagian dari halangan perjuangan.

Namun ia juga adalah tanggungjawab yang diamanahkan Allah.

"Sakinah.. Abang mohon maaf seandai tidak menjadi suamimu yang baik" Farid berkata suatu ketika.

Dia menyambung, " Sesungguhnya, abang memang menyayangimu.."

"Terima kasih abang. Sakinah juga sayangkan abang.." jawabnya.

"Tetapi, abang tidak dapat menyintaimu" balasnya.

Sakinah terdiam.

"Jika memilih antara perjuangan, abang tidak dapat menyintaimu seperti mana orang lain bercinta" tambahnya lagi.

"Maaf takrifan cintaku begitu. Abang sayang padamu, tetapi abang tidak dapat menyintaimu.."

"Abang..." sayup suara Sakinah.

Farid semakin jauh..

(Tulisan ini adalah kisah yang mungkin berlaku, atau tidak mungkin berlaku. Sekadar catatan penulis)

Saturday, November 20, 2010

Alahai artis-artis kita..


oleh : Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Saya kadang-kadang pelik kerana rakyat Malaysia sangat mengagungkan dunia hiburan dan kesenian. Artis-artis juga diibaratkan sebagai ikon remaja dan trend hari ini.

Di surat khabar arus perdana misalnya, paparan berkenaan artis dan hiburan begitu banyak.

Namun, hari ini, jika kita menyorot dengan teliti dan insaf, ramai artis di Malaysia tidak layak menjadi ikon masyarakat. Walau bagaimana pun, apa yang boleh dibuat kerana artis sangat sinonim dengan media.

Sesekali rasa ingin 'termuntah' apabila seluruh kehidupan seorang artis itu diceritakan dan dipaparkan secara terperinci di dada akhbar.

Hatta, jika tak keterlaluan dikatakan bahawa jenis 'seluar dalam' pun hendak dikisahkan di media.

Terfikir juga apabila media massa membuat liputan secara besar-besaran kisah artis yang berkahwin. Acaranya begitu gilang-gemilang, lebih mudah disebut sebagai wedding of the year. Namun, dua minggu selepas itu, bercerai.

Tidak sedikit serasa saya kes-kes moral buruk yang telah berlaku kepada artis. Antaranya boleh disebutkan adalah terlibat dengan dadah, khalwat dan penceraian.

Pada 12 Jun 2010, pelawak dan pelakon terkenal sitkom senario, Saiful Apek atau nama sebenar Saifulizam Yusoff ditahan kerana memiliki 40 gram ganja. Dia ditahan dirumahnya pada jam 10 malam. Kes beliau disiasat dibawah Seksyen 39A (1), Seksyen 6, dan 15(1), Akta Dadah Merbahaya.

Yassin Yahya, juga anggota kumpulan Senario juga pernah ditahan di pusat hiburan Sunway Pyramid kerana didapati positif dadah. Beliau direman selama 3 hari dan didakwa di bawah Seksyen 15(1) Akta dadah Merbahaya.

Selain dari itu, pelakon drama terkenal Benjy atau nama sebenarnya Khyrill Benjamin Ibrahim ditahan pada 11 Mac 2010 di tempat letak kereta di rumahnya. Beliau ditahan kerana disyaki terlibat dengan dadah. Sehingga hari ini kesnya masih dibicarakan.

Seorang artis perempuan yang terkenal membintangi filem Pontianak Harum Sundal Malam (PHSM), Zarina Ann Julie telah ditahan di LCCT dan mengaku telah mengambil dadah jenis 'ketamin'.

Penyanyi Jamal Abdillah, yang terkenal dengan lagu 'Siapa bilang gadis Melayu tak menawan' telah ditahan di sebuah rumah rehat di Teluk Intan oleh pihak polis apabila disyaki memiliki dadah jenis 'syabu'. Beliau didakwa dibawah Akta dadah Merbahaya.

Tidak kurang juga yang terlibat dengan masalah moral dan akhlak serta rumah tangga.

Ako Mustapha, seorang dramatis serta pelakon telefilem cerekarama TV3, ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah rumah di Bukit Antarabangsa Hulu Kelang.

Artis 'Gerak Khas', Norman Hakim yang menjadi model kehebatan polis kepada masyarakat gagal menjadi model sebenar apabila ditangkap berkhalwat di Ukay Perdana dengan pasangannya juga seorang pelakon Memey Suhaiza. Lebih memalukan apabila beliau sudah berumah tangga dengan Abby Abadi yang juga seorang pelakon terkenal.

Pengacara program 'Bang bang Boom' Ahmad Azahari Mohd Ali ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Selangor pada 7 Oktober 2010 kerana disyaki berkhalwat dan berdua-duaan dengan wanita yang juga masih isteri orang.

Kisah bercerai-berai dalam rumah tangga juga dilakonkan oleh artis-artis kita di luar selepas melakonkan watak itu di dalam filem mahupun drama yang dibintanginya.

Pelakon jelita sitkom 'Puteri', Nora Danish bercerai dengan suaminya Rizal Asyram atas alasan sudah tidak serasi dan membawa haluan masing-masing. Lebih memalukan apabila lafaz cerai mereka dilakukan melalui panggilan telefon.

Pada 26 April 2006, pelakon terkenal Yusri KRU bersama isterinya Erra Fazira sah melafazkan cerai di mahkamah. Kedua-dua pelakon ini juga tatkala majlis perkahwinan mereka telah disiarkan secara meluas dan gemilang oleh media.

Ac Mizal telah menyaman isterinya Shafnie Zainuddin selepas menceraikannya serta masih lagi di dalam perebutan di dalam tanggungjawab memberi nafkah dan hak penjagaan anak.

Apa lagi sebenarnya yang kita mahukan daripada artis-artis ini untuk menjadi role-model kepada masyarakat? Seperkara lagi, media begitu pantas memainkan peranan. Kadang-kadang imej buruk artis-artis ini cepat dipadamkan oleh mereka.

Hiburan serta artis alternatif perlu berusaha lebih kuat dan gigih untuk menaikkan imej mereka di mata masyarakat agar dapat menenggelamkan artis-artis yang tidak bermoral ini.

Saturday, November 6, 2010

Sketsa Tepi : Sepagi di HKL


Oleh : Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Kisah yang terjadi pada suatu pagi ini tiada langsung kena-mengena dengan sesiapa sahaja, sama ada yang masih hidup mahupun yang telah mati. Ia cuma sembang yang terjadi di subuah Hospital bertaraf Kerajaan.

Suatu pagi di ruang menunggu di Hospital Kuala Lumpur (HKL)

Pesakit 1 : Menunggu ubat ke?

Pesakit 2 : Tak, nak buat appoinment dengan doktor pakar.

Pesakit 1 : Oh ya ke.. sakit apa ya encik?

Pesakit 2 : Kanser.. Baru ni check di klinik, tak jangka kena bila doktor check, dia terus refer ke sini.

Pesakit 1 : Dah lama ke kenanya?

Pesakit 2 : Ntahlah..rasanya baru je ni.

Pesakit 1 : Oh..ok..ok.

Kedua-dua pesakit menunggu dipanggil jururawat.

Pesakit 1 : Hm..dengar berita PM kita masuk HKL juga..

Pesakit 2 : Yelah..saya pun ada baca juga berita.. Sakit demam cacar ke apanya..

Pesakit 1 : Ya, dia demam.. Tapi pelik ya, kenapa masuk HKL..

Pesakit 2 : Apa yang peliknya, biasalah tu.

Pesakit 1 : Tak adalah, biasa orang-orang besar ni tak main hospital-hospital kerajaan ni. Biasanya hospital macam Ampang Puteri ke, Gleneagles ke..

Sejurus kemudian, pesakit 2 dipanggil jururawat dan lima minit kemudian, dia keluar. Kelihatan mukanya agak masam.

Pesakit 1 : Dapat jumpa doktor? Bila appoinmentnya encik?

Pesakit 2 : Huh... Bila hospital kerajaan, macam nilah.. Ada ke dapat jumpa doktor lagi tiga bulan? Mati dululah saya ni sakit kanser..!

Pesakit 1 : .... (Diam tak terkata)

Pesakit 2 : Saya rasa kalaulah PM sakit, taklah kena macam ni..

Pesanan penaja : Kepada seluruh rakyat marhaen, jangan percaya dengan apa jua tindakan orang politik, meskipun yang melibatkan hal-hal kemanusiaan..

Sekadar berkongsi..ada komen?

Galas : Kajian Ilham Centre tepat

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Terima kasih kepada seluruh jentera yang terlibat di dalam PRK Galas dan Batu Sapi baru-baru ini.

Ternyata kajian yang dilakukan oleh firma penyelidikan bebas Ilham Centre sehari sebelum mengundi tepat.
Apa yang lebih penting, kajian tersebut adalah bagi menilai tahap sokongan pengundi terhadap PAS. Namun, PAS tidak menggunakannya. Yang mengambil tindakan terhadap kajian tersebut adalah BN.


Sebab itu mereka boleh menang.

Signal awal telah pun diberitahu kepada PAS bahawa 22 peratus pengundi bakal mengundi BN manakala hanya 15.6 peratus sahaja yang akan mengundi PAS. Manakala selebihnya sebanyak 54.1 peratus belum menyatakan sokongan mana-mana parti.

Sepatutnya dengan situasi ini, isu memainkan peranan paling besar dalam memenangi hati rakyat Galas.

Namun, apa yang dilihat, BN terlebih dahulu menguasai isu termasuklah isu penyerahan zakat kepada orang Asli yang didakwa wang rasuah disamping isu tanah dan sebagainya.

PAS masih lagi 'sederhana' mungkin kerana berhadapan dengan Ku Li.

Dalam kebanyakan pilihan raya kecil, kajian Ilham Centre adalah paling tepat. Misalnya dalam ORK Hulu Selangor lepas, keputusan bahawa PKR kalah telah didapati dalam kajiannya. Namun, mungkin hasil itu digunakan oleh BN juga.

Sebab itu BN boleh menang.

Kajian daripada Iham Centre adalah kajian yang realistik kerana penyelidik pergi langsung kepada golongan sasaran, menurut pengarahnya Hisomuddin Bakar.