Wednesday, July 28, 2010

Kesihatan, Ramadhan kita dan Jaclyn Victor

Pengalaman berada di hospital beberapa hari dan sehingga hari ini, memberikan banyak makna dan kisah-kisah yang tersirat dan penuh mendalam ertinya.

Banyak lagi perlu diperbetulkan dalam sistem kebajikan negara kita, Malaysia, terutamanya dalam keperluan perubatan dan kesihatan.

Saya tidak pasti, namun apa yang boleh saya katakan kepada rakyat di Malaysia bahawa mereka sentiasa berhadapan risiko kematian demi kematian. Maksud saya, bukan bermakna lari dari kematian, namun berkenaan hak asasi atau hak sosial mendapatkan kesihatan kepada setiap manusia.

Apa tidaknya, hari ini peluang mendapatkan nikmat kesihatan mungkin bagi sesetengah golongan begitu mudah. Misalnya apabila berhadapan dengan kemalangan atau penyakit kronik yang memerlukan pembedahan.

Bagi mereka yang bekerja sebagai pegawai kerajaan atau swasta, paling tidak mereka ada GL (Guarantee Letter) daripada syarikat mereka bekerja yang membolehkan mereka mendapat dahulu rawatan tersebut dan kosnya ditanggung oleh syarikat. Paling tidak hampir 80 peratus ditanggung.

Namun, bagaimana halnya pula dengan golongan yang tidak bekerja? Bagi penjaja-penjaja kecil, pasar malam atau yang bekerja sendiri. Mungkin insurans boleh dijadikan sandaran, tetapi berapa ramai yang menyertainya?

Nasib orang miskin

Saya tersentak tatkala mendengar cerita seorang mak cik di hospital ini (DSH). Beliau terpaksa memindahkan anaknya ke hospital kerajaan kerana kos pembedahan yang terlalu tinggi. Mak cik tersebut tidak bekerja. Itu pun tidak pasti nasibnya untuk pembedahan tersebut.

"Apa boleh buat nak, yang berduit, bolehlah mereka bayar. Yang macam mak cik ni.." keluhnya. Saya agak sedih dengan nasibnya. Kalaulah saya orang kaya, sudah lama saya tanggung rawatan anaknya.

Begitulah, tertindasnya golongan miskin di Malaysia ini. Dalam kenaikan harga minyak dan bahan bakar baru-baru ini, kerajaan ada menyatakan mereka jimat 750 juta apabila penyelarasan harga tersebut. Apa pandangan jika separuh daripada penjimatan itu disalurkan kepada subsidi perubatan? Atau paling tidak pun memikirkan bagaimana kerajaan boleh membantu golongan seperti ini.

Teringat sms yang pernah dikirim sahabat kepada saya belajar HUKM, Raihanah, apabila saya bertanyakan tentang bolehkan diadakan perubatan percuma di negara kita. Katanya 'agak susah, dengan ekonomi negara yang terumbang-ambing, rasuah sana sini, lainlah kalau pentadbiran seperti di zaman Saidina Umar, hasil baitulmal melimpah..'.

Apa yang penting, kita tidak pernah membincangkan bagaimanakah masa depan tanggungjawab perubatan dan kesihatan kepada rakyat Malaysia. Malah di dalam pilihan raya, seakan tiada manifesto itu. Berbanding di negara Barat, misalnya di U.S, setiap calon Presiden, mereka ada polisi kesihatan mereka yang boleh diperdebat dan dikritik rakyat.

Dalam memikirkan perkara itu, tanpa disedari rupanya sudah menginjak bulan Syaaban, malah sudah hampir di pinggirnya. Dalam beberapa hari bakal menyambut Ramadhan yang mulia. Terasa baru semalam meninggalkan Ramadhan.

Ramadhan kali ini, harapnya ia menjadi yang paling baik buat kita. Kalaupun ia Ramadhan yang terakhir, maka ia menjadi Ramadhan yang terindah.

Mungkin Ramadhan ini buat muhasabah dan harapan baru kepada pesakit-pesakit yang tidak 'mampu' ini untuk mendapat pembelaan kesihatan. Bulan Ramadhan biasanya orang Malaysia suka buat kebajikan.

Kadang-kadang, saya memikirkan begitu banyak pahala yang diperolehi Mazlin Nordin, pengarah program televisyen Bersamamu, Jaclyn Victor yang berjaya mengalirkan air mata peminat untuk menyumbang kepada masyarakat yang kurang terbela.

Sunday, July 25, 2010

Saat bersedia pergi selamanya..


Catatan yang saya ungkapkan ini, mungkin ruang yang tidak seberapa saya berkongsi rasa kepada teman-teman di luar sana. Betapa ada banyak perkara yang perlu dipelajari dari kehidupan ini.

Malah perkara-perkara yang bersangkutan dengan kematian sangat perlu diambil iktibar sepertimana Rasulullah sendiri pernah mengungkap : "Perbanyakkanlah mengingati sesuatu yang dapat merenggut kelazatan dunia (mati)"

Ketika catatan ini ditulis, saya masih menunggu di ruang menunggu pembedahan atau ICU (ICU and OT waiting area). Walaupun jururawat tidak membenarkan saya menunggu lama ayah saya di ruang ICU, namun sesekali dalam dua jam saya akan menjenguknya.

Detik Cemas

Malam selepas saya bertemu sahabat-sahabat saya di Shah Alam atas perbincangan mengenai gerakan, saya dihubungi ibu sekitar jam 1 pagi. Bunyinya agak cemas.

"Abang Ijat, abah jatuh, darah tinggi. Sekarang sedang dihantar ke PUSRAWI." begitu bunyinya.

Tanpa pulang ke rumah, saya bergegas terus ke PUSRAWI (Pusat Rawatan Islam, Jalan Tun Razak). Di tingkat enam, kelihatannya ibu sudah menunggu di Wad An-Naim bersama jiran Haji Din.

"Seminggu sudah tak makan ubat." suara ibu agak bergetar, menggambarkan keresahan bimbangnya. Di hati saya tidak lepas mengucapkan selawat syifa'.

Sekitar jam empat pagi, keadaan abah makin kritikal. Darahnya naik mendadak hampir ke dua ratus, menyebabkan dia di tukar ke wad ICU. Apabila dibuat scanning, doktornya beritahu ada sedikit pendarahan di kepala.

Dr Shatar yang sudah lama mengubatinya, berikhtiar untuk dilakukan pembedahan dan perlu di hantar ke mana-mana hospital pakar memandangkan tiada pakar di situ. Akhirnya abah diusung ke Hospital Pakar Damansara.

Saat-saat cemas itu terasa sebentar berlalu. Selepas pembedahan empat jam hari itu bermula jam enam petang sehingga sepuluh malam, menghilangkan separuh kebimbangan. Detik itu, hanya Allah sahaja pengharapan akhirnya apa jua yang terjadi.

Kehidupan

Hampir sembilan hari saya tercampak ke sudut wad ICU (Intensive Care Unit), menerbitkan sejuta keinsafan meneliti takah-takah kehidupan seorang manusia.

Tiada yang kekal abadi di dunia ini melainkan Dia, dan segala perancangan-Nya yang diatur, hidup matinya, sihat sakitnya, segala-galanya dibawah ketentuan Dia. Selaku manusia yang bergelar hamba, perlu akur kehendak itu, walau kadang-kadang susah menerimanya.

Teringat ungkapan seorang sahabat, "Kita suka meminta apa yang baik buat kita, namun kita jarang sekali meminta apa yang terbaik buat kita"

Kadang-kadang, Allah nakkan yang terbaik buat kita, maka Dia datangkan ujian kematian, walaupun kita melihat itu satu ujian dan keperitan kepada kita.

Walaupun ujian (sakit) ini tidak terkena kepada saya, namun ia memberi satu didikan rohani yang terkesan sekali terutamanya melihat pesakit-pesakit yang berada di sini.

Didikan rohani

Betapa ujian mereka lebih besar berbanding keluarga dan abah saya. Seorang mak cik, sudah hampir tiga minggu menunggu emaknya yang sudah kerosakan organ pankreas.

Katanya pembedahan sudah dibuat, namun jangkitan kuman semakin banyak. Beliau terpaksa memindahkan emaknya ke Hospital Selayang memandangkan kos bayaran yang terlalu tinggi. Saya tidak tahu bagaimana khabar emaknya itu sekarang.

Allah temukan saya juga dengan seorang emak yang anaknya mengalami kebakaran kulit di kepala dan hampir separuh badannya. Isi daging di pehanya terpaksa diambil untuk menampung dan menyelamatkan luka kebakaran di kepalanya itu.

Di wad HDU (High Dependency Unit) bersebelahan ICU dan O.T (operation theatre) saya bertemu dengan seorang anak muda yang ayahnya mengalami ketumbuhan otak. Hampir bertahun-tahun baru disedari.

Biasanya pesakit di HDU peluang untuk diselamatkan adalah 20/80 peratus sahaja. Bergantung kepada keberjayaan doktor yang membedahnya.

"Hari Isnin ini akan dibedah, peratus selamat mungkin dua puluh sahaja. Abang doakan ya.." Sayu saya mendengar kata-katanya ketika saya bertanya. Moga Allah permudahkannya.

Maha suci Allah yang menemukan saya semua ini. Betapa masih ada yang memiliki ranjau ujian yang lebih hebat daripada apa yang saya dan keluarga lalui. Saat itu saya memanjatkan kesyukuran atas 'kurniaan' Allah ini.

Saat mekar ukhuwwah

Dengan kehadiran sahabat yang tidak putus-putus, serta bertalu-talu sms takziah, sedikit sebanyak memberikan saya semangat. Sangat perlu saya mengungkapkan nama-nama mereka yang menjadi penghibur di kala duka. Terima kasih buat abang Alan, orang yang pertama menyedarkan hakikat sebenar kehidupan dunia.

Sahabat-sahabat yang membantu dari PUSRAWI hinggalah ke Hospital Pakar Damansara, Asri, Aiman dan Naim Sauki, Allah sahaja yang membalasnya. Yang tidak lepas-lepas berkunjung, Fahmi, abang Nazri, Hafiz Ilyas, Hadi, abang Shekh Umar, Idris Yusuf, Auzani, Shafie, Fairus, Hud, Fadzil. Doa syifa yang mustajab oleh Al-Hafiz dan Syazwan.

Tidak saya lupakan sahabat Kerinchi yang turut ziarah dan beri saya motivasi, Izzuddin, Aizat, Syahruldin, Taufik, Sabri dan Zahiruddin. Sahabat muslimat, Fasihah, Shahida, Kak Mas, Ulfah, Kak Lina, Wan Syahirah dan Effa. Seperti juga kehadiran sahabat-sahabat doktor dan jururawat, Hakimah, Jumarni, Zakiah, Saadah dan nama yang saya tidak ingat, namun wajahnya tidak lupa Insya Allah.

Allah juga menghantar sahabat-sahabat peneman dan pembantu suka-duka. Shazni Munir yang begitu banyak membantu, menemani saya di ruang menunggu walau terpaksa mengerekot tidur di sofa yang tidak selesa. Moga Allah berinya ketabahan. Dan Syazwan Presiden PMIUM yang sempat bertanyakan khabar menelefon, walau sibuk dengan tugasannya.

Sesungguhnya, terasa benar dalamnya makna ukhuwwah ini tatkala dirundung kepayahan dan keperitan. Namun, Allah utuskan jua hamba-hamba-Nya yang tulus ikhlas kepada saya. Seandai nama-namanya saya tidak sempat catat di sini, saya sentiasa berdoa kesejahteraan mereka yang membantu.

Saat pergi selamanya

Akhirnya, saya berterima kasih kepada Allah yang mengutuskan saya dengan 'kisah' ini. Ia banyak memberikan seribu satu didikan dan 'peluang kedua' untuk menyedari betapa kerdilnya saya di sisi Tuhan.

Dan saat ini, didikan itu terus berlangsung. Hari-hari mudah harus dimanfaatkan. Belajarlah dari kesusahan dan hiduplah dalam kesusahan, kerana di sana banyak pengajarannya dalam mengajar, mendidik sentiasa berwaspada, cukup dengan apa yang ada dan sentiasa bersedia pergi untuk selamanya.

Mohd Aizat Bin Mohd Salleh
ICU & O.T Waiting Area DSH
4.01 a.m, 25 Julai 2010

Monday, July 12, 2010

Ijtihad dan kejumudan ahli gerakan


oleh : Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Seperkara yang menjadi kelemahan kepada gerakan Islam pada hari ini adalah tertutupnya pintu berfikir dan berijtihad dalam melaksanakan satu-satu tindakan.

Apabila ahli gerakan malas berijtihad, atau disekat, maka sebuah jemaah akan menjadi sempit, jumud, tidak berkembang serta kadang-kala boleh menjadi autokrasi.

Disamping itu juga, akan wujud sindrom takut membuat keputusan, rasa keputusan tidak tepat dan akhirnya langsung tidak dapat membuat keputusan.

Sejarah ijtihad dan taqlid

Ijtihad adalah lawan taqlid. Ijtihad adalah penyelidikan dan menghasilkan keputusan, manakala taqlid adalah menerima apa sahaja tanpa usul periksa.

Punca berlaku taqlid, mengikut sejarahnya adalah apabila para fuqaha mula mengalami kurang yakin untuk berijtihad pada pertengahan abad keempat hingga kejatuhan Baghdad ke tangan Tartar pada 656 Hijrah.

Maka umat Islam ketika itu hanya mengguna-pakai hasil pandangan ulama terdahulu.

Manakala selepas daripada itu, setelah kembalinya golongan muwahhidin memerangi gejala taqlid yang melampau, membuka mata umat Islam bahawa perlunya tajdid dan ijtihad dalam memajukan ummah.

Sumber ijtihad

Ijithad sudah lama berlaku, sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w lagi. Hadith Muadz Bin Jabal yang masyhur, tatkala Baginda mengutuskan beliau ke Yaman, Baginda telah mengujinya bahawa dengan apa beliau akan membuat keputusan.

Beliau menjawab : "Dengan Al-Qur'an, Hadith, dan sekiranya tiada saya berijtihad dengan menggunakan fikiran saya tanpa ragu-ragu" Lalu Rasulullah tersenyum.

Satu lagi hadith Nabi s.a.w yang masyhur adalah : "Apabila seseorang hakin itu berijtihad atau berhukum, dan benar maka ia mendapat dua pahala, dan apabila salah maka ia mendapat satu pahala."

Antara prinsip dan prosedur

Apabila berijtihad, kita akan merujuk kepada prinsip di dalam Islam iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Kadang kala juga sirah Nabi s.a.w.

Maka asasnya prinsip itu datang dari Allah dan Rasul-Nya.

Apabila memegang kepada prinsip, maka ruang ijtihad sangat luas kerana kebebasan berfikir akan ditentukan melalui prinsip yang jelas.

Walaupun prosedur ada ketikanya terpaksa dilanggar atau diubah. Prosedur adalah ciptaan manusia, seperti mana sistem juga yang boleh diubah.

Penyakit

Apabila ahli gerakan gagal membezakan antara prinsip dan prosedur, maka penyakit takut berijtihad dan membuat keputusan akan berlaku.

Ditambah lagi dengan doktrin 'jangan melawan' dan 'jangan mengkritik', jika mengkritik kurang adab dalam jemaah.

Lebih membimbangkan, sekatan-sekatan dalam penjelasan dan hujah dengan berperisaikan 'status quo' di dalam gerakan meruncingkan lagi penyakit taqlid buta dalam jemaah.

Akhirnya, ahli jemaah menjadi beku. Ahli gerakan yang sedikit aktif dan lantang mengkritik dikatakan tidak beradab dan melanggar pimpinan.

Sedangkan ahli gerakan ini, jika diberi ruang yang sesuai, padang yang 'kena' dengannya, maka mereka akan menjadi 'keuntungan' kepada jemaah bagi melawan musuh.

Ahli gerakan yang rajin berijtihad dan mengkritik, akan cepat berubah. Manakala ahli gerakan yang kekal hanya sebagai mengikut, kurang berfikir akan selama-lamanya menjadi 'beku' dan ketinggalan ke belakang.

Jangan sekat ijtihad

Sekurang-kurangnya, gerakan jangan menyekat ahli-ahlinya berijtihad, membuat keputusan dan mengkritik jika gerakan tidak mampu melakukannya.

Tarbiyyah yang baik dan berkualiti adalah melahirkan ahli yang lebih baik daripada naqibnya. Dan naqib atau pimpinan yang baik akan tersenyum bangga apabila melihat ahli-ahlinya lebih hebat darinya, kerana itulah sifat tarbiyyah sentiasa melahirkan manusia yang lebih baik.

Orang yang menyekat orang lain untuk menjadi hebat, adalah orang yang tidak ditarbiyyah!

"Kefahaman asas tindakan"

Saturday, July 10, 2010

Jangan musnahkan sejarah mahasiswa!


oleh : Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

"Kami menggoyangkan langit, menggempakan darat dan menggelorakan samudera agar tidak jadi bangsa yang hidup hanya dari dua sen sehari. Bangsa yang kerja keras, bukan bangsa tempe, bukan bangsa kuli. Bangsa yang rela menderita demi pembelian cita-cita.."

Bapak Soekarno, Presiden Indonesia.

Zaman mahasiswa adalah zaman terbaik untuk melakukan apa sahaja. Mahasiswa tidak akan dipersalahkan seandainya mereka tersilap, bahkan didokong oleh ribuan rakyat sekiranya mereka menjadi suara lantang kepada mereka.

Sejarah perit mahasiswa perlu dijadikan pengajaran dan motivasi. Gerakan mahasiswa hari ini usah lupa perjuangan mahasiswa.

Mahasiswa perlu terlibat aktif dalam setiap sejarah yang terjadi kepada tanah air kita. Apatah lagi menjadi pencorak zaman dan jatuh bangun negara.

Bila berbicara soal politik, kita perlu terlibat. Bila berpencak soal pendidikan, kita menjadi lebih dari seorang guru dan pendidik. Apabila berkata-kata berkenaan agama, kita menjadi alim lebih dari seorang ulama' dan tatkala berbicara soal tanah air, kita menjadi sehebat tentera yang cintakan negaranya.

Sifat mahasiswa adalah mencabar. Mencabar sesiapa sahaja yang menjadi penghalang kepada suara-suara keramat kita. Sejarah membuktikan nyawa adalah galang ganti kepada perjuangan mahasiswa.

Kita pernah mencabar dari sebesar-besar manusia kepada sekecil-kecilnya. Daripada seorang Perdana Menteri negara kepada petani-petani di ladang hulu kampung. Jalanan adalah medan kita, manakala penjara adalah penginapan kita. Semua ini susur-galur dalam perjuangan mahasiswa.

Saya titipkan video 'Sumpah Keramat Mahasiswa Indonesia' dirakamkan pada tahun 1998, ketika mahasiswa mengetuai gelombang reformasi negara Indonesia. Semoga ia membakar darah kita mahasiswa!



Sumpah Mahasiswa Indonesia 1998

Kami mahasiswa Indonesia bersumpah!
Bertanah air satu, tanah air tanpa penindasan

Kami mahasiswa Indonesia bersumpah!
Berbangsa satu, bangsa cinta keadilan

Kami mahasiswa Indonesia bersumpah!
Berbahasa satu, bahasa tanpa kebohongan

Hidup rakyat!
Hidup Rakyat!

Sunday, July 4, 2010

Kewajipan jihad ketenteraan kepada umat Islam

Pendahuluan


Pertentangan yang hak dan batil akan sentiasa berlangsung kepada manusia di muka bumi ini. Secara sunnahnya ia telah ditetapkan oleh Allah s.w.t, dan ia akan sentiasa berlaku sehingga Hari Qiamat tiba.


Ahli gerakan tidak perlu risau akan tabiat perjuangan. Sudah dinyatakan oleh Allah s.w.t bahawa jalan menempuh perjuangan itu adalah bersifat panjang, jauh dan mengerikan. Justeru matlamat akhirnya perjuangan itu adalah bertemu Allah s.w.t, sama ada dengan kemenangan atau pun mati syahid.


Keperluan kepada jihad hari ini


Tidak ada kata lain kepada umat Islam pada hari ini dalam kewajipan berjihad, melainkan dengan meletakkan ia pada hukum wajib.


Ibnu Taimiyah, seorang ulama Islam menyebutkan:


“Apabila bumi umat Islam dinodai oleh golongan kuffar walaupun sedikit, maka jihad di kala itu hukumnya fardhu ‘ain”


Kewajipan jihad ini adalah satu tuntutan untuk membebaskan umat Islam daripada penguasaan negara, undang-undang, masyarakat, dan pemikiran daripada unsur-unsur taghut yang menyesatkan.


Secara tidak disedari, musuh-musuh Islam secara liciknya telah menyusupkan tentera-tentera sulitnya untuk memecah-belahkan umat Islam. Mereka membina pengaruh dan ideologi yang sangat seni untuk melalaikan umat Islam dengan kosmetik yang mempersonakan.


Sehinggakan umat Islam hari ini memandang jihad sebagai suatu agenda yang dilupakan.


Jihad menakutkan musuh


Tidak dinafikan pada hari ini, umat Islam banyak memperistilahkan kembali definisi jihad daripada maksudnya yang sebenar. Hasilnya timbul istilah baru seumpama jihad ekonomi, jihad politik, jihad menuntut ilmu dan sebagainya.


Sedangkan, pada zaman Nabi s.a.w, hampir tujuh puluh tujuh kali peperangan telah berlangsung di negara Madinah dalam usaha Baginda menyebar-luaskan dakwah Islam ke negara-negara sekitar Madinah.


Ketenteraan Baginda menakutkan negara kuasa besar dunia ketika itu, walaupun jumlahnya tidak menyamai atau menandingi bilangan musuh. Ini menunjukkan bahawa kehidupan tiga belas tahun Baginda di Madinah hanya dipenuhi dengan siri-siri peperangan dan jihad yang mencabar.


Jihad tentera


Dr Abdullah Azzam, seorang ulama jihad menyatakan:


"Barangsiapa yang bertemu dengan Allah (mati) tanpa senjata ditangan mereka maka sesungguhnya mereka bertemu Allah dalam keadaan berdosa kerana meninggalkan qital melainkan orang-orang yang ada keuzuran syari’e”


Keperluan membina keanggotaan yang bersiap siaga adalah untuk berhadapan dengan musuh-musuh Islam yang semakin mengganas pada hari ini. Sudah tiba masanya, umat Islam perlu membina sejumlah tentera yang memegang senjata bagi mendepani musuh.


Menjadi sunnah dan sejarah liku-liku umat Islam menentang musuh melalui jihad ketenteraan. Umat Islam Palestin telah bermandi darah mempertahankan tanah suci daripada dinodai Yahudi Zionis.


Umat Islam di Afghanistan juga berdepan peluru dan bom membebaskan negara dari dijajah tentera Soviet Union Rusia. Turut sama umat Islam di Selatan Thailand berdepan rodok pedang dan peluru untuk mengamalkan Islam sehinggakan berdepan risiko mati ditembak ketika solat di dalam masjid.


Apakah lagi yang boleh kita samakan jihad tentera dengan jihad ekonomi?


Apakah boleh kita nilaikan seumpama jihad menuntut ilmu?


Sudah sama sekali tidak. Medan jihad tentera, pengorbanannya melangkaui keseluruhan jihad yang ada di muka bumi ini. Oleh kerana itu, Dr Abdullah Azzam pernah berkata:


“Dimanakah tempat lain yang membolehkan kalian sentiasa sembahyang berjemaah tanpa luput takbiratul ihram bersama imam setiap hari, selain dari di medan jihad dan medan ribat?


Dimanakah tempat lain yang boleh mendidik dan melatih kalian supaya sentiasa membaca Al-Qur’an, berzikir mengingati Tuhan dengan ikhlas dan penuh tawadhu’ selain dari medan jihad dan ribat?


Dimanakah tempat lain yang memberikan galakan kepada kalian untuk berpuasa sunat selain dari di medan jihad?”


Persediaan menuju medan jihad


Bagi berhadapan matlamat itu, beberapa persediaan harus dilaksanakan. Antaranya:


1.Bersedia mengikhlaskan diri dalam melaksanakan segala tuntutan dan arahan Allah s.w.t.


2.Menanamkan niat di dalam hati untuk syahid walau di mana sekalipun.


3.Menjauhkan diri daripada unsur-unsur kemewahan kerana ia adalah musuh jihad dan bakal membinasakan diri.


4.Bersedia mengamalkan sifat cukup dan menjauhi berlebihan.


5.Menjauhi perselisihan di dalam agama yang tidak menguntungkan Islam dan memandang permasalahan yang lebih besar di hadapan.


6.Sentiasa mengikuti dan mengetahui penderitaan yang ditanggung oleh umat Islam di seluruh dunia, memerhatikan pembunuhan, penodaan terhadap umat Islam dan berazam untuk membantu.


7.Melatih diri, rakan-rakan, anak-anak dan anak muda dengan program dan aktiviti yang bersifat kegagahan, kejantanan serta kepahlawanan jihad.


8.Melazimi sifat zuhud dan mengurangi meminta-minta.


9.Memperbanyakkan qiamullail, pembacaan dan penghayatan Al-Quran, beribadah dengan berpuasa serta beristighfar taubat di waktu dinihari kerana ia akan mendatangkan kejernihan pada hati dan kemanisan serta hubungan baik dalam beribadah.


Penutup


Umat Islam mesti sentiasa bersedia pada bila-bila masa untuk menyertai medan jihad. Tidak ada pengecualian apabila seruan jihad sudah dikumandangkan.


Akhirnya, pesan Dr Abdullah Azzam untuk dihayati bersama :


“Jadikanlah rumah-rumah kalian sebagai kandang-kandang singa dan bukannya reban ayam yang menunggu gemuk untuk disembelih oleh Taghut”


Allahu Akbar! 3x


Akhukum fi Islam,

Mohd Aizat Mohd Salleh (Petaling Jaya)