Catatan yang saya ungkapkan ini, mungkin ruang yang tidak seberapa saya berkongsi rasa kepada teman-teman di luar sana. Betapa ada banyak perkara yang perlu dipelajari dari kehidupan ini.
Malah perkara-perkara yang bersangkutan dengan kematian sangat perlu diambil iktibar sepertimana Rasulullah sendiri pernah mengungkap : "Perbanyakkanlah mengingati sesuatu yang dapat merenggut kelazatan dunia (mati)"
Ketika catatan ini ditulis, saya masih menunggu di ruang menunggu pembedahan atau ICU (ICU and OT waiting area). Walaupun jururawat tidak membenarkan saya menunggu lama ayah saya di ruang ICU, namun sesekali dalam dua jam saya akan menjenguknya.
Detik Cemas
Malam selepas saya bertemu sahabat-sahabat saya di Shah Alam atas perbincangan mengenai gerakan, saya dihubungi ibu sekitar jam 1 pagi. Bunyinya agak cemas.
"Abang Ijat, abah jatuh, darah tinggi. Sekarang sedang dihantar ke PUSRAWI." begitu bunyinya.
Tanpa pulang ke rumah, saya bergegas terus ke PUSRAWI (Pusat Rawatan Islam, Jalan Tun Razak). Di tingkat enam, kelihatannya ibu sudah menunggu di Wad An-Naim bersama jiran Haji Din.
"Seminggu sudah tak makan ubat." suara ibu agak bergetar, menggambarkan keresahan bimbangnya. Di hati saya tidak lepas mengucapkan selawat syifa'.
Sekitar jam empat pagi, keadaan abah makin kritikal. Darahnya naik mendadak hampir ke dua ratus, menyebabkan dia di tukar ke wad ICU. Apabila dibuat scanning, doktornya beritahu ada sedikit pendarahan di kepala.
Dr Shatar yang sudah lama mengubatinya, berikhtiar untuk dilakukan pembedahan dan perlu di hantar ke mana-mana hospital pakar memandangkan tiada pakar di situ. Akhirnya abah diusung ke Hospital Pakar Damansara.
Saat-saat cemas itu terasa sebentar berlalu. Selepas pembedahan empat jam hari itu bermula jam enam petang sehingga sepuluh malam, menghilangkan separuh kebimbangan. Detik itu, hanya Allah sahaja pengharapan akhirnya apa jua yang terjadi.
Kehidupan
Hampir sembilan hari saya tercampak ke sudut wad ICU (Intensive Care Unit), menerbitkan sejuta keinsafan meneliti takah-takah kehidupan seorang manusia.
Tiada yang kekal abadi di dunia ini melainkan Dia, dan segala perancangan-Nya yang diatur, hidup matinya, sihat sakitnya, segala-galanya dibawah ketentuan Dia. Selaku manusia yang bergelar hamba, perlu akur kehendak itu, walau kadang-kadang susah menerimanya.
Teringat ungkapan seorang sahabat, "Kita suka meminta apa yang baik buat kita, namun kita jarang sekali meminta apa yang terbaik buat kita"
Kadang-kadang, Allah nakkan yang terbaik buat kita, maka Dia datangkan ujian kematian, walaupun kita melihat itu satu ujian dan keperitan kepada kita.
Walaupun ujian (sakit) ini tidak terkena kepada saya, namun ia memberi satu didikan rohani yang terkesan sekali terutamanya melihat pesakit-pesakit yang berada di sini.
Didikan rohani
Betapa ujian mereka lebih besar berbanding keluarga dan abah saya. Seorang mak cik, sudah hampir tiga minggu menunggu emaknya yang sudah kerosakan organ pankreas.
Katanya pembedahan sudah dibuat, namun jangkitan kuman semakin banyak. Beliau terpaksa memindahkan emaknya ke Hospital Selayang memandangkan kos bayaran yang terlalu tinggi. Saya tidak tahu bagaimana khabar emaknya itu sekarang.
Allah temukan saya juga dengan seorang emak yang anaknya mengalami kebakaran kulit di kepala dan hampir separuh badannya. Isi daging di pehanya terpaksa diambil untuk menampung dan menyelamatkan luka kebakaran di kepalanya itu.
Di wad HDU (High Dependency Unit) bersebelahan ICU dan O.T (operation theatre) saya bertemu dengan seorang anak muda yang ayahnya mengalami ketumbuhan otak. Hampir bertahun-tahun baru disedari.
Biasanya pesakit di HDU peluang untuk diselamatkan adalah 20/80 peratus sahaja. Bergantung kepada keberjayaan doktor yang membedahnya.
"Hari Isnin ini akan dibedah, peratus selamat mungkin dua puluh sahaja. Abang doakan ya.." Sayu saya mendengar kata-katanya ketika saya bertanya. Moga Allah permudahkannya.
Maha suci Allah yang menemukan saya semua ini. Betapa masih ada yang memiliki ranjau ujian yang lebih hebat daripada apa yang saya dan keluarga lalui. Saat itu saya memanjatkan kesyukuran atas 'kurniaan' Allah ini.
Saat mekar ukhuwwah
Dengan kehadiran sahabat yang tidak putus-putus, serta bertalu-talu sms takziah, sedikit sebanyak memberikan saya semangat. Sangat perlu saya mengungkapkan nama-nama mereka yang menjadi penghibur di kala duka. Terima kasih buat abang Alan, orang yang pertama menyedarkan hakikat sebenar kehidupan dunia.
Sahabat-sahabat yang membantu dari PUSRAWI hinggalah ke Hospital Pakar Damansara, Asri, Aiman dan Naim Sauki, Allah sahaja yang membalasnya. Yang tidak lepas-lepas berkunjung, Fahmi, abang Nazri, Hafiz Ilyas, Hadi, abang Shekh Umar, Idris Yusuf, Auzani, Shafie, Fairus, Hud, Fadzil. Doa syifa yang mustajab oleh Al-Hafiz dan Syazwan.
Tidak saya lupakan sahabat Kerinchi yang turut ziarah dan beri saya motivasi, Izzuddin, Aizat, Syahruldin, Taufik, Sabri dan Zahiruddin. Sahabat muslimat, Fasihah, Shahida, Kak Mas, Ulfah, Kak Lina, Wan Syahirah dan Effa. Seperti juga kehadiran sahabat-sahabat doktor dan jururawat, Hakimah, Jumarni, Zakiah, Saadah dan nama yang saya tidak ingat, namun wajahnya tidak lupa Insya Allah.
Allah juga menghantar sahabat-sahabat peneman dan pembantu suka-duka. Shazni Munir yang begitu banyak membantu, menemani saya di ruang menunggu walau terpaksa mengerekot tidur di sofa yang tidak selesa. Moga Allah berinya ketabahan. Dan Syazwan Presiden PMIUM yang sempat bertanyakan khabar menelefon, walau sibuk dengan tugasannya.
Sesungguhnya, terasa benar dalamnya makna ukhuwwah ini tatkala dirundung kepayahan dan keperitan. Namun, Allah utuskan jua hamba-hamba-Nya yang tulus ikhlas kepada saya. Seandai nama-namanya saya tidak sempat catat di sini, saya sentiasa berdoa kesejahteraan mereka yang membantu.
Saat pergi selamanya
Akhirnya, saya berterima kasih kepada Allah yang mengutuskan saya dengan 'kisah' ini. Ia banyak memberikan seribu satu didikan dan 'peluang kedua' untuk menyedari betapa kerdilnya saya di sisi Tuhan.
Dan saat ini, didikan itu terus berlangsung. Hari-hari mudah harus dimanfaatkan. Belajarlah dari kesusahan dan hiduplah dalam kesusahan, kerana di sana banyak pengajarannya dalam mengajar, mendidik sentiasa berwaspada, cukup dengan apa yang ada dan sentiasa bersedia pergi untuk selamanya.
Mohd Aizat Bin Mohd Salleh
ICU & O.T Waiting Area DSH
4.01 a.m, 25 Julai 2010
4 comments:
sayu bace...smoga enta sekeluarga kuat..
termotivate baca..Alhamdulillah,Allah pilih ust utk menerima ujian ni..kerana DIA tahu, ust memang mampu hadapinya...
dari saya sendiri..mohon maaf,tak menziarah pun ayah ust..
semoga ust n keluarga kuat n tak putus2 doa kepada ayah ust. n kami para sahabat juga sentiasa dokan ayah n ust sekeluarga..
terima kasih atas perkongsian kisah hidup yang sangat memotivasikan org yang mmbacanya.=)
moga ALLAH kurniakan yg terbaik utk ustaz sekeluarga...
semoga terus diberi kekuatan oeh Allah aizat...
Post a Comment