Pengalaman berada di hospital beberapa hari dan sehingga hari ini, memberikan banyak makna dan kisah-kisah yang tersirat dan penuh mendalam ertinya.
Banyak lagi perlu diperbetulkan dalam sistem kebajikan negara kita, Malaysia, terutamanya dalam keperluan perubatan dan kesihatan.
Saya tidak pasti, namun apa yang boleh saya katakan kepada rakyat di Malaysia bahawa mereka sentiasa berhadapan risiko kematian demi kematian. Maksud saya, bukan bermakna lari dari kematian, namun berkenaan hak asasi atau hak sosial mendapatkan kesihatan kepada setiap manusia.
Apa tidaknya, hari ini peluang mendapatkan nikmat kesihatan mungkin bagi sesetengah golongan begitu mudah. Misalnya apabila berhadapan dengan kemalangan atau penyakit kronik yang memerlukan pembedahan.
Bagi mereka yang bekerja sebagai pegawai kerajaan atau swasta, paling tidak mereka ada GL (Guarantee Letter) daripada syarikat mereka bekerja yang membolehkan mereka mendapat dahulu rawatan tersebut dan kosnya ditanggung oleh syarikat. Paling tidak hampir 80 peratus ditanggung.
Namun, bagaimana halnya pula dengan golongan yang tidak bekerja? Bagi penjaja-penjaja kecil, pasar malam atau yang bekerja sendiri. Mungkin insurans boleh dijadikan sandaran, tetapi berapa ramai yang menyertainya?
Nasib orang miskin
Saya tersentak tatkala mendengar cerita seorang mak cik di hospital ini (DSH). Beliau terpaksa memindahkan anaknya ke hospital kerajaan kerana kos pembedahan yang terlalu tinggi. Mak cik tersebut tidak bekerja. Itu pun tidak pasti nasibnya untuk pembedahan tersebut.
"Apa boleh buat nak, yang berduit, bolehlah mereka bayar. Yang macam mak cik ni.." keluhnya. Saya agak sedih dengan nasibnya. Kalaulah saya orang kaya, sudah lama saya tanggung rawatan anaknya.
Begitulah, tertindasnya golongan miskin di Malaysia ini. Dalam kenaikan harga minyak dan bahan bakar baru-baru ini, kerajaan ada menyatakan mereka jimat 750 juta apabila penyelarasan harga tersebut. Apa pandangan jika separuh daripada penjimatan itu disalurkan kepada subsidi perubatan? Atau paling tidak pun memikirkan bagaimana kerajaan boleh membantu golongan seperti ini.
Teringat sms yang pernah dikirim sahabat kepada saya belajar HUKM, Raihanah, apabila saya bertanyakan tentang bolehkan diadakan perubatan percuma di negara kita. Katanya 'agak susah, dengan ekonomi negara yang terumbang-ambing, rasuah sana sini, lainlah kalau pentadbiran seperti di zaman Saidina Umar, hasil baitulmal melimpah..'.
Apa yang penting, kita tidak pernah membincangkan bagaimanakah masa depan tanggungjawab perubatan dan kesihatan kepada rakyat Malaysia. Malah di dalam pilihan raya, seakan tiada manifesto itu. Berbanding di negara Barat, misalnya di U.S, setiap calon Presiden, mereka ada polisi kesihatan mereka yang boleh diperdebat dan dikritik rakyat.
Dalam memikirkan perkara itu, tanpa disedari rupanya sudah menginjak bulan Syaaban, malah sudah hampir di pinggirnya. Dalam beberapa hari bakal menyambut Ramadhan yang mulia. Terasa baru semalam meninggalkan Ramadhan.
Ramadhan kali ini, harapnya ia menjadi yang paling baik buat kita. Kalaupun ia Ramadhan yang terakhir, maka ia menjadi Ramadhan yang terindah.
Mungkin Ramadhan ini buat muhasabah dan harapan baru kepada pesakit-pesakit yang tidak 'mampu' ini untuk mendapat pembelaan kesihatan. Bulan Ramadhan biasanya orang Malaysia suka buat kebajikan.
Kadang-kadang, saya memikirkan begitu banyak pahala yang diperolehi Mazlin Nordin, pengarah program televisyen Bersamamu, Jaclyn Victor yang berjaya mengalirkan air mata peminat untuk menyumbang kepada masyarakat yang kurang terbela.
No comments:
Post a Comment