Tuesday, August 26, 2008

Mencari Erti Merdeka di Bulan Ramadhan

oleh : Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

“Adik..apa maksud merdeka?” saya bertanya seorang budak berusia lingkungan 8 tahun.

“Merdeka?.. Hmm.. Negara bebas dari penjajah.” Jawabnya.

“Encik, apa erti kemerdekaan bagi rakyat negara kita?” soal saya kepada seorang pemandu teksi pula.

“Negara kita merdeka dari belenggu penjajahan. Kita tahu, sebelum ini penjajah British dan Inggeris telah menguasai Tanah Melayu. Pemimpin-pemimpin kita berjaya mendapat kemerdekaan tanggal 31 Ogos 1957. Perjuangan mereka mendapatkan kemerdekaan perlu dihargai..”

Dua soalan saya tanya pada dua individu berbeza. Satu soalan pada generasi pasca-merdeka, dan satu lagi kepada generasi sebelum merdeka.

Jawapannya berlainan.

Kita selalu mendengar cakap-cakap, khususnya dari pemimpin negara atau generasi yang sudah melewati fasa-fasa kemerdekaan (lahir lebih kurang pada 1940-an), katanya generasi sekarang tidak faham apa erti merdeka yang sebenar. Sebabnya, mereka tidak mengharungi jerih-payah orang-orang dulu memperjuangkan tanah air dari penjajahan.

Orang dulu rasa makan ubi kayu dengan gula. Minum kopi pahit dan rasa penampar Jepun. Tapi generasi sekarang tidak.

Bagi generasi ‘lama’ ini, dengan menghayati susah payah ini (yang mengalaminya) adalah orang yang paling faham maksud kemerdekaan.

Saban tahun, bila menjelangnya ulangtahun ini, media massa akan memutarkan dokumentari perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan. Pastinya yang terpapar adalah suara laungan ‘Merdeka!’ Tunku Abdul Rahman, peperangan Mat Kilau menentang orang putih dan Tragedi Bukit Kepong.

Makna Merdeka Sebenar

Dr Burhanuddin al-Helmi mengungkapkan dalam pantun pusakanya yang masyhur:

Di atas robohan Kota Melaka;
Kita Dirikan Jiwa Merdeka;
Bersatu padulah segenap baka;
Membela hak keadilan pusaka.

Adakah dengan kejayaan menghalau penjajah kulit putih,sudah dianggap merdeka?


Inikah maksud merdeka?

Atau juga dengan berjaya membentuk pemerintahan sendiri juga adalah bebas merdeka?

Dahulunya, kita menderita dengan ketakutan, di mana askar-askar Jepun yang akan memenggal kepala orang-orang yang ingkar dengan perintah mereka. Begitu jua pemerintahan British yang merampas hak-hak orang Melayu dan ketuanan rakyat Tanah Melayu. Rakyat dipaksa bekerja berat, anak-anak gadis takut dan bimbang diperlakukan penjajah.

Apa beza dahulu dengan kini?

Bukankah kini, rakyat juga sering diselubungi ketakutan dan kebimbangan dengan kes-kes dan tragedi ngeri berlaku di sana sini. Pembunuhan, rogol, buang anak, pecah rumah, kecurian, rompak dan macam-macam lagi.

Apa erti merdeka sebenarnya?

Belajar Erti Merdeka pada Ramadhan

Ramadhan kali ini datang selepas kemerdekaan. Untungnya rakyat Malaysia dapat bercuti dua hari.

Bulan Rejab sudah lama berlalu. Kini, Syaaban mula mahu beransur pergi. Yang mengganti, bulan Ramadhan. Namun, itu tidak pasti lagi, kerana ia masih belum menjelma. Cuma doakan kita bisa ketemuinya.

Apa yang pasti, sudahkah kita bersedia menyambutnya seperti hebatnya persiapan menyambut ulangtahun kemerdekaan?

Yang penting, kita boleh dapat banyak pengajaran dalam bulan yang mulia ini. ‘Sekolah’ yang mendidik jiwa dan perangai. Membaiki paradigma dan kebebasan. Inilah makna kemerdekaan sebenar.

Bebas dari hawa nafsu. Merdeka dari pemikiran yang bertuhankan emosi dan kejahatan. Jauhkan diri dari akhlak dan moral yang buruk dan terkutuk. Membina jati diri bagi jiwa yang benar-benar merdeka.

Semoga kemerdekaan yang disambut dirai dengan jiwa kebebasan dan kemerdekaan Ramadhan yang mulia..

Salam Kemerdekaan ke-51, dan
Salam Ramadhan 1429.

Thursday, August 21, 2008

21 Ogos 1969 : Peringati Perjuangan Umat Islam Palestin

oleh; Mohd Aizat Bin Mohd Saleh
Hari demi hari, dalam bulan Ogos ini, kita pastinya menanti-nanti detik ulang tahun kemerdekaan negara kita iaitu 31 Ogos. Kalau tidak silap, kurang dua minggu lagi. Namun, persiapan dan suasana sudah menyelubungi segenap jalan-jalan, pejabat, sekolah-sekolah dan tempat-tempat awam dengan kibaran bendera Jalur Gemilang dan beberapa banner sambutan. Menandakan meriah dan gembiranya meraikan ulang tahun pembebasan negara Malaysia dari cengkaman penjajah.

Saya tidak berapa ‘kisah’ sangat kerana ia disambut setiap tahun.
Walau bagaimanapun, sedar atau tidak pada hari ini, bertarikh 21 Ogos 1969, setiap tahun, juga diingati oleh sekelian rakyat negara Palestin sebagai ulang tahun yang memilukan. Peristiwa di mana kiblat pertama umat Islam iaitu Masjid al-Aqsa dibakar oleh seorang Yahudi laknatullah dalam usaha untuk memusnahkan tempat yang pernah menjadi persinggahan Rasulullah tatkala berlaku isra’ dan mi’raj.
Andainya setiap tahun mahu meraikan kemerdekaan, kita pastinya aka menyoroti kembali sejarah perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan, di sini saya membawa sedikit sejarah seorang tokoh pejuang Palestin yang begitu banyak berjasa kepada pembebasan Palestin dan buat Islam seluruhnya.

Syeikh Ahmad Yassin : Bapa Pejuang Islam Masakini
Syeikh Ahmad Yassin dilahirkan di sebuah kampung bernama al-Jora, derah Majdal di dalam wilayah Asqalan (Ashkelon) pada 1938. Beliau dibesarkan disana sehingga tahun 1948. Ketika pendudukan pengganas Yahudi ke atas bumi Palestin. Beliau dan keluarganya dipaksa berhijrah ke Semenanjung Gaza. Pada mudanya beliau telah ditimpa kemalangan hingga menyebabkannya lumpuh.

Sejarah perjuangan beliau bermula sewaktu mudanya. Beliau mengikuti gerakan atfal hijarah (kanak-kanak batu) kerana menggunakan batu untuk berhadapan dengan zionis. Penentangan ini membawa kepada penangkapan beliau dan beberapa pejuang lain pada 18 Mei 1989. Sebelum itu lagi, pada Ogos 1988, beliau telah dihalau ke Lubnan dan pihak zionis telah merobohkan rumah beliau. Hinggalah beliau dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun.

Peluru Berpandu Pilihannya
Betapa inilah bukti perjuangan dan kesyahidan beliau. Ketika ditanya ancaman bunuh terhadapnya, beliau menjawab : “Jika saya terkorban, akan muncul seribu yang lain seperti saya..” Sehinggalah perjuangan beliau berakhir dengan tiga butir peluru berpandu zionis keatasnya.

Pagi selepas solat Subuh pada 22 Mac 2004, pengasas HAMAS itu sedang dalam perjalanan pulang dari Masjid akademi Islam (Majma’ Islam) yang dibinanya di Gaza. Secara tiba-tiba, tiga buah helikopter tentera rejim zionis Israel menyerangnya. Salah satu peluru jatuh tepat ke tubuh Syeikh Ahmad Yassin sehingga beliau menemui ajalnya bersama-sama dua pembantu yang menolak kerusi rodanya. Serpihan anggota badan dan darah berhamburan di segenap penjuru.

Qudwah Buat Para Pejuang
Saya sangat tertarik dengan beberapa perwatakan dan sifat Syeikh Ahmad Yassin, yang boleh dijadikan contoh buat pejuang-pejuang Islam kini. Sameeh Alawi, merupakan pembantu beliau yang pernah bersama-sama dipenjara bersama beliau, berkata: “Syeikh akan bangun pagi dua jam sebelum Subuh untuk mengerjakan Qiamullail. Pada siang harinya pula, beliau amat rajin berpuasa. Beliau tidak ketinggalan berpuasa pada setiap Isnin dan Khamis. Beliau juga banyak menghabiskan waktu membaca al-Quran dan mendengarnya bersama para pemuda di penjara. Syeikh membaca tiga juzuk dalam sehari dan mendengar bacaan al-Quran satu juzuk sehari. Syeikh amat gemar membaca buku al-Bidayah wa al-Nihayah, mendengar berita dan juga menonton rancangan-rancangan agama di televisyen..”

Kerana itulah, selepas pembunuhan tersebut, Setiausaha Umum Hizbullah, Hassan Nasrallah berkata: “Kesyahidan Ahmad Yassin adalah satu permulaan pada penentangan yang baru, jihad dan intifadah yang lebih besar..”

Semoga semangat, roh dan kefahaman jihad beliau meresap dalam jiwa kita..!

Lanjut mengenai Palestin: http://www.palestinkini.info.com/

Tuesday, August 19, 2008

AUKU : Dari Bilik Kuliah ke Parlimen

catatan : Mohd Aizat Bin Mohd saleh
“Mahasiswa sudah kembali ke zaman gemilangnya semula!” Itulah ungkapan yang boleh saya perkatakan tatkala melihat laporan berita yang disiarkan oleh Buletin Utama jam 8.00 malam tadi.
200 mahasiswa berdemonstrasi membantah pindaan AUKU yang bersifat kosmetik dan ‘main-main oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Beberapa hari lepas sahaja, SMS saya terima berkenaan event tersebut. Lantas saya fowardkan mesej tersebut buat rakan-rakan aktivis mahasiswa yang lain. Masing-masing bertanya, tatkala seakan ragu-ragu berikutan ada beberapa kejutan bakal dilaksanakan.
‘Tak Bai’ di Parlimen
Selepas lebih kurang 10 minit kami terpacak di hadapan Parlimen, sambil ditemani abang-abang POLIS dan SB, front leader mengarahkan kami berbaring di atas jalan raya. Inilah kali pertama dan terakhir demonstrasi yang pernah saya sertai bertindak sebegini. Suatu pengalaman yang sukar dilupakan!

Ada beberapa ketika juga, abang-abang POLIS bermain tarik-tarik tali bersama kami. Saya seakan lucu juga tatkala ada seorang polis yang begitu geram dengan replika ‘mayat’ yang kami usung bersama-sama. Mungkin kecut melihat mayat yang berkafan itu.

Demonstrasi kami disertai hujan renyai-renyai dan beransur lebat apabila beransur 1 jam kami di sini. Delegasi dihantar mewakili beberapa gerakan pelajar, antaranya SMM, GMMA dan GAMIS bagi bertemu sendiri dan meminta jawapan daripada menteri KPT.

Fenomena yang tidak Bisa Dihalang
Saya teringat kata-kata seorang aktivis gerakan, saudara Shekh Omar. Katanya, gerakan mahasiswa umpama sungai yang mengalir, biarpun disekat dengan batu, ia pasti mencari ruang untuk mengalir.

Benar. Saya akui perjuangan mahasiswa dahulu punyai zaman emas. Tidak hairan, pemimpin yang lahir kini umpamanya Dato Seri Anwar ibrahim, Dato’ Shabery Chik, Hishammudin Rais, dan lain-lainnya miliki lagenda tersendiri. Itu dahulu.

Bagi saya, mahasiswa yang lahir dalam akta hari ini tempuhi perjuangan yang lebih sukar berbanding dulu. Dalam cengkaman keras AUKU oleh pemerintah yang tidak berhati perut, masih terbit suara-suara menuntut keadilan dan pembebasan biarpun berhadapan dengan risiko buang universiti.

Sehingga hari ini, pejuang-pejuang mahasiswa seperti saudara Azlan Zainal (PMN), Dzulkhairi (GAMIS), Shazni Munir (GMMA) serta beberapa student leader yang lain, masing-masing mencatat sejarahnya tersendiri. Bukan mereka sahaja, malah ramai lagi yang sudah merasai bisa perjuangan berhadapan pihak berkuasa serta HEP universiti masing-masing.

Walau bagaimanapun, sejara tetap terlakar. Demonstrasi demi demonstarsi tidak akan luput. Suara-suara serta pekikan student power, we unite for justice dan hidup mahasiswa tetap bergema selagi mana masih ada jiwa-jiwa juang anak muda yang memahami sejarah negara dan sedar akan masa depan generasi akan datang.

Percayalah! Kita berjuang bukan untuk kita.. bahkan untuk orang yang hidup selepas kita..
Berita, video dan gambar mengenai Demonstrasi bantah AUKU di hadapan Parlimen. Sila layari:

Sunday, August 17, 2008

Catatan Forum Peranan Akhbar Melayu

disediakan oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh
Media diseluruh negara diingatkan supaya telus dan transparent dalam melaporkan berita serta isu-isu yang berlaku dalam negara. Demikian ingatan yang dinyatakan oleh Dr Fuad Bin Zarkashi dalam Forum ‘Peranan Akhbar Melayu dalam Memperjuangkan Hak Melayu’. Forum yang julung-julung kali diadakan pagi tadi di Dewan Semarak, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya itu dirasmikan oleh Dr Borhan Bin Che Daud, Pengarah Akademi Pengajian Melayu (APM).

wakil PMIUM bersama Dato' Mahadzir Khir

Isu bangsa adalah bebas disuarakan oleh mana-mana kaum sekalipun. Kebebasan ini tidak seharusnya disalah tafsir sebagai oleh pihak-pihak tertentu sebagai rasisme atau perkauman. Terdapat dikalangan masyarakat kini yang menganggap ini adalah suatu yang menjadi ancaman negara.

"Ini pendirian kami.." Dr Fuad Zarkashi khusyuk mendengar pandangan seorang aktivis PMIUM

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) melalui beberapa wakilnya sempat bertemu dengan panelis yang terdiri daripada Dr Fuad Bin Zarkashi, Dato’ Mahadzir Khir dan Abdul Kadir Jasin sebagai wakil daripada Berita Publishing.

Respond daripada pertanyaan aktivis PMIUM berkenaan soalan perkauman yang diperjuangkan oleh sesetengah mahasiswa di kampus kini, beliau menyatakan jika sekiranya niat serta prinsip tersebut betul, ia tidak menjadi masalah. Yang penting hak-hak kaum lain tetap dijaga dan dipelihara.

Dari kiri: Mohd Aizat, Juani Munir dan farahuda

PMIUM diwakili oleh Mohd Aizat Bin Mohd Saleh (aktivis PMIUM), Juani Munir Bin Abu Bakar (Presiden Pemarak), Farahuda Abd Rahman (exco PMIUM), Wan Shahirah Sabri (Aktivis PMIUM).

Saturday, August 16, 2008

Mahasiswa Sambut Baik Penurunan Kadar Caj Perkidmatan PTPTN

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh*

Mahasiswa seluruh negara menyambut baik keputusan kerajaan menurunkan caj perkhidmatan PTPTN daripada 3% kepada 1% melalui kabinetnya semalam. ‘Khabar baik’ itu pastinya menggembirakan mahasiswa seluruh negara khususnya yang menggunakan perkhidmatan PTPTN dan juga para siswazah yang sudah bergraduasi namun masih belum melangsaikan hutang pinjaman.
Melalui kajian, penurunan kadar 2% caj perkhidmatan ini, kerajaan telah menanggung hampir 49 peratus daripada keseluruhan hutang seorang peminjam. Misalnya, jika peminjam melakukan pinjaman sebanyak RM21,000 sepanjang pengajian, maka bayaran yang dahulunya bersama caj perkhidmatan adalah sebanyak RM4116 menurun kepada RM2100. Ini berkurangan sebanyak RM2016. Syabas kepada kerajaan Malaysia!
Mahasiswa sangat mengalu-alukan langkah yang diputuskan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama jemaah menteri yang lain.
Meskipun begitu, kerajaan harus mengkaji serta meneliti dengan cermat pulangan wang pinjaman PTPTN tersebut. Usaha kerajaan untuk memastikan 49 peratus (RM708 juta wang pinjaman) peminjam yang masih belum menjelaskan bayaran semula perlu dibuat secara tegas. Selain itu, kerajaan juga perlu mengambil langkah plan back-up andainya peminjam masih lagi lambat membayar hutang tersebut.
Mahasiswa mencadangkan kepada kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi supaya dapat menjelaskan bagaimana caj perkhidmatan tersebut dapat diturunkan daripada 3 peratus kepada 1 peratus. Kami yakin, seluruh mahasiswa ingin tahu apakah strategi kerajaan sehingga dapat meringankan beban mahasiswa meskipun negara kini dilanda krisis kenaikan harga minyak dan barangan.
Kami yakin usaha kerajaan ini akan dapat membantu lagi dari aspek kebajikan mahasiswa di kampus seluruh Negara.

penulis merupakan aktivis Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan aktivis Pro-Mahasiswa Nasional.

Monday, August 11, 2008

Yuran Tambahan KK12 RM120!

Petaling Jaya 11 Ogos - Setelah mahasiswakini mendedahkan isu yuran tambahan Kolej Kediaman Zaaba UM sebanyak RM100, kini pendedahan yang lebih menggemparkan melibatkan kolej kediaman Raja Dr Nazrin Shah pula.
Berdasarkan aduan dan bukti-bukti yang dikemukan, ternyata pihak pentadbiran Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah juga mengenakan yuran tambahan sebanyak RM120 kepada mahasiswa tahun pertama.
Aktivis Pro Mahasiswa, saudara Aizat Salleh menyatakan rasa kesal di atas tindakan pihak kolej tersebut yang sewenang-wenangnya mengenakan yuran tambahan kepada pelajar baru.
“Yuran-yuran yang dinyatakan dalam buku panduan telah jelas. Ada yuran tidak berulang dan ada yuran berulang namun item Haluan Siswa Kolej tidak pernah wujud selama ini.Yang ada hanyalah caj untuk Minggu Haluan Siswa yang telah ditetapkan sebanyak RN281.Mengapa perlu ada tambahan RM120?”-mahasiswakini
berita lebih lanjut, sila layari : http://mahasiswakini.com

Yuran Pelajar : Mahasiswa Tuntut Penjelasan Pentadbiran Universiti

Baru-baru ini, seorang pelajar yang menginap di Kolej Kediaman Ketujuh Universiti Malaya, terkejut dengan yuran tambahan yang dikenakan di kolej tersebut. Dalam slip yang tertera menyatakan bahawa yuran tambahan yang dikenakan adalah bertujuan untuk caj cenderamata yang dikatakan diberi setiap sesi. Namun yang menjadi persoalannya, yang diberi hanyalah sehelai cadar sahaja.

Pihak HEP telah menetapkan bahawa yuran penginapan bagi kolej yang menyediakan makanan adalah sebanyak sepuluh ringgit sehari. Apa yang menjadi keraguan para pelajar di sini adalah, yuran-yuran tambahan terus dikreditkan di dalam akaun mel pelajar tanpa dijelaskan apakah tujuan yuran tersebut.

Bukan satu kes di atas sahaja yang berlaku, malah sebelum daripada ini perkara seumpama ini telah kerap kali dirungutkan pelajar. Sedar-sedar terdapat hutang yang perlu dijelaskan sebelum mengambil peperiksaan. Jika tidak, pelajar tidak dibenarkan menduduki peperiksaan.


Gerakan Mahasiswa Prihatin (GEMPAR) meminta pihak pengurusan Universiti Malaya agar mengkaji dan meneliti semula yuran-yuran yang dikenakan kepada pelajar. Pihak pengurusan juga dicadangkan agar menjelaskan dengan terperinci yuran wajib yang perlu dibayar oleh pelajar, agar pelajar faham dan tahu ke mana wang-wang mereka disalurkan.

Kami juga mencadangkan agar pihak pengurusan mengeluarkan slip terperinci yuran yang perlu dibayar (kredit) dan yang telah dibayar (debit) oleh pelajar kepada akaun bendahari Universiti Malaya. Dan slip ini dihantar terus ke tangan mahasiswa seperti mana yang dilaksanakan oleh bank-bank seluruh negara. Ketelusan dan kejelasan inilah dapat menjamin kebajikan mahasiswa dan keharmonian mahasiswa seluruhnya.

Mohd Aizat Bin Mohd Saleh,
Gerakan Mahasiswa Prihatin (GEMPAR)

Monday, August 4, 2008

Ke Arah Uni. Malaya yang Sejahtera : Isu Bas


oleh : Mohd Aizat bin Mohd Saleh

Aduh…lambatnya bas…”, rungut seorang student.

“Bas macam banyak, tapi yang bergeraknya satu dua je..”

“Kalau jalan kaki ni dah sampai kot..” seorang lagi mencelah.

Saya sempat mencuri-curi dengar beberapa keluhan dari rakan-rakan saya tahun satu yang ketika itu sedang menunggu bas. Saya sebenarnya turut merasai kesusahan itu.

Saya punyai motor yang saya bawa sejak tahun satu. Waktu itu, peraturan universiti masih membenarkan pelajarnya membawa kenderaan untuk ke kuliah. Namun, bermula sesi ini, UM melalui TNC HEPnya telah mewartakan peraturan baru tidak membenarkan pelajar baru untuk membawa sebarang jenis kenderaan. Dan pelajar tahun kedua dibenarkan hanya membawa motor dan kereta dikhususkan kepada pelajar final year.

Dalam perutusan TNC yang di emailkan, katanya untuk menjimatkan kos minyak yang meningkat. Turut serta menyetujui Deklarasi Kyoto yang antara lain mengurangkan penggunaan kenderaan seiring pengurangan pencemaran.

“Tensen betul!, ada ke pak guard suruh aku parking kereta kat depan tu, pastu suruh aku jalan kaki dari pintu gate sampai fakulti.. habis aku hangus dua kelas hari ni..!”

Rakan saya tahun dua, ditahan pengawal keselamatan UM kerana membawa kereta.

Saya senyum.

Bas, Minyak dan Akademik


Saya berfikir-fikir, apa sebenarnya yang pentadbiran HEP nak kepada pelajarnya. Nakkan jimat kos kerana kenaikan harga minyak? Pergi kot mana pun, tak kiralah orang awam ke hatta student, semua terbeban dengan kenaikan harga minyak. Ok, katalah tak guna minyak untuk kenderaan, tapi makan? Bukankah naik harganya?

Seperkara, saya terkilan kerana pentadbiran sanggup menggadai aspek akademik, demi mengurangkan kos pengangkutan. Cuba bayangkan, seorang rakan saya yang saya ceritakan diatas, seminggu dua kali kena macam tu. Kalau sebulan macamana? Tiga bulan? Satu sem?

Kemudian, saya nak mengajak rakan-rakan saya berfikir lagi, sekarang, pelajar tahun satu mesti menaiki bas ke kuliah dari kolej masing-masing. Ok, fine!. Cuba bayangkan, apabila mereka ini sudah berganjak ke tahun dua, sudah pasti tidak semua akan stay kolej sebab beri laluan kepada adik-adik baru nak masuk. Hmm..cuba fikir jika anda sudah tinggal di luar kolej (rumah sewa) dalam keadaan bas yang hampeh macam sekarang ni. Sudahlah nak tunggu bas Rapid, kemudian bas UM. Buatnya bas Rapid pun lembab, tambah bas UM lambat, sama dengan…tak masuk kuliahla jawabnya!

Itu baru benda basic. Saya bukannya konfran dengan pihak pentadbiran. Tapi cubalah berfikir dan berbincang dengan student sebelum buat keputusan. Nak buat keputusan untuk student mestilah jumpa student. Kalau sakit, jumpa doktor, bukan jumpa kerani. Itu analoginya..

Satu lagi, kalau benarlah, kita sama-sama nak jimat kos pengangkutan kerana kenaikan harga minyak, dan konon-kononnya nak ikut Deklarasi Kyoto (cuba tanya student, ntah tahu ke tak) untuk environment care. Saya mencadangkan agar TNC sendiri dan semua kakitangan UM bersama-sama pelajar ke pejabat dan ke kuliah menaiki bas! Amacam? Barulah betul-betul jimat!

Jika tak boleh sangat pun..tingkatkanlah kualiti perkhidmatan bas. Tambahkan pemandu, berikan elaun lebih pada mereka. Tambahkan bas, walaupun minyak mahal, tapi cover yang student punya, barulah ok! Berkebajikan…

Ataupun kalau dah tak boleh sangat nak buat..berikan saja pada kami untuk membuatnya.

*Penulis adalah Mahasiswa Tahun ke-2 Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Merupakan ahli PMIUM dan Wakil Duta PMIUM di Akademi Pengajian Islam.