Saturday, August 16, 2008

Mahasiswa Sambut Baik Penurunan Kadar Caj Perkidmatan PTPTN

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh*

Mahasiswa seluruh negara menyambut baik keputusan kerajaan menurunkan caj perkhidmatan PTPTN daripada 3% kepada 1% melalui kabinetnya semalam. ‘Khabar baik’ itu pastinya menggembirakan mahasiswa seluruh negara khususnya yang menggunakan perkhidmatan PTPTN dan juga para siswazah yang sudah bergraduasi namun masih belum melangsaikan hutang pinjaman.
Melalui kajian, penurunan kadar 2% caj perkhidmatan ini, kerajaan telah menanggung hampir 49 peratus daripada keseluruhan hutang seorang peminjam. Misalnya, jika peminjam melakukan pinjaman sebanyak RM21,000 sepanjang pengajian, maka bayaran yang dahulunya bersama caj perkhidmatan adalah sebanyak RM4116 menurun kepada RM2100. Ini berkurangan sebanyak RM2016. Syabas kepada kerajaan Malaysia!
Mahasiswa sangat mengalu-alukan langkah yang diputuskan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama jemaah menteri yang lain.
Meskipun begitu, kerajaan harus mengkaji serta meneliti dengan cermat pulangan wang pinjaman PTPTN tersebut. Usaha kerajaan untuk memastikan 49 peratus (RM708 juta wang pinjaman) peminjam yang masih belum menjelaskan bayaran semula perlu dibuat secara tegas. Selain itu, kerajaan juga perlu mengambil langkah plan back-up andainya peminjam masih lagi lambat membayar hutang tersebut.
Mahasiswa mencadangkan kepada kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi supaya dapat menjelaskan bagaimana caj perkhidmatan tersebut dapat diturunkan daripada 3 peratus kepada 1 peratus. Kami yakin, seluruh mahasiswa ingin tahu apakah strategi kerajaan sehingga dapat meringankan beban mahasiswa meskipun negara kini dilanda krisis kenaikan harga minyak dan barangan.
Kami yakin usaha kerajaan ini akan dapat membantu lagi dari aspek kebajikan mahasiswa di kampus seluruh Negara.

penulis merupakan aktivis Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan aktivis Pro-Mahasiswa Nasional.

No comments: