Tuesday, August 26, 2008

Mencari Erti Merdeka di Bulan Ramadhan

oleh : Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

“Adik..apa maksud merdeka?” saya bertanya seorang budak berusia lingkungan 8 tahun.

“Merdeka?.. Hmm.. Negara bebas dari penjajah.” Jawabnya.

“Encik, apa erti kemerdekaan bagi rakyat negara kita?” soal saya kepada seorang pemandu teksi pula.

“Negara kita merdeka dari belenggu penjajahan. Kita tahu, sebelum ini penjajah British dan Inggeris telah menguasai Tanah Melayu. Pemimpin-pemimpin kita berjaya mendapat kemerdekaan tanggal 31 Ogos 1957. Perjuangan mereka mendapatkan kemerdekaan perlu dihargai..”

Dua soalan saya tanya pada dua individu berbeza. Satu soalan pada generasi pasca-merdeka, dan satu lagi kepada generasi sebelum merdeka.

Jawapannya berlainan.

Kita selalu mendengar cakap-cakap, khususnya dari pemimpin negara atau generasi yang sudah melewati fasa-fasa kemerdekaan (lahir lebih kurang pada 1940-an), katanya generasi sekarang tidak faham apa erti merdeka yang sebenar. Sebabnya, mereka tidak mengharungi jerih-payah orang-orang dulu memperjuangkan tanah air dari penjajahan.

Orang dulu rasa makan ubi kayu dengan gula. Minum kopi pahit dan rasa penampar Jepun. Tapi generasi sekarang tidak.

Bagi generasi ‘lama’ ini, dengan menghayati susah payah ini (yang mengalaminya) adalah orang yang paling faham maksud kemerdekaan.

Saban tahun, bila menjelangnya ulangtahun ini, media massa akan memutarkan dokumentari perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan. Pastinya yang terpapar adalah suara laungan ‘Merdeka!’ Tunku Abdul Rahman, peperangan Mat Kilau menentang orang putih dan Tragedi Bukit Kepong.

Makna Merdeka Sebenar

Dr Burhanuddin al-Helmi mengungkapkan dalam pantun pusakanya yang masyhur:

Di atas robohan Kota Melaka;
Kita Dirikan Jiwa Merdeka;
Bersatu padulah segenap baka;
Membela hak keadilan pusaka.

Adakah dengan kejayaan menghalau penjajah kulit putih,sudah dianggap merdeka?


Inikah maksud merdeka?

Atau juga dengan berjaya membentuk pemerintahan sendiri juga adalah bebas merdeka?

Dahulunya, kita menderita dengan ketakutan, di mana askar-askar Jepun yang akan memenggal kepala orang-orang yang ingkar dengan perintah mereka. Begitu jua pemerintahan British yang merampas hak-hak orang Melayu dan ketuanan rakyat Tanah Melayu. Rakyat dipaksa bekerja berat, anak-anak gadis takut dan bimbang diperlakukan penjajah.

Apa beza dahulu dengan kini?

Bukankah kini, rakyat juga sering diselubungi ketakutan dan kebimbangan dengan kes-kes dan tragedi ngeri berlaku di sana sini. Pembunuhan, rogol, buang anak, pecah rumah, kecurian, rompak dan macam-macam lagi.

Apa erti merdeka sebenarnya?

Belajar Erti Merdeka pada Ramadhan

Ramadhan kali ini datang selepas kemerdekaan. Untungnya rakyat Malaysia dapat bercuti dua hari.

Bulan Rejab sudah lama berlalu. Kini, Syaaban mula mahu beransur pergi. Yang mengganti, bulan Ramadhan. Namun, itu tidak pasti lagi, kerana ia masih belum menjelma. Cuma doakan kita bisa ketemuinya.

Apa yang pasti, sudahkah kita bersedia menyambutnya seperti hebatnya persiapan menyambut ulangtahun kemerdekaan?

Yang penting, kita boleh dapat banyak pengajaran dalam bulan yang mulia ini. ‘Sekolah’ yang mendidik jiwa dan perangai. Membaiki paradigma dan kebebasan. Inilah makna kemerdekaan sebenar.

Bebas dari hawa nafsu. Merdeka dari pemikiran yang bertuhankan emosi dan kejahatan. Jauhkan diri dari akhlak dan moral yang buruk dan terkutuk. Membina jati diri bagi jiwa yang benar-benar merdeka.

Semoga kemerdekaan yang disambut dirai dengan jiwa kebebasan dan kemerdekaan Ramadhan yang mulia..

Salam Kemerdekaan ke-51, dan
Salam Ramadhan 1429.

No comments: