Monday, August 11, 2008

Yuran Pelajar : Mahasiswa Tuntut Penjelasan Pentadbiran Universiti

Baru-baru ini, seorang pelajar yang menginap di Kolej Kediaman Ketujuh Universiti Malaya, terkejut dengan yuran tambahan yang dikenakan di kolej tersebut. Dalam slip yang tertera menyatakan bahawa yuran tambahan yang dikenakan adalah bertujuan untuk caj cenderamata yang dikatakan diberi setiap sesi. Namun yang menjadi persoalannya, yang diberi hanyalah sehelai cadar sahaja.

Pihak HEP telah menetapkan bahawa yuran penginapan bagi kolej yang menyediakan makanan adalah sebanyak sepuluh ringgit sehari. Apa yang menjadi keraguan para pelajar di sini adalah, yuran-yuran tambahan terus dikreditkan di dalam akaun mel pelajar tanpa dijelaskan apakah tujuan yuran tersebut.

Bukan satu kes di atas sahaja yang berlaku, malah sebelum daripada ini perkara seumpama ini telah kerap kali dirungutkan pelajar. Sedar-sedar terdapat hutang yang perlu dijelaskan sebelum mengambil peperiksaan. Jika tidak, pelajar tidak dibenarkan menduduki peperiksaan.


Gerakan Mahasiswa Prihatin (GEMPAR) meminta pihak pengurusan Universiti Malaya agar mengkaji dan meneliti semula yuran-yuran yang dikenakan kepada pelajar. Pihak pengurusan juga dicadangkan agar menjelaskan dengan terperinci yuran wajib yang perlu dibayar oleh pelajar, agar pelajar faham dan tahu ke mana wang-wang mereka disalurkan.

Kami juga mencadangkan agar pihak pengurusan mengeluarkan slip terperinci yuran yang perlu dibayar (kredit) dan yang telah dibayar (debit) oleh pelajar kepada akaun bendahari Universiti Malaya. Dan slip ini dihantar terus ke tangan mahasiswa seperti mana yang dilaksanakan oleh bank-bank seluruh negara. Ketelusan dan kejelasan inilah dapat menjamin kebajikan mahasiswa dan keharmonian mahasiswa seluruhnya.

Mohd Aizat Bin Mohd Saleh,
Gerakan Mahasiswa Prihatin (GEMPAR)

No comments: