Sunday, February 19, 2012

Manusia dan dunia.. Kita akan lebih redha andai kita mengenalinya..


oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Dunia dengan manusia, memang tidak dapat dipisahkan. Dunia diciptakan oleh Allah untuk manusia berada di dalamnya, berjalan, bekerja, mentadbir, berurusan sesama manusia. Lebih dari itu, untuk manusia menimba, mengaut dan mengumpul bekalan untuk melepasi satu lagi dunia selepasnya.

Ibaratnya sebuah permusafiran yang tidak diketahui penghujungnya. Seumpama sebuah kapal yang memuatkan manusia yang sedang berlayar ke satu destinasi, yang merentasi lautan membiru yang apabila dilihat seolah ia berlayar tanpa perhentian. Di kiri dan kanan, dikelilingi lautan yang hanya ditemani ombak dan burung-burung yang berterbangan.

Dunia tidak lebih dari musafir sementara

Suatu hari, seorang sahabat Rasulullah, Abdullah bin Mas'ud r.a bertemu Baginda di rumahnya, lalu ketika itu melihat Rasulullah sedang berbaring. Kelihatan di belakang badan Baginda kesan jalur-jalur akibat tikar kasar daripada daun pohon kurma yang kasar.

Lalu berkata Abdullah bin Mas'ud: "Wahai kekasih Allah, sekiranya Engkau memerintahkan aku mencari sebidang hamparan yang lembut buatmu nescaya aku akan berusaha mendapatkannya."

Kata Baginda: "Bagiku, berada di dunia ini ibarat seorang yang berjalan di tengah panas lalu singgah sebentar di bawah pohon kayu yang rendang, selepas berehat barang seketika menghilangkan penat, maka beredarlah dia meninggalkan pohon rendang itu dan meneruskan perjalanan.."

Bila bermusafir, segala persediaan dilakukan secukupnya. Kita tidak berharap untuk tinggal di satu-satu persinggahan atau tempat berehat itu buat selama-lamanya. Kita akan berfikir, kita harus menuju ke tempat yang lain lagi selepas itu. Kita juga sentiasa berhati-hati saban masa kerana berada di perjalanan yang masih panjang.

Musafir dunia dan manusia

Justeru itu, bagi manusia, kita adalah hamba yang musafir. Melalui sebatang jalan kehidupan yang memiliki ranjau dan onak duri yang merintangi sepanjang jalan. Mahu tidak mahu kita pasti dan mesti melaluinya. Bezanya, bagi manusia, rintangan itu hadir dalam bentuk kesusahan dan kesenangan.

Sepanjang jalan musafir, kita pasti juga akan melihat pelbagai ragam dan bentuknya manusia. Allah itu Maha Adil, manusia dilahirkan dalam keadaan dan fitrah yang sama, melalui jalan yang sama, dan dibekalkan dengan kemampuan yang sama. Manusia diberi pilihan memilih jalan dan membuat persediaan menempuh jalan musafirnya itu. Dari situ, gelagat dan tingkah manusia berubah, dan kita melihat pelbagai ragam dan golongan manusia dalam perjalanan musafir kita.

Bagi Mukmin yang memerhati, melihat dan berfikir, lalu mengaitkan dengan keagungan Allah, mereka melihat ragam dan tingkah manusia ini dengan penuh redha. Mereka redha lantaran mengenali dan memahami perjalanan musafir mereka penuh dengan ranjau. Lalu, tidak semua manusia tahan dan 'kebal' dengan cabaran yang mendatang.

Hakikat manusia

Manusia tidak dapat lari dari kecintaan mereka kepada perkara-perkara yang seronok dan memberikan manfaat kepada mereka. Ia adalah fitrah yang dikurniakan Allah. Dan dalam perjalanan musafir itu, Allah bekalkan sifat-sifat tersebut agar manusia tidak kesunyian di dalam perjalanan. Firman Allah:

"Telah dihiaskan bagi manusia itu mencintai (suka kepada) hawa nafsu terhadap wanita, anak-anak, kekayaan yang melimpah-ruah dari emas dan perak (wang), kuda yang tangkas (kenderaan yang mewah), ternakan dan sawah ladang (perniagaan). Itulah perhiasan kehidupan dunia.." (Ali-Imran, 14).

Manusia akan berlumba-lumba mengejar kemewahan, kerana itu akan menaikkan darjat kehidupan, manusia lebih menyanjunginya, kehidupan mereka terjamin dan dikelilingi dengan ramai kawan. Hakikat manusia sering menyanjung orang-orang yang ada nama, yang lebih kaya, yang punyai pangkat dan jawatan yang tinggi. Kerana dunia meletakkan nilaian sebegitu sebagai penghormatan dan sanjungan.

Bagi orang Mukmin, dalam tempoh dan perjalanan musafirnya, kita akan bertemu dengan pelbagai golongan yang berbeza dan berlainan. Ada yang diberi pelbagai nikmat dan kesenangan, tidak ketinggalan yang diberi kesusahan dan keperitan hidup. Tidak kira dari golongan mana sekalipun, mereka juga melalui jalan yang sama, ranjau yang sama dan akan menuju ke destinasi yang sama.

Kita juga akan bertemu hakikat dan sifat manusia yang sentiasa berkeluh kesah apabila menghadapi ujian dan kedekut dengan nikmat apabila dikurnia kebaikan dan kesenangan . Firman Allah:

"Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kedekut. Apabila dtimpa kesusahan, ia berkeluh-kesah. Apabila diberi kebaikan, ia bersifat kedekut." (Al-Ma'arij, 19-21).

Manusia juga cenderung bertemu dengan perkara dan manusia yang boleh mengubati lukanya apabila mereka berada dalam keluh kesah. Mereka berusaha mencari motivasi-motivasi yang boleh membina jiwa mereka.

Jangan bersedih dan berdukacita

Kita tidak akan bimbang dan berasa sedih seandai kita mengenali hakikat sifat manusia ini. Andai kita mengharap kepada manusia, lalu kita dihampakan, usah berdukacita, kerana itulah sifat manusia. Manusia tidak lari dengan kepentingan-kepentingan tertentu. Setengah manusia akan bersahabat dengan sahabat yang punyai kepentingan kepadanya sahaja. Demikan sifat manusia yang diciptakan Allah.

Orang kaya berkawan dengan orang kaya, ini kerana kedua-dua punyai kepentingan perniagaan dan harta. Orang politik bersahabat dengan orang politik dan berjawatan kerana disana mereka akan memperolehi manfaat dan kepentingan tertentu. Itulah hakikat manusia dengan dunia yang mereka lalui. Kita akan redha dengan semua ini andai kita mengenalinya.

Tujuan dan keperluan hidup

Manusia sentiasa berada dalam dua keadaan di dalam perjalanan musafir. Antara tujuan dan keperluan hidup. Ibarat di dalam musafir, tujuan hidup adalah titik akhir permusafiran kita, manakala keperluan hidup adalah bekalan-bekalan dan keperluan yang digunakan sepanjang musafir. Dua perkara yang sangat berbeza..

Dalam menghadapi hakikat inilah manusia sering terkandas dan tewas. Sukar membezakan antara keduanya. Ramai manusia yang menumpukan keperluan hidup sepanjang hidup dan perjalanan musafirnya, lalu kita melihat manusia dikejar dengan kemewahan dan pangkat yang melalaikan. Keperluan hidupnya sudah berubah menjadi tujuan hidup. Sedangkan dia meletakkan perkara yang bersifat sementara di dalam tujuan hidupnya.

Manakala keperluan hidup semestinya dicari, ia keperluan. Umpama menyediakan sumber kewangan, makanan, tempat tinggal dan sebagainya. Di dalam musafir, mesti ada bekal, dan bekal inilah buat digunakan sepanjang jalan. Bezanya, orang Mukmin tidak akan menyediakan bekalan yang menyebabkan dia kesusahan di dalam perjalanan. Cukup sekadarnya sahaja.

Andai kita faham hakikat ini, kita akan redha dan syukur dengan dunia dan manusia. Tidak berharap sepenuh hati. Mengambil yang sekadarnya kerana perjalanan masih panjang dan jauh serta bekalan masih belum cukup untuk dibawa ke titik akhir..

19/02/2012 (Ahad)
09:15 p.m