Monday, September 7, 2009

Sedikit Coretan Ramadhan

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Marwan yang semangat

Hari Ahad, berkesempatan bersama-sama rakan-rakan OKU (Orang Kurang Upaya) di Kolej Kediaman ke-7 dalam satu program usrah. Berkenalan dengan Marwan, abang Hidayat, Ubaidullah Kelantan, abang Sam, abang Arif dan Rizal selaku ketua PERMIUM, cukup menginspirasikan.

Marwan cukup senang meluahkan pengalamannya. Dia cacat penglihatan kerana jangkitan penyakit sedari kecil. Katanya, dahulu dia punyai ramai kawan, tetapi kini sudah berkurang, kerana ramai tak nak bersahabat dengannya, dia tidak boleh nampak.

Tapi, Marwan punya cita-cita besar, dia nak jadi guru kepada orang-orang cacat satu hari nanti.

Abang Dayat juga begitu. 2 tahun dahulu, dia seperti kawan-kawannya yang lain, boleh berlari, boleh ketawa riang. Namun, selepas peristiwa kemalangan, pergerakannya terbatas sedikit. Kena berkerusi roda ke sana ke sini.

Saya pesan pada mereka, dahulu Abdullah Bin Abi Maktum juga cacat penglihatan. Minta kepada Rasulullah untuk berperang, tetapi Nabi tidak izinkan. Tetapi Abdullah dengan semangat memberitahu, andai aku keluar berperang, akulah orang yang paling berani, kerana aku boleh memancung sesiapa sahaja kerana aku tidak nampak siapa di hadapan aku. Lalu, Rasulullah benarkan dia.

Walid yang cepat belajar

Walid sewaktu saya kenalinya di kolej kediaman ke-8 dahulu, sangat pemalu orangnya. Dia berasal dari Yaman dalam fakulti kejuruteraan. Susah bertutur dalam bahasa lain selain bahasa arab sahaja.

Tahun kedua, dia beritahu, dia telah berpindah ke kolej kesebelas, katanya di sana ramai kawan yang sama negara dengannya. Saya setuju, ketika dia bertanya dahulu untuk ke sana, biarlah dia lebih bergaul dengan kawan senegaranya.

Walid memang cepat belajar, dahulu dia selalu bawa buku tulis 80 mukasurat. Saya tanya untuk apa? Dia jawab, nak salin perkataan-perkataan baru dalam bahasa Malaysia. Saya senyum dan tepuk bahunya. Hari kesepuluh Ramadhan, saya terserempak dengannya ketika tarawih, dia menegur saya. Dia sudah menjadi ketua bagi pelajar antarabangsa di situ.

Marwan dan Walid. Kedua-dua miliki semangat yang sama. Walau kudrat dan hidup berbeza.

Bulan Ramadhan menginsafkan. Kadangkala Allah bagi kesedaran bukan pada puasa, tapi pada kehidupan dan sekeliling. Saya berterima kasih pada Ramadhan, pada Allah..

No comments: