oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh
Sewajarnya, untuk membandingkan aktivisme gerakan mahasiswa dahulu, dengan gerakan mahasiswa hari ini adalah amat tidak releven. Seumpama meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya.
Mahasiswa dahulu diambil kira kehebatannya melalui gerakan-gerakan demonstrasi dan siri-siri desakan yang kebanyakannya menuju kepada pihak pemerintah. Sebagai contoh dalam tahun 1974, mahasiswa menggerakkan demonstrasi 5,000 rakyat di Kelab Sultan Selangor mendesak kerajaan mengambil tindakan segera terhadap masalah kemiskinan di Baling.
Lebih dari itu pada tahun yang sama di Universiti Malaya, mahasiswa yang diketuai presiden PMUM Kamaruzzaman Yaakub, membina sejarah apabila mengambil alih pentadbiran UM hanya kerana isu kenaikan harga makanan.
Nampak ketika itu, mahasiswa begitu konsisten bersifat radikal dan desakan dan ia diterima sebagai satu perjuangan di mata rakyat.
2009 dan gerakan mahasiswa
Tempoh setahun pasca Pilihan Raya Umum ke-12, membuka dimensi baru gerakan mahasiswa dalam membentuk landskap negara Malaysia. Terkesan dengan angin perubahan yang melanda rakyat, lalu memberi impak kepada kemenangan kumpulan pro mahasiswa di kampus Universiti Malaya setelah hampir enam tahun dikuasai kumpulan pro kerajaan.
Bermula kemenangan itu, mahasiswa mula membuka satu lapangan baru dalam mendepani isu-isu serta mencorak gerakan. Barisan Bertindak Mahasiswa Nasional (BBMN) telah diwajahkan kepada Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN). Perjuangan bercorak negosiasi profesional membawa MPMN menjuarai isu-isu sosial nasional negara.
Permulaan gerakan, transformasi Malaysia
Kegagalan kerajaan Malaysia yang dipimpin Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak menangani kebajikan rakyat, kemelesetan ekonomi, serta hubungan kaum dan agama, membawa Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) membentuk satu ‘Deklarasi Mahasiswa’ demi menyelamatkan generasi dan Malaysia.
Satu kongres telah diadakan di Shah Alam yang dihadiri front-front mahasiswa seluruh Malaysia bagi membincangkan domain-domain penting ke arah pembentukan negara Malaysia yang lebih baik. Antaranya aspek hubungan kaum, kedudukan agama, perlembagaan dan demokrasi, undang-undang, pendidikan, pembangunan ekonomi dan hak-hak asasi rakyat Malaysia.
Perjuangan rakyat antarabangsa
Pertengahan bulan Julai, mahasiswa sekali lagi turun di jalanan apabila membantah perlakuan kejam pembunuhan beramai-ramai di masjid wilayah Selatan Thailand. Hampir 1000 mahasiswa berarak bermula dari Masjid As-Syakirin ke kedutaan Thailand dan diakhiri dengan penyerahan memorandum bantahan.
Perjuangan mahasiswa membela rakyat
Mahasiswa sentiasa menjadi urat nadi kepada kesengsaraan rakyat yang ditindas dan dizalimi. Seringkali suara-suara rakyat digemakan mahasiswa melalui perjuangan pembelaan kelompok kecil dan marhaen.
Isu kudeta negeri Perak pada bulan Februari menjadi perhatian mahasiswa apabila GAMIS dan SMM bertindak memobilasi mahasiswa dalam perhimpunan rakyat Perak di Masjud Ubudiah, Kuala Kangsar, Perak.
Dalam masa yang sama di Istana Negara, kumpulan-kumpulan mahasiswa yang prihatin dan simpati dengan perjuangan rakyat Perak telah menghantar satu memorandum bantahan kudeta kepada Yang Dipertuan Agung. Di dalam tuntutan tersebut, mahasiswa mendesak agar dibubarkan segera DUN Perak bagi memberi mandat kepada rakyat Perak memilih pemimpin.
Selain daripada itu, isu kekurangan bekalan air kepada masyarakat Labuan pada awal Disember, telah sekali lagi mendesak mahasiswa yang dianggotai Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (KAMI) dan MPMN bertemu dengan Perdana Menteri di Putrajaya bagi membincangkan penyelesaiannya. Pihak kerajaan akhirnya bersetuju menimbangkan tuntutan mahasiswa di dalam isu tersebut.
Membela hak mahasiswa
Disamping menjadi suara penghubung antara rakyat kepada pemerintah, gerakan mahasiswa turut tidak terlepas dalam memperjuangkan isu yang menimpa hak-hak mahasiswa.
Umpamanya di dalam isu kenaikan harga yuran yang terlampau tinggi dan membebankan di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), telah mendesak tertubuhnya gerakan mahasiswa sedar (GMS) yang menuntut agar pentadbiran KUIS mengkaji dan menurunkan yuran segera. Perjuangan ini mendapat perhatian Menteri Besar Selangor dan akhirnya membuat keputusan memberikan peruntukan kebajikan khas kepada mahasiswa.
Desakan demi desakan keatas undang-undang yang cuba menyekat aktivisme serta membunuh idealisme mahasiswa terus giat dilakukan. Apabila kerajaan bersetuju untuk menggunakan sistem E-Undi di dalam pilihan raya kampus (PRK) , mahasiswa seluruh universiti bangkit dan menubuhkan satu gerakan yang dinamakan Gabungan Mahasiswa Membantah E-Voting (BANTAH), dengan bermatlamat menyekat berlakunya pencabulan demokrasi kampus melalui sistem ini.
Dan pada bulan November, gerakan ini berjaya menyerahkan memorandum bantahan dan tuntutan mahasiswa kepada menteri dan timbalan menteri Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), setelah satu himpunan bantahan E-Voting dilancarkan di UPM.
2009 dan gelombang baru mahasiswa
Tahun 2009 menyaksikan satu gelombang bentuk baru kepada gerakan mahasiswa telah terjadi. Seakan mahu mengembalikan kegemilangan gerakan mahasiswa era 80-an namun dalam dimensi baru yang lebih terkehadapan.
Status check and balance kepada kerajaan pemerintah, mahupun mana-mana pihak masih lagi menjadi prinsip utama gerakan mahasiswa yang tegar untuk digugah walau zaman demi zaman telah berlalu. Mahasiswa akan kekal menjadi kelompok watch dog, menyuarakan pandangan tanpa dikongkong, menjadi benteng pertama rakyat dan bersedia menggantikan kepimpinan seandainya ia memerlukan.
Apa yang pasti, sekatan dan tekanan kepada mahasiswa pasti akan berlangsung tanpa henti. Namun, ini sekali-kali bukan menjadi tunggul yang menghalang dari gerakan itu mati atau rebah sekalipun semua pemimpinnya dibunuh.
Benar seperti ungkapan seorang tokoh aktivis mahasiswa, “Kerajaan atau mana-mana pihak boleh memenjarakan mahasiswa, namun mereka tidak boleh menghalang kebangkitan mahasiswa!”.
No comments:
Post a Comment