Tuesday, September 23, 2008

Bingkisan Coretan Kenangan

Alhamdulillah. Akhirnya sudah sampai ke penghujung sepuluh hari-hari terakhir Ramadhan al-Kareem. Suasana semakin syahdu untuk kita beramal ibadah, mengutip ganjaran dan memohon keampunan Allah s.w.t.


Sekadar berkongsi buat teman-teman yang setia mengunjungi blog. Minggu lepas, saya dengan beberapa sahabat dalam perjalanan ke Hulu Langat, menyertai program motivasi kecemerlangan diri. Kami bertolak menaiki motorsikal dari UM jam 7.40 malam seusai berbuka. Hingga singgah di Cheras, menunaikan kewajipan solat maghrib.


Kami berhenti di sebuah stesen minyak Petronas yang memiliki surau, ia bersebelahan dengan Restoran Cerama. Namun, suraunya sangat kecil untuk menampung jemaah yang hadir, ditambah lagi pengunjung yang berbuka di restoran sebelahnya itu.


Saya berbisik kepada Ezat Afiq. Macamana ni? Takkan nak tunggu lama hingga jemaah dalam surau itu tamat, sedangkan waktu maghrib hampir luput. Lalu kami buat keputusan untuk solat di kawasan lapang di luar surau, di atas tanah. Mulanya berasa sangsi, adakah betul tindakan ini. ”Alah!..kat luar pun bersih juga, kita mula dulu” Fadzil menenangkan kami.


Iqamat dilaungkan, solat didirikankan. Sehinggalah salam terakhir, saya menoleh. Agak terkejut. Kerana beberapa saf dibelakang dipenuhi jemaah yang mengikuti kami. Rupa-rupanya orang-orang disekeliling kami menunggu-nunggu kami untuk mulakan solat di situ.


Betapa indahnya Islam itu. Mudah diamal di mana-mana. Hanya yang perlu untuk ’siapa yang memulakannya’. Kadangkala orang segan nak buat sesuatu kerana takut tak betul, maka kitalah sebenarnya membimbing mereka, sebagai rakan, guru dan sahabat. Apa pun, Ramadhan ini banyak pengajaran yang perlu diiktibari.


Salam Ramadhan

Salam Harapan dan Perubahan


Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Kuala Lumpur.

No comments: