Tuesday, September 23, 2008

Universiti Apex : Membawa Malaysia di Persada Dunia

Salam Ramadhan Kareem dan Selamat Bermunajat kepada seluruh rakan-rakan saya yang beragama Islam di saki-baki terakhir bulan mulia ini. Salam Harapan dan Perubahan menuju kecemerlangan!

Universiti Apex masih saya minat untuk diperbualkan biarpun isunya sudah agak ‘sejuk’ berlalu. Mana tidaknya, saya sebagai warga Universiti Malaya, sedikit tersentak apabila pengumuman oleh Dato Seri Khaled Nordin yang mengiktiraf USM sebagai yang layak menyandang gelaran itu. Saya bukan anti-USM, malah saya punyai ramai kenalan di sana. Apatah
lagi untuk saya menyanggah keputusan KPT, tidak sekali-kali.

Perlu diketahui rakan-rakan sekalian, apabila menyebut tentang Universiti Apex, kita sebenarnya sedang membicarakan perihal universiti terbaik dunia. Ia seangkatan Havard University atau mungkin Oxford University. Dalam perkara ini, saya hanya suka mengutarakan maklumat, dan biar rakan-rakan sendiri menilai potensi universiti-universiti ini dalam status Universiti Apex tersebut.

Baiklah. Untuk pengetahuan, agenda
Universiti Apex ini terangkum dalam Agenda Kritikal Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dengan misi ‘Pemangkin Transformasi Menyeluruh’ dalam pengajian tinggi. University Apex akan diberi kuasa autonomi menyeluruh dari segi meletakkan kedudukannya dalam kelas dunia. Di samping itu, Lembaga Pentadbiran Universiti adalah terdiri daripada professional diberi kuasa tadbir yang penuh dan ia berkuasa memilih pelajar berdasarkan merit akademik dan criteria lain yang dilaksanakan secara holistic termasuk melalui temuduga. Bagi saya, jika beginilah mandat yang diberi kerajaan, maka bukan calang-calang universiti yang boleh diiktiraf sebegini rupa.

Oleh yang demikian, standard yang perlu dicapai untuk mengungguli pengiktirafan Universiti Apex ini adalah memiliki 1) Pemimpin Terbaik, 2) Fakulti Terbaik, 3) Pelajar Terbaik dan 4) Kemudahan Terbaik. Dengan empat aspek inilah penilaian dilaksanakan. Diantara universiti-universiti tempatan, anda boleh menilai sendiri yang mana paling menepati aspek-aspek yang disebutkan di atas.


Paling menarik, setelah diumumkan sebagai university Apex, satu pasukan khas akan diwujudkan yang akan dianggotai ahli-ahli akademik tempatan dan antarabangsa, pemimpin university, tokoh-tokoh korporat dan wakil kerajaan untuk membangunkan mekanisme university tersebut. Dengan pelan pembangunan jangka panjang yang dihasilkan, university itu bakal mengalami revolusi pendidikan yang lebih maju kehadapan dan tersenarai dalam rangking seratus university terbaik dunia menjelang 2010. Ini belum lagi menyebut insentif atau bajet yang akan diperuntukkan kerajaan kerana agenda university Apex ini turut dimuatkan dalam Rancangan Malaysia Ke-Sembilan kerajaan Malaysia.


Apa pun, segulung tahniah saya ucapkan buat Universiti Sains Malaysia. Saya rasa, tak perlulah saya gambarkan bagaimana situasi USM sekarang untuk saya letakkan ia dalam Universiti Apex. Cukup aspek-aspek yang saya sebutkan di atas, anda sendirilah yang menilainya.


Walau bagaimanapun, Universiti Malaya atau universiti-universiti lain tidak perlu terlalu bimbang. Ini kerana KPT dalam kenyataannya mensasarkan satu atau dua buah university Apex akan diwujudkan dalam tempoh RMK-9 ini. Justeru itu, peluang kekosongan dan persaingan masih ada.


Sebagai warga Universiti Malaya tercinta, pastinya saya mahu pengiktirafan itu milik UM. Oleh itu, saya menyeru seluruh rakan-rakan dan teman-teman khususnya Universiti Malaya dan university lain umumnya, sama-sama memikirkan sumbangan yang boleh disalurkan untuk universiti masing-masing. Sumbangan idea, kepimpinan, kecemerlangan, akademik, perpaduan dan sebagainya perlu dirancakkan dan dibudayakan dalam kepimpinan pentadbiran serta mahasiswa universiti. Idea-idea lama dan unreality wajar digantikan dengan agenda-agenda baru yang segar dan lebih praktikal.


Zaman yang sepatutnya berlalu mesti dibiarkan berlalu. Berikan laluan kepada ‘perubahan-perubahan’ yang bakal melahirkan generasi baru yang seiring globalisasi dan arus perdana yang semakin pantas.


Saya yakin, masih ada harapan untuk berubah.


Salam Harapan,

Salam Perubahan.


Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Universiti Malaya Kuala Lumpur.

No comments: