Wednesday, October 29, 2008

Bajet 2009 Tidak Diyakini, Mahasiswa cadang 'Bajet Mahasiswa'


Pada 23 Oktober 2008, Pakatan Rakyat telah mengumumkan ‘Bajet alternatif’ kepada bajet yang diumumkan kerajaan Barisan Nasional yang dibentangkan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi pada 29 Ogos 2008 yang lalu. Bertemakan ”menangani kemelut ekonomi dan memulihkan keyakinan”, Pakatan Rakyat dilihat menggagaskan idea murni berupa teguran atau tambahan membaik-pulih dan memurnikan belanjawan kerajaan.

Kerajaan Barisan Nasional melalui ’Bajet Prihatin’, mengetengahkan isu keperluan rakyat seperti penubuhan tabung khas 25 juta kepada keluarga yang ditimpa musibah di samping pendapatan bantuan tambahan buat rakyat Sabah dan Sarawak. Sebelum ini pula, pada 2008 kerajaan telah mengumumkan ’Bajet Pemurah’ kepada rakyat Malaysia.

Intipati Bajet Pendidikan : Antara BN dan PR
Kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam bajet prihatinnya meletakkan strategi kedua : membangunkan modal insan berkualiti sebagai sasaran kepada golongan pelajar. Dalam isi bajet tersebut, sebanyak 23 peratus dikhususkan untuk membangunkan pendidikan dan latihan

Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) pula, mensarankan 11.86 bilion buat pembangunan pendidikan dan menumpukan kepada aspek membangunkan prasarana sekolah-sekolah seperti menaik taraf kemudahan, kelengkapan kemudahan elektrik dan sebagainya.

Semua ini hanya dilihat menjurus kepada kemajuan infrastruktur pendidikan kearah yang lebih maju dan moden.

Soalnya disini adalah, bagaimana dengan bajet bagi pendidikan tinggi? Khususnya kepada mahasiswa-mahasiswi di kampus-kampus yang juga adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia. Lama sebelum ini, kerajaan ada juga membentangkan dalam RMK-9 berkenaan meningkatkan modal insan melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang menyaksikan peruntukan sebanyak 2.6 bilion untuk melonjakkan pendidikan luar bandar. Juga menumpukan kepada aspek memajukan infrastruktur kemudahan.

Bajet yang Tidak Diyakini
Saya berpandangan kedua-dua bajet tersebut sama ada dari kerajaan BN mahupun PR, masih tidak dapat meyakinkan mahasiswa berkenaan masa depan pendidikan pengajian tinggi serta melahirkan modal insan mahasiswa kelas pertama yang intelek dan kritikal serta mampu memimpin. Apa manfaat yang mahasiswa dapat melalui pembangunan dan permodenan infrastruktur? sedangkan dalam masa yang sama masih berlambak isu-isu mahasiswa yang tidak perlu saya listkan disini belum dapat ditangani dengan jelas oleh kerajaan BN mshupun PR.

Sewaktu pilihanraya kecil Permatang Pauh lalu, yang menyaksikan ia adalah pilihan raya penentu masa depan Malaysia, wakil mahasiswa seluruh negara turun bertemu kedua-dua calon bagi mengutarakan pembaik pulihan serta gagasan pembaharuan dalam pengajian tinggi dan pendidikan negara yang menjadi aspirasai mahasiswa. Namun, sehingga hari ini dimana suara-suara dari kami itu yang dibawa oleh mereka?

Saranan dan ’Bajet Mahasiswa’
Jika sekiranya kedua-dua pihak tidak mampu untuk mencadangkan bajet khusus kepada pembangunan mahasiswa, di sini kita mengemukakan ’Bajet Mahasiswa’ sebagai aternatif kepada kedua-dua bajet tersebut;

Pendidikan Bebas dan Kebajikan:
Mahasiswa mencadangkan kepada kerajaan dan PR agar menilai semula sistem pendidikan di Malaysia yang dilihat tidak mampu melahirkan mahasiswa yang seimbang. Sistem yang berorientasikan peperiksaan haruslah dimansuhkan dan digantikan dengan sistem yang membebaskan pelajar dalam akademik. Mahasiswa mengambil penting saranan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah agar sistem pendidikan yang terlalu taksub kepada prestasi pencapaian akademik semata. Mahasiswa juga mahukan sistem yang fleksibel dalam memberikan ruang kepada mahasiswa membangunkan potensi modal insan yang ada pada mereka.


Justeru itu, peraturan dan akta yang mengongkong pencapaian dan prestasi akademik dan karisma kepimpinan perlu dihapuskan terutama Akta Universiti dan Kolej Universiti. Para ahli akademik juga diberi kebebasan mengkaji dan mengutarakan pendapat tanpa disekat. Selain itu, mahasiswa juga mahukan agar sekurang-kurangnya 50% peratus daripada bajet pendidikan disalurkan kepada kebajikan dengan menjadikan pendidikan dinikmati secara percuma.

Mahasiswa mengharapkan adanya tindakan susulan berikutan bajet 2009 yang dikemukakan kedua-dua pihak masih belum dapat meyakinkan masyarakat mahasiswa berhubung hak-hak yang perlu dibela terhadap mahasiswa.

Mohd Aizat Bin Mohd Saleh
Aktivis mahasiswa

No comments: