Tuesday, October 28, 2008

Selamat Tinggal

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh
PROLOG
Tiga hari lagi Syawal akan berlabuh pergi, meninggalkan buat seluruh umat Islam di serata dunia. Ramadhan, sudah sebulan yang lalu menyepi. Menyepi tapi akan kembali. Yang tinggal, hanyalah sisa dan baki rembesan didikan roh Ramadhan yang disulami kesyukuran fitrah Aidilfitri.

Ramadhan memberi peluang buat kita selama tiga puluh hari menyucikan hati dan jiwa, mengejar-ngejar ibadah dan mencari lintasan lailatul qadar. Hanya yang benar-benar mengambil kesempatan dan menghargai nilainya telah merasainya. Tarbiyah Ramadhan melahirkan insan yang rohaninya sangat cintakan ketenangan dan kedamaian. Ini terpancar dalam sikap dan tindak-tanduknya.

Teruskanlah Budaya Ramadhan
Ramadhan dan Aidilfitri di Malaysia begitu memberi sejuta ketenangan. Kerana setiap bulan itu penuh dengan ceritanya. Pesta ’makan-makan’ menjelang malam bagi saya sesuai diungkapkan apabila menjengah berbuka puasa. Bayangkanlah, ditangan seorang itu sebungkus cendol dengan nasi ayam, ditambah lagi roti john untuk disantap selepas solat maghrib. Ini belum lagi masuk waktu isyak dan moreh bubur lambuk atau kuih-muih lepas tarawih. Hmm.. semua ni yang saya kata pesta makan-makan tu.


Apa-pun ia pesta ibadah jua. Saya masih bersyukur, di Malaysia mengamalkan ibadah solat tarawih sebanyak 20 rakaat. Saya tidaklah ingin membeza-bezakan soal hukum dan sunnah kerana ini jelas. Bagi saya, di kesempatan bulan yang mulia yang di bulan lain tidak adanya solat tarawih ini, apalah kiranya melebihkan solat hingga ke 20 rakaat. Lebih ibadah, lebihlah pahalanya.

Syawal Memohon Keampunan
Menelusuri akhir-akhir Ramadhan, menjelang Syawal, uruf dan adat di Malaysia membudayakan pulang ke kampung. Dengan tujuan bertemu sanak-saudara serta orang tua bagi yang lama tidak pulang. Bagi saya ini sangat baik dan uruf ini sangat elok diteruskan. Aidilfitri bulan bermaafan dan kesyukuran. Aidlifitri penyerinya adalah makanan serta berkunjung-kunjungan. Cubalah bayangkan hari raya tanpa makanan seperti lemang, ketupat, kuih raya dan sebagainya? Saya rasa nak bersembang pun tak ada idea. Pun begitu, tidak ada masalahnya, asalkan tidak membazir-bazir.



Bagi perantau, khususnya rakan-rakan yang mencari ilmu di seberang laut, juga menyambutnya. Biasalah agak terkilan tanpa orang tersayang di sisi. Namun pengorbanan ilmu itu lebih utama. Jangan di tangiskan kerana doa mereka senantiasa di sisi.

EPILOG
Segala-galanya bakal berlalu. Yang pentingnya, apa yang kita lalui bakal memberikan seribu makna dalam diri. Ramadhan dan Syawal. Kita akan bertemu lagi, tetapi tidak pasti. Yang pergi, akan tetap pergi pabila tiba masanya. Yang tinggal akan terus berjuang meneruskan kehidupan. Mengharapkan redha Allah dalam setiap langkah. Semoga ditemukan lagi.

Salam Aidilfitri.

No comments: