Wednesday, January 16, 2008

TAFSIR AL-FURQAN - Muqaddimah (Siri 1)


TAFSIR Al-FURQAN, oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Mengimbas kembali pertemuan saya dan rakan-rakan dengan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di JKR 10 Kota Bharu beberapa waktu yang lalu, beliau telah memulakan ucapannya dengan membacakan sebuah sabda s.a.w yang bermaksud:



"Hendaklah setiap kamu yang hadir, menyampaikan sesuatu dariku kepada mereka yang tidak hadir"



Hadith itu adalah merupakan wasiat Nabi s.a.w pada haji wida' iaitu haji terakhirnya.



Bertolak dari sabda Junjungan yang dibacakan oleh Tuan Guru itu, adalah jelas apa yang dimaksudkan bahawa setiap orang mukmin itu berperanan sebagai daie. Mereka mempunyai tanggungjawab menyebarluaskan ilmu Allah s.w.t kepada khalayak ummah berdasar keupayaan ilmu masing-masing.



Dalam pertemuan itu, Tuan Guru turut mengalu-alukan usaha yang dilakukan oleh beberapa pihak, yang berusaha menyusun dan menulis kembali kuliah-kuliah Tuan Guru dalam pelbagai bidang ilmu. Usaha tersebut disifatkan oleh beliau sebagai menepati kehendak sabda Junjungan yang dibacakannya itu.



Saya amat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dapat meneliti sebahagian dari rakaman kuliah mingguan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, khususnya kuliah tafsir Al-Qur'an. Saya berusaha mendapatkan beberapa kuliah tafsir Al-Qur'an yang telah dirakamkan dalam bentuk kaset. Dari pengamatan yang telah saya lakukan didapati ia merupakan mutiara-mutiara ilmu yang masih tersimpan. Alangkah baiknya jika mutiara itu digilap dan dipersembahkan untuk tatapan umum.



Penelitian saya diperingkat awal ialah terhadap kuliah tafsir surah Al-Furqan, yang mengandungi huraian secara ,eluas berasaskan 77 ayat di dalamnya, mengandungi penjelasan tentang ke Esaan Allah s.wt, kenabian Muhammad s.a.w serta peristiwa-peristiwa yang terjadi pada hari Qiamat dan mengemukakan pula kebatilan, kemusyrikan golongan kuffar.



Surah yang mengandungi penjelasan tentang kejadian 'alamiyah seperti penggantian malam dan siang, bertiupnya angin, turunnya hujan dan lain-lain diterangkan oleh firman Allah s.w.t dalam surah ini sebagai bukti dari ke Esaan dan kekuasaan-Nya. Dijelaskan juga tentang nasib buruk umat terdahulu yang ingkar dan menentang.



Di bahagian akhir dalam surah ini, Allah s.w.t menerangkan sifat-sifat terpuji hamba-hamba-Nya yang beriman yang digelar ibadurrahman.



Inilah sekadar yang terupaya sebagai usaha saya untuk turut menyediakan diri menjadi khadam kepada penyebaran ilmu Allah itu. Dalam tafsir ini saya namakan "Pemisah antara Iman dan Kufur" sesuai dengan nama surah Al-Furqan yang bererti 'pemisah'. Insya Allah semoga penulisan ini memberi manfaat kepada seluruh pelawat-pelawat dan pembaca sekalian. Nantikan siri seterusnya.


(bersambung...)

No comments: