Tuesday, January 8, 2008

TAHUN BARU : AZAM UKHRAWI

TAHUN BARU telah menjengah. Sedar atau tidak, semakin bertambah umur kita. Dari umur 20 kepada 21 tahun. Yang 19 tahun sudah beranjak 20. Namun yang pastinya umur tidak akan berkurang, dengan bahasa mudah, untuk menjadi ‘lebih muda’, tidak sesekali. Lalu, apa yang kita fikirkan tatkala tahun-tahun ini berlalu? Pastinya azam mesti diperbaharui. Saban tahun inilah yang kita fikirkan.

Bagi yang bergelar pelajar, pastinya azam untuk mencapai pointer yang lebih baik. Bagi seorang cikgu, mahukan anak-anak muridnya cemerlang berbanding sebelumnya. Bagi pekerja kerajaan misalnya, kualiti kerja mesti ditingkatkan bagi menaik taraf kedudukan. Begitu juga pemimpin-pemimpin negara, visi dan misi mencapai kemajuan dan kemodenan negara pasti dikehendaki.

Azam-azam dan matlamat ini sangat baik dan wajar dirancang. Lebih-lebih lagi dalam suasana dunia menempuh era globalisasi kini. Tetapi agak terkilan sedikit kerana azam-azam tersebut seakan tidak sempurna. Tidak sempurna lantaran unsur-unsurnya begitu ke’duniawi’an. Mengapa saya berkata begitu rupa? Kerana saya melihat dan mentafsir, ramai diantara kita yang hebat dan berstrategi dalam merancang kehidupan mereka dari segi keluarga, kewangan dan sebagainya. Namun, dalam soal-soal ibadah kemana perginya??

Tidakkah ada di antara kita, (seorang pun dah cukuplah), yang menyatakan azamnya mahu menambah (top up) ibadahnya sempena tahun baru ini. Dia merasakan bahawa kurangnya ibadah fardhunya. Lalu pada tahun ini dia merancang untuk melebihkan solat-solat sunat sebagai bekalan menampung solat fardhu. Atau ada yang merancang pada tahun baru ini untuk bersedeqah RM2 cuma, seminggu sekali di masjid-masjid dengan konsisten tanpa tinggal. Ungkapan-ungkapan ini ada sebenarnya, tetapi tidak banyak di highlightkan kerana tak berapa penting sangat atau tak advance pun!

Sebab itulah saya teringat kata-kata seorang sahabat saya. Beliau adalah seorang pemimpin tertinggi mahasiswa Islam. Suatu hari saya ternampak beliau membasuh periuk apabila selesai kami menutup gerai sempena Festival Konvokesyen Universiti. Lalu saya bertanya beliau, mengapa susah-susah membasuh periuk sedangkan tugas ini milik kami selaku AJK gerai? Sepatutnya pergilah bertemu dengan mahasiswa dan tugasan lain yang lebih besar. Apa dijawabnya membuatkan saya begitu terharu dan kerdil rasanya. Jawabnya: “Saya laksanakan banyak perkara, berkuliah, memberi tazkirah dan banyak lagi, tetapi saya tidak tahu, mana satu amalan saya yang diterima Allah. Mana tahu dalam banyak-banyak itu, Allah hanya menerima amalan saya yang membasuh periuk ini. Itu pun sudah cukup..”

Sayugiya itu, betulkan semula azam anda. Bagi yang belum berazam lagi, pastikan azam anda lurus dan tulus, dunia dan akhirat serta seimbang. Berazam samalah seperti kita bekerja. Jangan dilupakan dunia kerana mengejar akhirat dan jangan sesekali melupakan akhirat dalam setiap urusan dunia. Kerana akhirat itulah sebenarnya dunia bagi kita.

No comments: