Tuesday, January 29, 2008

"Cakap saja tak jadi"


Hari Jumaat lepas, sebelum solat fardhu Jumaat, saya sempat bersembang-sembang dengan seorang rakan saya di tepi Masjid Ar-Rahman, Kuala Lumpur. Perbincangan menyentuh soal-soal isu-isu yang berlaku dalam negara seperti kenaikan harga barangan, jangkaan pilihan raya umum Malaysia dan banyak lagi. Semalam, selepas kelas, saya minum di sebuah cafe di sekitar universiti juga betemu dengan rakan lama. Turut bercerita kisah-kisah yang berlaku di Malaysia, akhir-akhir ini. Dan baru tadi, sewaktu menjamah makanan tengahari, saya juga berbual-bual dengan kawan yang juga mahasiswa daripada Sabah tentang isu PTPTN dan keuntungan yang dikautnya.

Semua yang saya jumpai menyatakan tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku sekarang. Misalnya dalam isu kenaikan harga tol yang dijangka meningkat antara 7% hingga 50% dari kadar sebelumnya. Begitu juga dengan harga petrol kerana kesan kenaikan harga minyak dan gas di pasaran global. Tekanan-tekanan harga barangan seperti tepung dan minyak, semua ini mengundang tidak puas hati rakyat kepada kerajaan. Ketiga-tiga rakan saya itu malah kebanyakan yang saya jumpai menyatakan sedemikian. Kerajaan tidak adil, tak menjaga kebajikan, zalim dan sebagainya.

Dan saya mengiyakannya.

Namun, selepas itu saya berfikir semula. Memang benar dan saya memang kurang setuju dengan beberapa ketidakprihatinan kerajaan dalam soal-soal tertentu.

Masalahnya, saya pelik dengan mereka-mereka ini. Kita memang suka bersembang, berbual dan menyatakan ketidak puasan hati kita. Kita bertemu dengan kawan-kawan, menyatakan kepincangan-kepincangan tersebut. Tetapi, apa usaha kita untuk tidak membiarkan semua itu berlaku?

Takkanlah dengan kita hanya berdegar-degar menyatakan tidak setuju, bantah, benci dengan penindasan. Tapi, tak ada kerja-kerja dari kita untuk meruntuhkan kezaliman tersebut. Maksud saya, janganlah kita hanya cakap saja tidak puas hati, tapi dalam masa yang sama, perlulah bersungguh-sungguh untuk menentang penindasan tersebut. Dengan kata lain, tolong dan bantu perkumpulan-perkumpulan yang mahukan keadilan itu tertegak semula. Yang mahukan hak rakyat dikembalikan. Sokong mereka, penuhkan majlis-majlis dan perhimpunan anjuran mereka dengan kehadiran kita. Di samping sumbangan wang dan tenaga. Ini barulah benar-benar menentang kezaliman.

Bukan sembang je kemas...

No comments: