Sunday, September 18, 2011

Ziarah merungkai kesusahan, menitip ketenangan..

Sebelum berangkat pulang, kami bergambar. Di belakang dua relung sawah padi milik ayah Shafie yang belum sempat diusahakan. Shafie masih boleh tersenyum walaupun hatinya terendam luka.


oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Ketika kecil-kecil dahulu, saya hanya mampu melihat sahaja jika saya mengunjungi orang sakit di hospital, tanpa mengerti apa-apa, lebih lagi menilai di sebalik kesakitan itu. Ramai orang berkata, kesusahan dan kepayahan pasti akan hadir dalam diri dan kehidupan setiap insan, namun bilakah ia akan datang, ia menjadi rahsia Tuhan Yang Maha Mengetahui pada masanya, cepat mahupun lambat.

Seminggu lepas, selepas mendapat panggilan dari seorang sahabat, saya mengambil keputusan untuk ke Kedah. Menziarahi sahabat baik, Shafie yang ayahnya baru sahaja ditimpa sakit angin ahmar (strok) ketika akhir bulan Ramadhan baru-baru ini.

Perjalanan

Bertolak pada tengah malam sekitar 12.30 malam bukanlah satu masa yang sesuai, ditambah lagi dengan pada sebelah siangnya banyak memenuhi jemputan rumah terbuka Aidilfitri, sudah pasti perjalanan malam itu suatu yang memenatkan. Sekitar 1 pagi, saya dan 4 sahabat yang turut serta sudah meninggalkan Kuala Lumpur menuju ke Jitra.

Saya mengenali Shafie agak lama, hampir 6 tahun lebih dan kami sangat rapat di kampus ketika di dalam Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM). Beliau ketika itu adalah pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional. Kami semakin rapat apabila pernah sama-sama ditahan ketika menganjurkan Demonstrasi menuntut Autonomi Kampus di Sogo, beberapa bulan sebelum menjelang Pilihan Raya Kampus.

Seorang yang cekal

Saya tidak pernah melihatnya - sepanjang bersama dalam gerakan kampus - dalam keadaan yang 'susah hati' walaupun berada dalam situasi-situasi yang sukar. Semangatnya sangat tinggi dalam setiap kerja yang dilakukan, dan melaksanakan sesempurna mungkin seandainya menerima amanah dan tugasan.

Paling saya ingati, sewaktu saya dikejar polis kerana terlibat di dalam demonstrasi Anti-PPSMI, beliau yang banyak menemani saya dan menitipkan kata-kata nasihat yang sukar saya lupakan sehingga hari ini. Katanya: "Jadi seperti Dr Abdullah Azzam di dalam kata-katanya: Aku tidak akan meninggalkan bumi jihad ini melainkan tiga keadaan; sama ada aku dibunuh di Peshawar, atau aku dibunuh di Afhganistan ataupun aku dihalau keluar dari Pakistan dengan paksaan."

Kami tiba di bandar Darulaman sekitar jam 5.50 pagi. Sebaik tiba, terdengar laungan azan Subuh dan terus melaksanakan solat di Masjid Al-Muttaqin. Selepas berehat seketika, kami bersarapan di medan selera berhampiran masjid dan terus memecut kereta ke bandar Jitra untuk mencari rumah Shafie.

Hampir jam 9 pagi baru kami tiba di rumahnya. Agak 'pening' mencari jalan masuk kerana sekeliling kampung ini dipenuhi dengan petak-petak sawah padi yang menjadi pekerjaan dan sumber rezeki tetap penduduk di sini. Keluarga Shafie sendiri memiliki dua 'relung' sawah padi untuk diusahakan. Kebiasaannya, kata Shafie, untuk mendapatkan hasil padi mengambil masa selama enam bulan.

Ujian 'bertimpa-timpa'

Setibanya kami terus menemui ibu dan ayahnya. Benar, ayah beliau agak tenat. Keadaannya sangat lemah. Kata Shafie hampir beberapa bulan ayahnya tidak makan kerana tidak berselera. Dia sendiri terpaksa memujuk dan 'memaksa' ayahnya makan untuk menjaga kesihatan. Shafie juga memberitahu bahawa selepas beberapa hari ayahnya diserang strok yang melemahkan separuh anggota badan, ayahnya sekali lagi diserang dan kali itu dia terjatuh menyebabkan tangan kanannya patah.

Selepas kejadian itu, ayahnya sukar bangun, ingatannya juga terjejas. Sakitnya yang lalu seperti asma dan batuk menyebabkan kesihatannya semakin merosot. Hati saya tersentuh dan sayu melihat keadaan ayahnya. Kata Shafie, hampir berminggu-minggu dia tidak tidur menjaga ayahnya pada waktu malam kerana asmanya akan menyerang menyebabkan batuk-batuk dan sukar bernafas.


Saya hanya mampu mengucapkan sabar kepadanya, walaupun saya tahu perkataan tersebut tidak mampu mengubat hati dan perasaan beliau. Saya berkata dari hati kerana saya sendiri pernah melalui peristiwa dan keadaan yang sama seperti beliau, dan saya mengerti kepahitan yang ditanggungnya. Saya teringat nasihat Dr Asri Zainul Abidin, katanya: "Hanya orang yang pernah melalui (sesuatu peristiwa) akan mengerti maksudnya.."

Dua jam di rumahnya hanya seperti beberapa saat. Banyak perkara saya ingin pesan kepada beliau namun masa membataskan niat saya. Dari riak mukanya, saya dapat melihat garis luka seorang anak yang 'kehilangan' ayahnya walau saya mengenali beliau sebagai seorang yang cekal dan tabah sebelum ini.

Mengenali hakikat kehidupan

Selepas bersalaman, saya dan sahabat-sahabat memohon mengundur diri pulang ke Kuala Lumpur. Kami terpaksa bergegas kerana ingin mengejar kenduri kahwin sahabat di Gombak. Sekali lagi sempat berpesan kepada Shafie: "Semoga tabah akhi.. Ujian dalam hidup pasti akan hadir, cuma kita tidak mengetahui bila masa ia akan tiba. Ingat akhi, setiap duka pasti akan berakhir.." Kata-kata yang saya kira mungkin tidak boleh memberi kesan pada jiwanya yang sedang bersedih, namun saya cuba lontarkan kerana ia datang dari seraut pengalaman saya melalui sepertinya.

Jawabnya: "Terima kasih Aizat. Aku redha dengan apa yang aku lalui sekarang ini. Doakan ayah aku pulih. Terima kasih sebab hangpa sanggup mai dari jauh..susahkan hangpa sahaja.. Jumpa lagi." Saya memeluknya.

Sesungguhnya tidak ada apa yang saya boleh ungkapkan dalam menilai dan mentafsirkan maksud sebuah kehidupan yang di dalamnya penuh dengan makna, peristiwa dan pelajaran. Ia ibarat sebuah perjalanan yang seringkali berganti-ganti menunggu waktu. Setiap perkara yang hadir akan berlalu, lalu ia diganti dengan perkara yang lain. Di dalam perjalanan, kadangkala naluri insani sering tersungkur dan rebah, namun di sana ada yang masih cekal mengharunginya. Apa yang pasti setiap yang berlalu ada hikmah yang perlu dikutip, dan dengan hikmah itu akan membibitkan kematangan bagi setiap insan yang melaluinya.

Kami tinggalkan Jitra dengan satu perasaan yang agak sayu. Saya teringat pesan Agama, dalam membandingkan insan di dunia, kerapkanlah banding dengan insan yang lebih bawah atau kurang daripada kita, kerana ia akan menimbulkan perasaan insaf dan rendah hati. Di dalam harta, bandingkanlah dengan orang yang lebih miskin dari kita, kelak kita akan redha dan bersyukur dengan apa yang sudah ada. Di dalam kesakitan dan kesusahan, bandingkan jugalah dengan orang yang lebih tenat dan susah dari kita, kelak hati akan tenang dan merasa redha dengan apa yang menimpa kita.

Saya suka belajar. Belajar dengan semua perkara dan belajar dengan semua orang. Dan juga belajar dengan erti kehidupan, seterusnya saya mencoret buat tatapan dan pelajaran semua orang. Apa yang saya terima dari semua orang, saya akan pulangkan kembali kepada semua orang, agar manusia bisa menerima manfaatnya.

Hentian Rehat dan Rawat (R&R)
Sungai Perak,
17 September 2011 (3.30 pagi)

3 comments:

nzlaa86 said...

baru tahu,apapun.shafie orangnya tabah.antara paling banyak diuji dulu kot..selepas munir.moga diberi kesembuhan buat Ayah Shafie. Allahu Yasyfii..

Lavender said...

Tanda Allah sayang hambaNya apabila DIA memberi ujian kepada yang dikehendakiNya, lalu disampaikan pula'hadiah' berupa tingkatan iman dan hapusan dosa..

-Moga Tuan Pengerusi Pro Mahasiswa Nasional tabah dan beroleh sebuah ketenangan dlam hidupnya, amiin-

Mohd Aizat Bin Mohd Saleh said...

Terima kasih buat sahabat-sahabat yg prihatin.. Kak Lina dan Shahida.

Mohd Aizat