Kepimpinan MPMUM 2010 sewaktu program Majlis Perpisahan bersama mantan TNC HEP, Dato Azarae Hj Idris
oleh: Mohd Aizat Mohd Salleh
7 Ogos 2010 lepas, secara rasminya tamat kontrak ayahanda Datuk Azarae Idris, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya atau selalu dikenali sebagai TNC HEP.
Kali terakhir saya bertemunya, ketika menaiki pentas untuk mengambil segulung ijazah dalam istiadat konvokesyen. Ketika itu saya senyum kepadanya tatkala melalui di hadapannya.
Saya mengenali beliau sejak dari menuntut di UM Nilam Puri lagi. Ketika itu beliau menggantikan Dato Razali Agus. Ketika saya dan rakan-rakan memimpin Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya Nilam Puri (MPPUMNP), Dato Razali masih lagi TNC HEP.
Seingat saya, pernah sekali Dato Razali turun ke Nilam Puri, bertemu dengan pimpinan MPP dengan tujuan untuk berbincang untuk membubarkan MPP di sini. Katanya tidak boleh ada dua MPP dalam satu-satu universiti.
Namun, saya dan rakan-rakan berjaya berhujah dengan beliau dan akhirnya keputusan itu tidak jadi, sehinggalah hari ini.
Selepas itu, Dato Azarae pula menggantikannya. Pada permulaan, saya mengandaikan beliau mampu untuk memberi satu harapan baru kepada mahasiswa khususnya kepada mahasiswa-mahasiswa yang selalu dilabelkan oleh HEP sebagai pembangkang.
Pilihan Raya Kampus (PRK)
Tahun pertama saya di UM Kuala Lumpur, menyertai kali pertama pilihan raya kampus (PRK), banyak kepincangan berlaku. Seakan tiada perubahan untuk HEP mengendalikan PRK. Penindasan terus berlaku, penafian kepada undi, halangan berkempen dan isu pengundi hantu di kolej kediaman ke dua belas.
Mujur pada waktu itu, Naib Canselor, Dato' Rafeah Salim seorang yang rasional dan profesional, mengarahkan agar undian semula di kolej tersebut. Beliau selaku pengerusi jawatankuasa pemilihan MPM ketika itu.
Tahun seterusnya, insiden paling teruk berlaku di kampus UM, apabila 'kemunculan' kepala babi dilemparkan di dalam masjid Akademi Pengajian Islam (API) ketika hari-hari terakhir berkempen dalam PRK. Pada ketika itu, saya dan rakan-rakan bertanding sebagai calon.
Walaupun begitu, Alhamdulillah Allah memberikan kemenangan kepada Pro-Mahasiswa (Pro-M) pada PRK tersebut, saya dan rakan-rakan memimpin kebinet MPMUM buat pertama kali setelah enam tahun di bawah aspirasi.
Menerajui MPM bersama TNC HEP
Pertama yang saya sebut kepada rakan baik saya dalam MPM, Fadzil Jamal, beliau juga adalah exco Kolej Kediaman dan Luar Kampus, "Kali ini tekanan HEP kepada kita pastinya hebat, hak-hak kita pasti dinafikan"
Apa yang menjadi kebimbangan akhirnya menjadi realiti. Satu persatu kepimpinan MPM mendapat tekanan. Bermula daripada sekatan program-program MPM kepada mahasiswa, hak mendapatkan wang peruntukan exco dinafikan, kolej-kolej kediaman yang menutup pintu kerjasama, tidak membenarkan MPM terlibat dalam Minggu Haluan Siswa (MHS).
Apatah lagi Fadzil, yang hari-hari terpaksa turun ke kolej kediaman menyelesaikan masalah penghuni kolej yang dibuang, keselamatan dan sebagainya.
Ada rakan-rakan saya yang daripada Aspirasi yang kadang-kadang tidak tahan dengan penyelewengan HEP, datang bertemu saya memberi maklumat satu persatu tentang kegiatan Aspirasi dan HEP termasuk TNC HEP, Dato Azarae Idris.
Semuanya dalam maklumat saya ketika itu, disebalik perancangan itu sebenarnya banyak dikendalikan oleh TNC HEP.
Sehinggakan, saya sendiri tidak percaya kepada pengurusan HEP, lalu segala permasalahan yang berkaitan mahasiswa saya terus berhubung kepada ayahanda Naib Canselor, Datuk Ghauth Jasmon. Malah, beliau lebih terbuka dalam hal berkaitan kebajikan mahasiswa berbanding TNC HEP!
Nasihat kepada Dato' Azarae
Pernah sekali ketika tempoh berkempen, saya dan Fadzil selaku calon Akademi Pengajian Islam (API) dijadualkan berkempen di kolej kediaman kesepuluh. Sepuluh minit sebelum turun, saya mendapat panggilan daripada penyelia kolej bahawa kebenaran untuk berkempen saya dibatalkan atas alasan saya menang tanpa bertanding.
Lalu tanpa berlengah saya terus menemui pengetua, Dr Faizah. Saya menyoalnya mengapa batalkan kebenaran selepas memberi kebenaran berkempen? Beliau memberi alasan yang sama.
Setelah 'bertekak' hampir 20 minit, saya akhirnya berkata kepadanya, kata-kata ini saya ingat sehingga kini. 'Dr kena ingat, jawatan pengetua ni sementara sahaja. Waktu ada jawatan, ada kuasa, bolehlah Dr aniaya orang, nanti Allah tarik balik jawatan tu. Kita ada syurga neraka, dosa pahala. Saya akan jumpa Dr di akhirat..' Begitu kata-kata saya menyebabkan mukanya merah padam dan langsung meninggalkan saya.
Nasihat ini juga saya pernah sebutkan kepada pegawai-pegawai HEP yang kerap kali melengah-lengahkan kelulusan program kami. Dan akhirnya saya juga pernah sebut kepada TNC HEP, Dato Azarae.
Hari ini, beliau sudah tiada jawatan di UM, di HEP. Tempatnya digantikan oleh Dr Rohana. saya berdoa agar beliau masih ingat kata-kata saya itu. Saya tidaklah mengatakan saya ini terlalu alim sehingga mengucapkan begitu. Sekurang-kurangnya, beliau tidak lagi mengulangi tindakan-tindakan beliau ketika menjadi TNC HEP di UM, apabila mungkin dilantik lagi di mana-mana universiti.
Selamat tinggal dan terima kasih ayahanda Dato Azarae Idris. Saya juga tidak akan melupakan jasa baik Dato selama ini!
12.40 p.m, Hospital Tawakkal, Jalan Pahang.
1 comment:
da graduate rupenye.hehe. btw, tahniah ustaz!!
salam aidilfitri..taqabbalalallahu minna waminkum..^_^
Post a Comment