Wednesday, October 20, 2010

Pukullah anak untuk masa depan akhlak dan negara


oleh : Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Dalam satu hadith, Daripada Amru Bin Shuib, Rasulullah s.a.w telah bersabda :

"Perintahkanlah olehmu anak-anakmu (supaya) solat tatkala berusia tujuh tahun, dan pukullah anak-anakmu apabila berusia sepuluh tahun, dan pisahkanlah tempat tidur mereka."

Falsafah pendidikan anak-anak ini sudah lama diajarkan oleh Nabi s.a.w dalam menangani permasalahan sosial dan akhlak anak-anak muda.

Sewajarnya, apa yang datang daripada Allah dan Rasul-Nya semestinya benar dan releven sepanjang zaman. Ia adakah asas atau pun dasar dalam memandu perjalanan hidup manusia dan seluruh alam.

Maksud tersirat

ibu bapa pada hari ini, dalam kaedah mendidik anak-anak, wajar memerhati dan memperdalam hadith ini.

Mengapakah Nabi s.a.w menganjurkan agar mengajar anak-anak solat bermula umur tujuh tahun? Apakah maksud supaya dipukul mereka tatkala berumur sepuluh tahun apabila tidak mahu bersolat?

Mesti di sana ada ibrah iaitu pengajaran mahupun hikmah yang tersirat yang perlu dicari.

Contoh sahabat r.a

Para sahabat r.a terdahulu dalam melihat Hadith Nabi s.a.w akan terbahagi kepada dua golongan. Golongan pertama yang akan melaksanakan langsung hadith tersebut secara zahiri (tekstual), manakala golongan kedua akan memerhati serta mentafsirkan hadith tersebut dengan mengambil kira apa sebenarnya maksud yang ingin disampaikan Nabi s.a.w.

Dalam satu peristiwa, Nabi s.a.w apabila melalui satu jalan yang terdapat sebatang pokok, Baginda akan menundukkan kepalanya. Lalu para sahabat mengikut sebagaimana apa yang Nabi lakukan.

Sehinggalah Baginda wafat, ada para sahabat yang masih lagi melakukan apa yang dilakukan Nabi s.a.w ketika hidup dahulu dengan alasan ia seakan sunnah perbuatan yang perlu dilakukan. Sedangkan sebahagian sahabat yang lain sudah meninggalkan perbuatan tersebut kerana mereka berhujah Nabi s.a.w menundukkan kepalanya kerana mengelakkan dari terlanggar dahan pokok tersebut.

Dalam hadith tadi, mungkin kita boleh menafsirkan pelbagai maksud berkenaan pendidikan anak-anak melalui solat.

Basyiran wa nazira

Dalam Islam sendiri, pendidikan mesti disalurkan kepada manusia melalui dua cara. Basyira dan nazira. Basyira adalah khabar berita yang baik atau boleh ditafsirkan sebagai lemah-lembut, kasih sayang dan bertolak-ansur.

Manakala nazira adalah khabar buruk atau maksud lainnya cerita mengenai azab siksaan yang bakal dihadapi atau kekerasan. Kedua-dua ini adalah dengan tujuan manusia itu mencapai apa yang disebut sebagai kesedaran (al-wa'yu).

Begitu jua dalam mendidik anak-anak. Solat merupakan tiang agama. Tiang yang akan menentukan bagaimanakah bangunan 'akhlak' seseorang itu. Maka solat yang akan menentukan keperibadian anak-anak itu. Justeru, pendidikan akhlak anak-anak perlu bermula dengan solat.

Para pengkaji Barat menyatakan bahawa umur dalam lingkungan tujuh hingga sepuluh tahun adalah tahap yang paling sesuai melentur akhlak anak-anak.

Mungkin ini maksud tersirat yang cuba disampaikan oleh Nabi s.a.w.

Ibu bapa seharusnya jangan takut memukul anak-anak sekiranya 'degil' atau tidak mahu bersolat, dengan syarat memukul dengan niat mendidik serta tidak mencederakan. Walaupun dibenarkan memukul, namun Islam juga menganjurkan agar tidak melampaui batas dan bersederhana.

Memukul anak-anak yang berumur lingkungan itu adalah memukul akhlaknya dalam keadaan mereka sendiri tidak sedar kesalahan meninggalkan solat.

Namun kesedaran itu akan datang apabila mereka berumur selepas lingkungan itu. Mereka mula tahu dan berfikir mengapa mereka dipaksa solat dan dipukul dan maksud sebenar solatnya.

Mencari solusi sosial remaja

Keruntuhan akhlak remaja hari ini selain daripada kerosakan sistem, ia berlaku apabila proses mendidik tidak dilakukan seawal umur muda.

Apabila para remaja sudah memasuki alam sekolah menengah, akhlaknya sudah payah dilentur dan dibentuk. Siapa remaja pada ketika itu adalah bergantung pendidikan mereka yang diterimanya ketika kecil.

Oleh sebab itu, kerajaan, ibu bapa dan semua pihak usah rasa menyesal generasi hari ini yang dilanda masalah sosial. Menyesallah kerana tidak mendidik mereka sedari kecil.

Permulaan didikan misalnya, ketika bayi sudah dijaga dan dipelihara mengikut tuntutan Islam sehinggalah kepada pra-sekolah (taska) sudah dikenalkan dengan Allah, Rasul dan agama Islam. Ia dibantu dengan qudwah ibu bapa dirumah.

Bukankah sudah ada penyelesaian ini? Mungkin tidak perlu bagi 'First Lady' untuk menganjurkan persidangan yang menelan belanja beribu-ribu untuk mencari solusi tentang masalah anak-anak. Jika ini diikuti, sudah mencukupi bagi melahirkan generasi yang soleh berakhlak, dan berkualiti untuk memimpin negara mengikut acuan Islam.

Pinggiran Batu Caves,
20 Oktober 2010
12.06 p.m

2 comments:

Nur Madihah said...

alhamdulillah,menarik kupasan ust berkenaan mendidik akhlak anak2 melalui solat mereka.

sedikit perkongsian,tazkirah waktu bulan Ramadhan yang lalu, para jemaah waktu itu yang terdiri dari ibu dan bapa dinasihatkan supaya check bacaan solat anak2...biarpun dari pandangan zahirnya mereka nampak solat, belum tentu bacaan mereka betul.

jadi,kepada ibu2 n bapa2 atau yang bakal menjadi ibu bapa selepas ini,rajin2kanlah diri check cara solat anak2 lebih2 lagi yang masih diperingkat awal umur..

InsyaAllah,solat yang sempurna membentuk peribadi Muslim yang bercerminkan ajaran Al-Quran dan Assunnah..

Wallahu'alam...

Aizat Salleh said...

soal pendidikan macamana pun mesti bermula daripada awal (kecil), sebab itu sekolah seumpama PASTI sangat sesuai dijadikan asas pendidikan mengenal Allah dan Rasul sebelum mereka mengenali perkara-perkara yg lain..

Syukran