Friday, November 7, 2008

Naib Canselor UM : Prof Datuk Ghauth Jasmon Bakal Hadapi Tugas Getir

oleh : Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Tahniah diucapkan kepada seluruh warga Universiti Malaya kerana bakal mendapat Naib Canselor baru, Prof Datuk Ghauth Jasmon. Beliau yang pernah berkhidmat di Multimedia Universiti (MMU) serta pernah menjadi pensyarah UM, kini kembali semula ke sini.

Buat bonda Datuk Rafiah Salim, selaut penghargaan serta jutaan terima kasih selama hampir dua tahun menjadi ibu kepada kami. Selama dibawah pimpinan beliau, banyak perubahan telah berjaya dilaksanakannya. Antara yang paling terkesan kepada mahasiswa umumnya, adalah mewajibkan kursus Bahasa Inggeris kepada mahasiswa/i tahun satu. Oleh kerana melihat betapa pentingnya bahasa itu dikuasai para pelajar dalam mendepani arus semasa yang semakin mencabar. Disamping itu, penekanan modal insan yang tinggi turut dilaksanakan dengan mengurangkan aktiviti tidak berfaedah dalam Minggu Haluan Siswa pelajar baru sesi ini. Syukran Jazilan, dan semoga jasa bonda dikenang.

Kepada Prof Datuk Ghauth Jasmon, selamat memulakan tugas dengan baik. Seluruh warga UM pasti menyambut kedatangan beliau dengan tangan terbuka.

Apa pun, di hadapan beliau tugas getir bakal dihadapi. Antaranya adalah Pilihan Raya Kampus (PRK) yang bakal berlangsung pada bulan Januari depan. Datuk Rafiah Salim meninggalkan kampus uni perdana ini dalam keadaan sesi kepimpinan pelajar yang masih belum sempurna, penuh tanda tanya serta isu-isu demokrasi kampus yang belum lagi terjawab. Lantaran itu bebanan ini mesti dipikul oleh NC yang baru. Selain itu, penurunan kedudukan UM di persada dunia serta kegagalan universiti berprestij ini mencapai taraf Universiti APEX, juga antara ‘tinggalan’ yang perlu diperbaiki. Tidak ketinggalan, isu-isu yang timbul seperti di APIUM dan keselamatan mahasiswa kampus, juga minta diselesaikan.

Saya tidak tahu sejauh mana beliau (NC baru) akan membawa Universiti Malaya yang terkenal dengan ‘Producing Leaders’ ini. Yang pentingnya, seluruh mahasiswa dan Malaysia akan memerhati apa yang bakal berlaku.

Paling penting, mahasiswa akan tunggu, lihat dan ‘bertindak’ seandainya perlu!

No comments: