Monday, November 2, 2009

Usrah Jelebu (1)

Catatan oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

"Tak selesai jugak! Akhirnya kita akan menyalahkan naqib yang malas buat usrah.." jawab saya kepada persoalan Abang Azlan. Saya ditanya tentang kerancakan usrah di kampus yang sudah semakin hilang.

Persoalan itu berbangkit setelah saya lama diam di dalam kereta. Saya dan abang Azlan dalam perjalanan pulang dari Jelebu ke Kuala Lumpur setelah menemaninya ke satu program.

"Bagi ana bukan naqib yang salah, paradigma mereka yang kena betulkan." Dia membalas kata-kata saya.

"Bukan paradigma naqib sahaja, bahkan pemikiran semua masyarakat mesti diubah dalam memahami usrah." dia berhujah lagi.

"Orang memandang hari ini, usrah adalah medan mencari ilmu, mesti dimulai dengan Al-Fatihah dan mesti dalam lingkungan bulatan dan skema..", saya beri pandangan.

"Enta agak kenapa orang fikir macam tu?" abang Azlan bertanya.

"Sebab ini sunnah Rasulullah, baginda kan berdakwah guna metod usrah waktu mula-mula di Kota Mekah ." Saya menjawab persoalannya.

"Ni yang enta silap, akhi." "Bukan itu yang Nabi maksudkan dalam usrah ni.." Dia membalas.

Pandang Objektif Bukan Sunnah

"Enta tak boleh ambil semua sirah Nabi s.aw itu sebagai sunnah." Dia membantah pandangan saya.

"Maksud abang Lan?" Saya kurang pasti apa yang dimaksudkannya.

"Seperti Nabi s.a.w pergi berhjrah ke Kota Madinah. Adakah zaman sekarang kita perlu berhijrah sebagaimana Nabi s.a.w berhijrah dari satu tempat ke satu tempat?" Dia bertanya.

"Hmm.. mungkin juga. Pada pandangan surface." Saya beri pendapat.

Dia menyambung lagi. "Yang Nabi s.a.w nak tunjukkan dalam hijrah tersebut adalah Islam ni nak tertegak kena ada kuasa, kena cari tapak supaya penyebaran Islam ni lebih luas."

"Macam tu juga dengan usrah." Terangnya.

Usrah Yang Kita Faham

"Apa objektif usrah?" Dia bertanya saya semula.

"Untuk sebarkan fikrah Islam." Jawab saya.

"Maknanya, apa sahaja medium yang boleh dijadikan asbab untuk sebarkan Islam, itulah usrah. Buatlah apa pun.." abang Azlan berkata lagi.

"Face book ke, makan-makan ke, pergi rehlah ke, jika adanya unsur penyebaran fikrah dan faham Islam di situ, usrahlah tu.." Dia menambah.

"Atau pun, kalau tak nak sempit lagi, kita buka sikit pemahaman tu." Sambungnya.

"Usrah yang kita faham sekarang ni, kita anggap sebagai bukan satu-satunya tunjang tarbiyah seperti yang selalu kita sebut. Tapi banyak lagi medium lain yang boleh kita klasifikasikan ia sebagai 'tunjang tarbiyah'. Contohnya macam ana sebut tadilah." Panjang lebar hujahnya

"Kalau camtu, sekarang ni kita tengah usrahlah?" Saya menduga.

"See.."

Kami berdua tersenyum dengan kata-kata yang terakhir itu.

Kereta terus dipecut laju.

No comments: