oleh : Mohd Aizat Mohd Salleh
Ada beberapa bacaan yang boleh diteliti apabila isu Jemaah Islam (J.I) dibangkitkan kerajaan dan dusarakan oleh Ketua Polis Negara, Dato' Musa Hassan.
Dalam pada ini, kita mesti tertanya-tanya, mengapa isu J.I ini meletus pada masa ini. Mengapa tidak bulan depan atau lama sebelum ini.
Dato' Mahfuz Omar, ahli Parlimen PAS Pokok Sena menganggap isu ini cuba menggugat sokongan masyarakat bukan Islam khususnya kaum Cina dan India yang sejak akhir-akhir ini semakin rapat dengan PAS. Lebih-lebih lagi dengan penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS.
Apabila sentimen ekstrimis dimainkan, orang bukan Islam akan mula meragui akan gerakan Islam, disamping UMNO akan cuba sedaya upaya
memalitkan imej buruk tersebut kepada PAS.
Oleh kerana itu, Ketua Pembangkang, Dato Seri Anwar Ibrahim segera memusingkan kembali 'peluru' tersebut dengan menyatakan ia hanya isu politik yang akan mengalih keburukan dan kelemahan pentadbiran Dato Seri Najib Tun Razak.
Dalam perkiraan lain, khususnya dalam aspek universiti dan mahasiswa, ia seumpama mengembalikan zaman tekanan kepada mahasiswa khususnya mahasiswa Islam.
Kerajaan hari ini melihat mahasiswa seakan tegar dengan amaran-amaran serta tindakan polis. Dalam sejarahnya tahun ini, beberapa tangkapan keatas mahasiswa telah berlaku. Mahasiswa juga diheret ke mahkamah.
Apa lagi yang boleh dibuat melainkan memberi amaran kepada mahasiswa dengan akta yang paling kejam iaitu akta keselamatan dalam negeri ISA. Ia membolehkan mana-mana individu ditahan tanpa perlu dibuktikan kesalahannya. Sejarah pernah berlaku mahasiswa juga ada yang pernah ditahan ISA.
Apa pun bacaannya, kerajaan harus membuktikan segera seandai wujudnya pengganas J.I yang disebutkan. Sehingga hari ini Naib Canselor dan Timbalannya masih lagi membisu seribu bahasa.
Sekiranya tiada bukti, kerajaan khususnya Ketua Polis Negara harus memohon maaf kepada universiti, mahasiswa, badan-badan Islam yang berkaitan kerana telah mencalarkan serta menimbulkan ketakutan kepada masyarakat.
Dan sekiranya benar-benar terdapat penglibatan J.I di universiti, ini sebenarnya membuktikan kegagalan sistem pendidikan dan kawalan pentadbiran terhadap universiti sebagai sebuah gedung ilmu.
No comments:
Post a Comment