Sunday, September 26, 2010

Anekdot perjuangan, sebuah dedikasi

oleh : Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Sejurus dibebaskan daripada pertuduhan semalam, kira-kira jam sebelas setengah pagi, Shazni menghubungi saya, katanya mahu ke rumah saya bersama keluarga.

"Saya solat Jumaat di masjid sekitar Sri Gombak, dan terus ke rumah anta" katanya menghubungi melalui telefon. Saya menyetujuinya.

Lebih kurang jam dua setengah petang, mereka sampai. Walaupun hari agak mendung petang itu, tetapi ia tidak menghalang kami berjumpa.

Kami bersembang sekitar keputusan perbicaraan pagi tadi. Shazni melahirkan rasa gembira dan bersyukur. Kelihatannya seolah sangat gembira dan berpuas-hati. Saya yakin kerana ujiannya sudah berakhir.

Shazni Munir yang saya kenali

Shazni yang saya kenali seorang yang terlalu gigih dan kental. Bunyinya mungkin agak 'mengangkat bakul' dia, tetapi saya bercerita sebagai seorang rakan seperjuangan yang banyak bersamanya dalam pelbagai lapangan.

Bermula kepimpinannya di UM NIlam Puri, hingga ke UM Kuala Lumpur, seluruh hidupnya dicagarkan untuk memenuhi tuntutan perjuangan dalam aktivis mahasiswa.

Ketika saya tahun satu di UMKL, dalam fasa-fasa mahu 'bertatih' dalam perjuangan, dia sudah mengetuai Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA). Beliau menyeret mahasiswa untuk berbaring di hadapan Parlimen mendesak AUKU yang zalim dihapuskan.

Sehinggalah beliau mengetuai PMIUM dan di peringkat nasional dilantik sebagai pengerusi SMM (Solidariti Mahasiswa Malaysia).

Seingat saya, banyak tugas-tugas kepimpinannya saya terpaksa ambil alih yang ketika itu saya sebagai timbalannya di PMIUM. Berikutan mengetuai mahasiswa dalam suara rakyat negeri Perak yang dilanda krisis 'kudeta', beliau diburu polis.

Lebih kurang seminggu juga dia menghilangkan diri.

Ditangkap

Belum lagi kisah dia ditahan dalam siri demonstrasi mahasiswa dan kes 'Puaka UM' yang melemparkan dia ke lokap polis sebanyak hampir tiga kali.

Dua kali kerana mengetuai demonstrasi, satu kali untuk siasatan kes 'Puaka UM'

Jiwanya besar

Saya masih ingat tatkala saya ditangkap ketika mengetuai demonstrasi di hadapan SOGO berkenaan isu Autonomi Universiti.

Ketika itu saya bersama lapan yang lain hampir direman tia hari, namun peguam tangkas memaksa polis membebaskan kami malam itu juga.

Tatkala genting itu, beliau berpesan di dalam smsnya pada saya, "Jangan gentar ujian dunia, ramai lagi para pejuang yang mendapat ujian lebih dari ini".

Saya kembali bersemangat ketika itu sehinggalah dibebaskan.

Kes "puaka UM" dan sebuah ujian

Saya mengikuti hampir keseluruhan perbicaraan di mahkamah dalam kes ini. Sedari mula perbicaraan sudah nampak bahawa satu penganiayaan kepada mahasiswa.

Sehinggalah akhirnya semalam mahkamah memutuskan mereka tidak bersalah, menjawab segala pertuduhan dan persepsi negatif kepada mereka.

Saya kembali mengingati kitab-kitab haraki yang sempat saya hadami dahulu. Betapa ujian adalah sunnah dalam berjuang, dan orang yang tidak dilanda ujian bukanlah berjuang namanya.

Mereka kelima-lima ini saya 'tabik' sebagai manusia yang sudah mendepani ujian yang besar. Berhadapan polis, air mata keluarga, kewangan, masuk lokap, dihina, dan macam-macam lagi.

Mungkin sedikit nak dibandingkan dengan para sahabat, tetapi besar bagi yang tidak merasainya.

Saya yakin perjuangan mereka benar, dan Allah sentiasa bersama kebenaran.

Kepada sahabat saya Shazni Munir, salam perjuangan dan tahniah atas kemenangan. Selagi mana perjuangan belum selesai, selagi itu kita akan terus berjuang.

Rumah Real, 2.08 a.m

No comments: