Sunday, September 19, 2010

Kisah saya dan jururawat (2)

Lebih kurang jam empat pagi, seorang jururawat mengejutkan saya.

"Awak masuk ke ICU, tengok ayah" kata jururawat itu.

Saya dalam keadaan sedikit mamai terus duduk. Jam di tangan menunjukkan jam 4.15 pagi. Sudah lebih tiga minggu saya berkampung di Hospital Damansara, menjaga ayah yang masih terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Setibanya dalam wad, saya melihat ayah sudah terjaga. Saya terus meluru mendapatkannya.

"Ayah dah sedar, dia kata dia nak mandi dan solat Subuh" halus suara jururawat itu.

Ada lebih kurang lima orang jururawat bertugas ketika itu. Seorang menulis sesuatu dan lain-lainnya sibuk mengisi ubat ke dalam tiga lagi pesakit.

Semenjak hampir 20 hari di situ, ada sekitar dua kematian berlaku di sini. Pertamanya pada minggu ke dua, yang kedua hampir subuh baru dua hari lepas.

Saya sedikit pelik jururawat-jururawat di sini. Sejak malam tadi hinggalah ke pagi saya lihat seorang pun tidak duduk lagi di kerusi, walaupun disediakan di situ. Masing-masing ke hulu dan kehilir mendapatkan pesakit. Terutamanya apabila mesin pernafasan di sisi pesakit berbunyi.

Solat Subuh

Usai saya memandikannya. Ayah saya minta solat di surau hospital di tingkat satu. Saya menegah mengatakan agak jauh untuk ke bawah, dalam keadaan masih tidak sihat sepenuhnya.

Lalu, jururawat itu menunjukkan satu bilik, iaitu bilik persalinan mereka. Saya jangkakan bilik itu umpama stor atau tempat menukar pakaian. Namun, oleh kerana tiada tempat lain, saya bersetuju.

Apabila dibuka, saya terkejut. Bilik itu umpama seperti sebuah surau kecil. Lengkap dengan sejadah, Al-Quran dan telekung. Dalam hati saya bersyukur, masih ada lagi jururawat yang menjaga 'Agama'nya walau dalam situasi kritikal di ICU.

Baca Al-Quran

Hari-hari ketika ayah belum sedar, saya akan mendengarkannya bacaan Al-Quran di telefon bimbitnya terutama apabila masuk waktu solat. Supaya dia sedar waktu-waktu solat.

Satu hari, telefon kehabisan bateri, hampir tiga hari juga saya tidak mendengarkannya bacaan Al-Quran. Hari esoknya, apabila saya masuk ke wad, sudah tersedia telefon bimbit lain juga memperdengarkan bacaan Al-Quran di sisi ayah. Saya mencari, rupanya ia milik seorang jururawat di situ.

Jururawat yang ditarbiyah

Sepanjang beberapa ketika di wad ICU, saya memerhatikan gelagat manusia-manusia yang menghabiskan seluruh kehidupannya di sisi pesakit. Manusia yang bersedia meletakkan kehidupan bahagia dan senangnya di tepi dan menjadi manusia yang hidupnya tidak normal supaya pesakitnya kembali normal.

Untungnya jika punyai jururawat yang faham Agama, atau mudahnya ditarbiyah. Boleh membawa elemen-elemen Agamanya di dalam tugas dan kariernya dan menjadi contoh kepada pesakit.

Saya tidak tahu bagaimana pengorbannnya, namun apa yang pasti lebih daripada manusia biasa. Ia bukan sekadar profesion, bahkan kehidupan.

Saya berterima kasih kepada para jururawat yang menyediakan diri mereka untuk susah. Juga yang telah memberi saya satu contoh kehidupan yang darinya saya banyak belajar.

Belajar untuk hidup dalam kehidupan orang lain...

4 comments:

Norazali Zainuddin said...

adakah ini kisah benar? atau imaginasi penulis semata? atau penulis sudah jatuh cinta dengan jururawat yang ditarbiyah? mohon penjelasan. Tq

Mohd Aizat Bin Mohd Saleh said...

Assalamualaikum, abg Zali.

Diminta jangan timbulkan provokasi seumpama yg dibuat sewaktu PRK dahulu...

Pengalaman sebenar penulis, namun tiada berkait dengan mana-mana individu hidup mahupun mati.

Tq.

Ahmad Ulwan b Hassim said...

jatuh cinta pon apa salahnya..hehe
gurau jer..apa2 pon mabruk..menarik..

Asiah yusro said...

subhanALLAH...
doakan agar semua para jururawat bukan sahaja dapat merawat sakit luaran pesakit tetapi juga kelompangan hati hati pesakit untuk mendekatkan diri kepada ALLAH swt...