Monday, October 3, 2011

Kita hadir hanya ketika membantah


oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Mungkin agak terlewat mengetengahkan kembali isu hiburan sekarang ini. Namun saya masih lagi tertarik untuk memberi pandangan mengenai isu filem 'Hantu Bonceng' yang diarahkan oleh Ahmad Idham dengan Zizan dan Juliana Evans sebagai pelakon utama. Walaupun ia telah berlalu, namun hari ini mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad kembali memberi respons.

Isunya hanyalah adegan dan dialog yang dianggap seperti menghina Islam. Ucapan syahadah yang bercampur dengan perkataan 'Syaitan' serta mempermainkan azan ketika Zizan terpana melihat Juliana Evans tertidur di sofa dengan kain terselak. Isu ini melarat apabila Ketua Pemuda PAS mencadangkan agar diberi penambah baikan di dalam tapisan filem serta membidas filem-filem yang terlalu banyak unsur yang merosakkan.

Isu

Saya ingin mengenepikan isu keburukan yang berlaku di dalam filem tersebut. Ini kerana saya yakin, pengarahnya sendiri bukanlah seorang yang berfikrah Islam sepertimana Rashid Sibir yang pernah menghasilkan telemovie Liang Lahad, atau Faisal Ishak (telemovie Panggilan Arwah), atau filem yang sarat dengan mesej kemanusiaan yang pernah dihasilkan oleh U-Wei Haji Saari.

Namun, saya yakin beliau (Ahmad Idham) punyai matlamat walaupun - mungkin kurang jelas - dalam mengetengahkan isu mat rempit yang semakin menjadi-jadi. Saya juga yakin bahawa mat-mat rempit yang menonton filem ini, akan mengakhiri tontonan mereka dengan kepuasan kerana lawak daripada Zizan, bukannya dari mesej Ahmad Idham.

Petang tadi, saya sempat bertwitter dengan Ahmad Idham. Oleh kerana isu ini timbul kembali, saya berkata padanya harapnya dalam filem akan datang tidaklah kontroversi lagi. Lalu beliau menjawab: "Susah nak jamin, sebab kebanyakannya suka cari salah orang lain.." Kata beliau menyebabkan saya terkedu sejenak. Mungkin ada kebenaran.

Hadir hanya ketika membantah

Dengan tidak menyalahkan seratus-peratus tindakan parti politik yang membantah unsur buruk dalam filem itu, saya suka melihat dari perspektif berbeza. Khususnya kepada gerakan Islam - yang perjuangannya bermesejkan dakwah - selalunya hadir dalam segenap isu dalam keadaan membantah dan mengecam. Atau kata lainnya - kita selalu hadir hanya ketika membantah.

Kita hanya berperspektif melihat kesalahan-kesalahan yang dilakukan orang lain. Dan dengan kesalahan itu, kita membantah dan mencadangkan sesuatu. Saya tidak katakan ini tindakan salah. Tetapi kadangkala boleh ditafsirkan kurang bijak dan tepat.

Bukankah dengan tindakan ini, ia lebih menampakkan gerakan Islam itu sebagai musuh di dalam industri hiburan, sedangkan alangkah baiknya kita menjadi agen yang menyerap masuk ke dalam industri ini, lalu memperbetulkannya daripada dalam. Di sana, adakah kita sudah merancang dan menyusun strategi ke manakah kita mahu menghalakan artis-artis yang sudah berubah ini untuk ditempatkan di dalam industri hiburan?

Cabaran

Inilah cabaran paling besar kita: Mengislamisasikan industri hiburan. Dalam hal ini, saya melihat negara Indonesia lebih kehadapan di dalam menyusun kader-kader dari kalangan artis ke dalam seni dan perfileman yang akhirnya mereka boleh menghasilkan fenomena di dalam perfileman yang berbentuk Islamik.

Bila lagi kita boleh lahirkan pengarah-pengarah yang filemnya box office namun dalam masa yang sama boleh mengesankan jiwa-jiwa masyarakat yang menonton. Khabir Bhatia dengan Nur Kasih The Movie, boleh dianggap contoh yang boleh diikuti. Malah perlu melahirkan lebih banyak pengarah-pengarah seumpama itu. Sesungguhnya industri filem sangat memberi kesan kepada masyarakat dalam membentuk pemikiran dan budaya mereka.

2 comments:

محمد حذوان بن حميدان said...

post yg baik!
hkktnya itulah realiti kini..slalunya 'org2 agama' akn disinonimkan dgn glongan pghukum..

hukum selamanya ttp wjb utk kita patuhi, nmun sjauh mne pndekatan kita dpt mngubah mnda msyrkt kpd 1 pmikirn yg satu dan tepat..

ada kalanya kita PERLU utk mghkum dan SELALUnya msti kita nyatakan alternatif yg trbaik bg ssuatu isu..

renungan brsama.. (^_^)

Mohd Aizat Bin Mohd Saleh said...

Terima kasih Hazuan.

Kata seorang tokoh gerakan: "Kita pendakwah bukan penghukum."

Jika kita ahli fiqh dan ulama, kita boleh saja hendak menghukum org kerana kita berilmu. Namun, org akan lari. Berbanding dgn org yg tdk berilmu, tetapi selalu berdamping dgn golongan yg tdk faham yg akhirnya ia dekat dgn Islam.

Tetapi lbh baik (afdal) golongan ulama yg mendekati golongan ini. Kerana mereka lebih berilmu..

Sekadar berkongsi