Monday, November 17, 2008

Kearah Ledakan Ubudiyyah Kedua : Sebuah Analisis Ringkas

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Pesan buat pejuang Islam untuk ’digigit dengan geraham’:

“Akan terus wujud segolongan umatku yang berani melahirkan kebenaran. Tidak akan memberi mudarat kepada mereka orang-orang yang menyanggahinya hingga datang perintah Allah..” (Riwayat Bukhari)

Prakata:

Pillar utama sesebuah gerakan Islam adalah sistem tarbiyyah yang tersusun, nuqaba’ yang kental dan kepimpinan yang menyeluruh. Rentetan dari itu, ia bisa melahirkan tokoh sehebat As-Syahid Hassan Al-Banna, As-Syahid Syed Qutb dan ramai lagi pejuang Islam sanggup menggantikan nyawa mereka setanding harga sebuah kesyahidan.

Umumnya, kita jelas bahawa gerakan Islam kampus (GIK) merupakan satu-satunya wadah yang membawa idea faham Islam terhadap seluruh mahasiswa kampus dalam misi meneruskan kesinambungan kepimpinan gerakan Islam.

Situasi dan Realiti:

Hari ini, landskap kampus di seluruh negara berhadapan dengan situasi yang begitu mencabar dan menggugat. Pasca Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu telah merubah sedikit sebanyak hala tuju kebanyakan gerakan islam kampus (GIK). Misalnya, kelahiran Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (Bersatu) serta peralihan Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) kepada badan NGO, memperlihatkan mahasiswa/i yang lahir dari rahim GIK mula menuju ke sempadan searah parti-parti politik negara. Tidak hairan sekiranya suara-suara mereka ini turut muncul seiring bersama isu-isu semasa yang timbul.

Kepimpinan mahasiswa dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) yang dijangka terjadi pada awal Januari depan, dijangka akan dirampas kembali oleh golongan yang digelar Pro-Mahasiswa, lalu bakal meranapkan sisa-sisa kebobrokan pemerintahan golongan Aspirasi yang didakwa tidak mampu mengembangkan idealisme dan kepimpinan mahasiswa. Seluruh strategi diatur dan disusun, jentera pelbagai peringkat diaktifkan, risalah-risalah ditebarkan bagi merencatkan kemaraan pihak musuh.

Kerisauan dan Ancaman:

Dalam masa yang sama, gerakan Islam kampus (GIK) telah hilang identiti dan rohnya ibarat jasad yang ketiadaan jiwa. Semakin malapnya perkara asas yang dilaung-laung GIK iaitu menerapkan tarbiyyah kepada seluruh mahasiswa kampus, akhirnya seakan pudar digasak strategi-strategi yang semakin serabut membelenggu gerak kerja ahli gerakan. Program dan aktiviti dakwah makin teruk dihakis dengan elemen menarik ’pengikut-pengikut buta’. Lantaran itu, mad’u kembali memikirkan, apakah makna Islam yang sebenarnya yang menyaluti gerakan Islam kampus ini.

Usrah-usrah yang menjadi pillar utama tarbiyyah, semakin hilang dan luput. Para naqib dan naqibah lebih selesa membahaskan pemikiran dan ideologi serta kata-kata tokoh agung barat sehingga meninggalkan ungkapan qalallah dan qalal rasul. Nuqaba’ semakin culas menjalankan usrah lalu menghadapkan seribu satu alasan yang sepanjang zaman tidak mungkin selesai. Kuliah-kuliah ilmu yang diadakan, semakin galak membahaskan soal cinta yang mengkhayalkan sedangkan makna tauhid langsung tidak dimengerti. Gerakan Islam kampus hanya sekadar menjadi persatuan program biasa untuk memenuhkan takwim tahunan sementara menunggu AGM yang menjadi acara rutin tahunan.

Di samping itu, peranan ahli gerakan di kolej-kolej kediaman langsung tidak kelihatan. Ahli gerakan tidak mampu bertugas sebaiknya sebagai hudur mu’assirah, bahkan ibarat ada tetapi tiada. Surau-surau kolej kediaman yang sepatutnya menjadi medan penerangan dakwah Islam, sunyi tenggelam dek program-program sekular di sekelilingnya. Bahkan ada yang menyatakan tidak layak untuk menyampaikan kuliah kerana tidak mempunyai ilmu.

Beberapa Sarana:

Ini adalah satu muhasabah dan pemerhatian jujur. Sesuatu perlu dilakukan agar wabak-wabak ini tidak lagi merebak dalam sebuah gerakan Islam kampus. Kemuncup-kemuncup yang melekat di kaki-kaki pejuang, harus dibuang sambil tetap terus berjalan.

Penerapan dan pemasakan tarbiyyah ruhiyyah (pengisian rohani), tarbiyah jihadiyyah (pendidikan jihad), tarbiyyah thaqofiyyah (pendidikan keilmuan) serta nizam syumul (pengurusan organisasi lengkap) adalah harus menjadi asas kriteria keahlian gerakan Islam kampus. Latihan-latihan kepimpinan Islam dalam usaha melangsungkan kefahaman Islam perlu dilebar-luaskan tanpa perlu merasa bimbang dan takut. Ledakan ubudiyyah kali kedua bakal digelombangkan kembali dengan meniup nafas ahli-ahli gerakan menuju keizzahan Islam. Laungan-laungan Allahu Akbar!  dan Hidup Islam! bakal digegarkan di dewan-dewan kuliah dan dataran-dataran umum.

Menuju perobahan itu, ahli gerakan perlu bersiap sedia. Kitab-kitab haraki wajib dihadami dan dicermati umpama  ’Tasawwur Asasi Gerakan Islam’, ’Amal Jamie’, Usrah dan Harakah’ serta ’Risalah Ta’lim’. Tarbiyyah ruhiyyah dihidupkan kembali. Qiamullail dan bacaan Al-Quran wajar menjadi amalan rutin ahli gerakan. Budaya brainstorming diaktifkan bagi mencernakan idea-idea baru yang segar.

 Penutup dan Pesan Sang Rasul:

”Orang yang paling berat dicuba ialah para Nabi dan Rasul, kemudian yang paling baik selepasnya, kemudian yang paling baik selepasnya..”

2 comments:

Mior Isfandy Mior Azizan said...

Assalamu'alaikum

Alhamdulillah, blog saudara hidup..

Saya tertarik dengan analisa yang saudara buat mengenai ledakan ubudiyyah ini.

Saya cuba menyarankan agar perjuangan dan idealisme mahasiswa ini berpijak semula kepada dasar dan prinsip asas.

Pendekatan dan mekanisme perlu diperbaiki.

Saya khuatir, sekiranya maudhu' dakwah kita tidak dihayati sepenuhnya oleh golongan sasar terutamanya mahasiswa umum.

Jika tidak, maka perjuangan kita hanya untuk golongan elit, dan grassroots tidak mahu menyokong kita.

Sekadar muhasabah.

Mior Isfandy Mior Azizan
http://miorisfandy.com
013 697 3646

Aizat Salleh said...

Wslm saudara mior.
Inilah realiti gerakan dakwah kita. W/bagaimanapun, ia hanya satu kemuncup yg melekat di kaki2 pejuang, yg harus dibuang sambil berjalan. Tarbiyyah da dakwah mesti diteruskan walau apa yg berlaku. Muhasabah ini adalah untuk saya, anda dan semua ahli gerakan.