Thursday, August 20, 2009

IRIS 2009 : Memikirkan Kembali Nasib Mahasiswa Pengajian Islam

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

1. Islamic Religious Scienes Students Convention 2009 (IRIS 09) yang berlangsung pada 14 dan 15 Ogos di Universiti Islam Antarabangsa perlu diambil perhatian secara serius oleh para pemikir Islam dan mereka yang menuntut dalam pengajian Islam.

2. Cukup memeranjatkan saya, daripada statistik yang dibentangkan oleh Dato' Hamidon Abdul Hamid, dari ISTAC yang juga Pengarah Khas Rektor UIAM. Daripada hasil kajian posisi graduan pengajian Islam UIAM, hanya 49.6 % yang berjaya menempatkan diri mereka di dalam pekerjaan. Selebihnya 42.3 % lagi tidak bekerja dan 6% tidak diketahui posisi mereka.

3. Dalam kajian status pekerjaan graduan Ijazah Pertama yang dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun 2007 pula, hanya 38.5% sahaja yang bekerja, manakala bakinya dikenal pasti sebagai menyambung pelajaran, tidak bekerja dan sebagainya.

4. Dua aspek yang menjadi perhatian saya, adalah kerana kualiti ilmu yang dipelajari di universiti tidak sepadan dengan kerja di luar, ataupun 'market place' sendiri tidak menyediakan ruang kepada mahasiswa pengajian Islam.

5. Di UIA, pelajar pengajian Islamnya memiliki beberapa kualiti khusus, antaranya bahasa pengantar pengajian mereka adalah Bahasa Inggeris dan Arab, satu keperluan semasa yang membolehkan mereka diterima dalam pekerjaan nanti.

6. Seperti di UM pula misalnya, walaupun tidak begitu didedahkan dengan bahasa kontemporari itu, namun jabatan yang ditawarkan agak menepati kehendak pasaran kerja seperti kursus syariah ekonomi dan syariah undang-undang.

7. Pun begitu, mengapa masih ramai lagi graduan pengajian Islam yang berstatus menganggur? Mungkin takrifan bekerja itu perlu didefinisikan kembali. Bekerja dari sudut apa dan dimana mereka duduk.

8. Seperkara lagi yang menjadi problemika dan dilema mahasiswa pengajian Islam ini adalah kebolehan mereka untuk 'menebarkan' diri mereka di dalam masyarakat. Apabila menyentuh soal ini, kebolehan mereka dipertikaikan. Mereka gagal menyediakan pemikiran dan diri (soft skill) yang boleh membezakan mereka dengan graduan yang lain.

9. Saya menyebut dalam forum sempena konvensyen tersebut yang bertajuk 'Cabaran Masa Hadapan: Kelangsungan Pelajar Pengajian Islam dalam Masyarakat Moden'. Mahasiswa Pengajian Islam seharusnya memerlukan tajdid fikri (revolusi pemikiran) secara serius untuk menghadapi cabaran mendatang.

10. Antaranya ialah berkonsepkan liberal syariatik, pemikiran yang liberal dalam mendepani segala isu yang berlaku, namun dalam panduan syariat. Contohnya dalam menangani isu kalimah Allah dan bacaan Al-Quran oleh orang bukan Islam.

11. Keperluan diri adalah satu perkara, dalam aspek yang lain lagi, kerajaan juga harus memikirkan ke mana arah tuju mereka ini dan sumbangan mereka dalam masyarakat. Dalam perkara ini, saya menyokong usaha bekas Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi yang cuba membantu graduan pengajian Islam dengan mewujudkan J-QAF. Walaupun masih dilihat dalam lingkungan yang statik, namun ada usaha untuk membangunkan masyarakat melalui jasa dan sumbangan pelajar pengajian Islam.

12. Saya mencadangkan kepada kerajaan Malaysia, bahawa jika benar-benar mahu melihat masyarakat hari ini dipandu dengan Al-Quran dan Sunnah, lakukanlah islamisasi dalam kerajaan melalui medium seperti mana yang dilakukan bekas PM itu.

13. Malah, apa salahnya mewujudkan jawatan-jawatan baru dalam sektor kerajaan yang dikhususkan kepada pelajar pengajian Islam. Misalnya penasihat syariah, Kementerian Sukan atau di Kementerian Dalam Negeri dan di kementerian dan sektor lain.

14. Dengan itu, sedikit sebanyak mungkin dapat menyelesaikan masalah market place mereka, dan dalam masa yang sama sumbangan mereka juga dapat dicurahkan, dan bukan disia-siakan.

2 comments:

Anonymous said...

Mungkin saingan daripada pelajar lulusan luar negara.Saya pernah terdengar dari radio bahawa lulusan agama islam dari luar negara terlalu ramai dan kerajaan menggalakkan mereka menceburi bidang ang lain.

Saya juga merasakan graduan dari pengajian Islam tidak banyak peluang pekerjaan makan gaji tp penting untuk graduan terus menimba ilmu dan cuba sebarkan ilmu dan idea anda mungkin melalui penulisan buku.

Graduan pengajian Islam juga boleh terlibat dlam bidang motivasi, ekonomi,usahawan, pendidikan seperti membuka tadika dan dalam masa yang sama aplikasikan ilmu agama yang anda ada dalam bidang yang anda ceburi.

sekadar berkongsi pandangan.

Aizat Salleh said...

Saingan itu sebenarnya bagus, mematangkan dan memberi peluang yang sangat besar mengasah bakat mahasiswa.
Yg menjadi problem di sini adalah keboleh terimaan ilmu dan sistem penyampaian ilmu yang tidak sesuai disamakan dengan pelajar yg mengambil jurusan lain yang hanya berasaskan market oriented..