catatan : Mohd Aizat Bin Mohd Salleh
Saya terpanggil untuk menulis berkenaan aqidah. Umum kita ketahui, aqidah merupakan perkara paling asas dalam kehidupan seorang muslim. Kerana ia berkait soal keimanan atau kepercayaan.
Saya akan tulis ini mengikut standard kefahaman seorang individu biasa. Bukan dari golongan intelek, mahupun agamawan. Maka tulisan saya adalah sederhana sahaja.
Dan dua aliran yang paling popular untuk mendalaminya pada hari ini adalah kaedah tauhid tiga (rububiyyah, uluhiyyah dan asma’ wasifat), dan yang keduanya adalah tauhid sifat 20 (20 sifat-sifat Allah).
Kita dapat mendalami aqidah kaedah tauhid tiga biasanya dalam pengajian buku-buku yang lebih moden. Misalnya dalam teks pengajian Islam di sekolah rendah atau menengah. Biasanya dalam bab keimanan atau tauhid.
Manakala kaedah tauhid sifat 20, yang mempeloporinya adalah dari institusi pondok. Dan kitab yang paling popular digunakan adalah kitab matan ‘ummu barahim’.
Tauhid tiga
Tauhid rububiyyah adalah mengenai ketuhanan, iaitu sifat fitrah manusia yang pasti akan bergantung kepada kuasa yang maha besar.
Uluhiyyah pula menyatakan bahawa hanya Allah s.w.t yang layak disembah setelah menghayati sifat-sifatnya. Manakala asma’ wa sifat adalah kita mengenali nama-nama Allah serta sifat-Nya.
Tauhid itu mendekatkan kita kepada mengenali Allah dan kekuasaannya.
Tauhid sifat 20
Jika kita dalami kitab matan ummu barahim, perbahasan aqidah ini akan membawa kepada kita mengenali sifat-sifat Allah secara mendalam dan terperinci. Sebagai contoh, sifat Allah wujud ertinya ada, lawannya tiada.
Atau sifat-Nya yang lain misalnya mukhalafatu lil hawadis iaitu sifat Allah adalah berbeza dengan kehidupan lain, maknanya Allah tidak sama seperti makhluk lain.
Tauhid itu juga mendekatkan kita kepada mengenali Allah dan kekuasaannya. Dan yang pasti, kedua-dua tauhid ini membawa kita kepada keimanan kepada Allah.
Percanggahan
Kedua-dua aliran ini dari memang berbeza antara satu sama lain, tetapi dari aspek metodologi pemahaman. Asasnya, kedua-dua untuk memahami aqidah.
Samalah seperti kewujudan mazhab-mazhab di dalam dunia ini. Mereka para ulama’, berbeza pandangan apabila wujudnya dalil-dalil yang berbeza. Ia ditambah lagi dengan kaedah pentafsiran yang pelbagai serta berlainan mengikut tempat dan masa.
Masakan tidak, ia berlaku kepada al-Imam as-Syafie rahimahullah, pengasas mazhab as-Syafie yang mengeluarkan dua fatwa berbeza, satu di Hijjaz (Iraq), manakala satu di Mesir.
Memang akan berlaku percanggahan dari aspek metodologi, namun asasnya adalah untuk memahami Islam yang satu.
Agak pelik sekiranya, ada puak yang saling tidak boleh terima kepelbagaian metodologi untuk memahami aqidah sehinggakan satu kelompok sanggup untuk mengkafirkan satu kelompok yang lain.
Logiknya, jika ada satu pihak yang cuba menyalahkan puak lain yang berbeza dengannya, maka mereka ini semestinya berpendirian bahawa aqidah ‘cara mereka’ adalah yang paling benar, atau dengan kata lain mengikut apa yang diajar nabi s.a.w.
Aqidah cara nabi s.a.w.
Kalau dibuka kitab-kitab sirah nabi s.a.w, memang tidak ada metod khusus yang diajar nabi s.a.w ilmu aqidah kepada para sahabatnya.
Ada para sahabat yang memperolehi aqidah daripada mengikuti kuliah-kuliah nabi, mendengar ayat-ayat al-Quran yang dibacakan baginda, lalu mereka tersentuh dan memeluk Islam.
Namun, ada juga seorang sahabat nabi bertanyakan tentang apa yang diperolehinya apabila ia masuk ke dalam Islam. Lalu nabi s.a.w menjawab dia akan mendapat syurga Allah dengan syarat ia turun berjihad bersama-sama baginda.
Lalu sahabat tersebut syahid di medan perang, sedangkan sehari sebelum dia berperang baru memeluk Islam. Rasulullah mengiktiraf kesyahidan beliau.
Kedua-dua mendapat ‘aqidah’ seperti yang dikehendaki nabi s.a.w, tetapi melalui metod yang berlainan.
Permudahkan ia
Kita jangan khilaf (terkeliru) tentang aqidah dan ilmu aqidah. Ilmu aqidah kita akan dapatinya apabila kita belajar dan belajar. Belajar di pondok mahupun di madrasah atau sekolah. Para pengaji di pondok pasti akan mendapat ilmu aqidah jika mereka menghabiskan pengajian kitab ummu barahim.
Untuk memperolehi aqidah, kita mesti melalui dua proses mendapatkannya. Satu melalui belajar, satu lagi melalui pemerhatian, penghayatan dan perlaksanaan. Ini disebut oleh Sayyid Sabiq.
Dapat ilmu aqidah sahaja tidak cukup, seandai tiada penghayatan dan melaksanakan. Adakah aqidah kita dikira mantap dengan hanya kita belajar, menghafal dan ingat sifat 20 dan tauhid tiga semata-mata?
Apa yang penting, belajarlah metod apa pun, asalkan ia sampai kepada tujuan untuk memahami aqidah itu. Dan seperkara lagi, mudahkanlah ia, kurangkanlah bercanggah dalam aspek furu’ (cabang-cabang), apa salahnya berkongsi kefahaman melalui kaedah yang berbeza.
Ilmu berkat, yang belajarnya juga tidak akan lari.
3 comments:
pencerahan yang baik akhi..
ana juga berpandangan, kini terlalu banyak lambakan buku sains ensiklopedia yang mengaitkan intipati ilmu sains dengan aqidah..
menarik..ianya ilmu, namun tujuannya memahami pegangan kita terhadap mentauhidkan ALLAH..
meraikan perbezaan..tapi contoh ana ni keluar sangat la dari perspektif agama..
tapi bagi ana ilmu sains akan relevan dengan kelompok manusia yang luas..
paling penting, permudahkan, jangan susahkan...
Sangat bersetuju dengan pendapat Us Aizat dalam entri ini. Bg saya, berlapang dada adalah paling penting dalam sesuatu yang melibatkan perbezaan pendapat. Tauhid tiga ka sifat 20 ka asalkan mudah untuk memahamkan kita dlm soal aqidah maka, go on.
Post a Comment