Monday, April 5, 2010

Sindrom dan beberapa penyakit ahli gerakan

oleh : Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Salah satu program tarbiyah ahli gerakan

Hari ini, gerakan Islam, khususnya kelompok ahli-ahli gerakan Islam di kampus harusnya tidak boleh duduk diam dengan prestasi dan kedudukan mereka.

Semakin hari, saya semakin bimbang akan budaya kerja dan prestasi abna' al-harakah yang semakin teruk dijangkiti penyakit sindrom malas dalam bergerak kerja.

Sindrom dilihat berpunca daripada nikmat-nikmat yang Allah kurniakan kepada ahli gerakan, khususnya nikmat kemenangan di dalam perjuangan.

Nikmat atau cabaran?

Di zaman Rasulullah s.a.w, tatkala diturunkan surah Al-Nasr yang bermaksud kemenangan, para sahabat ada yang menangis dan ada yang bergembira.

Ketika itu berbondong-bondong yang masuk ke dalam Islam sehinggakan kepada peristiwa Fathul Makkah menandakan Islam semakin diterima dan berkembangnya dakwah ke serata masyarakat.

Ibnu Umar, seorang sahabat nabi yang faqih menangis, walaupun ketika itu beliau masih muda. Beliau menangis kerana surah tersebut adalah signal dari Allah bahawa misi dakwah Rasulullah bakal tamat dan baginda akan diwafatkan oleh Allah.

Ibnu Umar menangis kerana umat Islam bakal menghadapi satu ujian kemenangan dengan ketiadaan manusia yang paling berjasa kepada Islam.

Sebab itu, di akhir surah itu disebutkan :

"maka Ucapkanlah tasbih Dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, Sesungguhnya Dia amat menerima taubat."

Allah mengingatkan, tatkala berada dalam nikmat kemenangan, hendaklah memperbanyakkan memohon keampunan. Ini kerana di waktu itu banyak nikmat diberikan kepada Allah yang boleh membawa kepada kelalaian dan cabaran.

Usrah medan terbaik pembinaan ahli gerakan

Sindrom 'Tak apaisme'

Salah satu penyakit ahli gerakan hari ini adalah sindrom 'tak apaisme'. Yang saban hari menjadi budaya buruk dan tabiat yang tidak menguntungkan gerakan Islam.

Dan kadangkala menjadi budaya pemikiran mereka.

Budaya yang apabila gagal atau terlepas melaksanakan sesuatu kerja-kerja jemaah, mereka mudah mengatakan 'tak apa' dan boleh diganti dengan perkara lain.

Satu contoh, apabila hari ini tak dapat menjalankan usrah atas sebab kesempitan waktu, maka mereka akan mudah menjawab : 'Tak apalah, kita ganti hari lain" atau "Nanti kita jumpa semulalah" dan sebagainya.

Ataupun, pada satu-satu program tamrin (latihan) atau kuliah ilmu, yang gagal dilaksanakan, maka dengan senang dijawab : "Jangan risau, nanti kita buat program back-up akan datang"

Sedangkan, dalam siri-siri program tarbiyah tersebut, punyai matlamat tersendiri dalam melahirkan ahli dan generasi yang baik dan berkualiti.

Paling merisaukan, abna' al-harakah yang akan lahir kelak, akan menerima tempias sindrom tersebut. Maka rungutan-rungutan ahli gerakan yang lesu, tidak berilmu, tidak pandai bergerak kerja dan macam-macam lagi akan kedengaran.

Berbincang, diskusi dan mencari jalan adalah tabiat ahli gerakan

Nak senang

Satu lagi penyakit yang kronik yang melanda juga adalah ahli-ahli gerakan mula mahu bermudah-mudah dan bersenang-senang di dalam bergerak kerja.

Alasannya adalah kita sudah berada dalam fasa kemenangan. Satu ayat yang pernah terpacul dari mulut seorang sahabat gerakan saya : "Kita sudah menang, gunakanlah segala kemudahan yang ada, buat apa susah-susah lagi macam dulu?"

Sekali dengar macam betul.

Ya, dengan susah-susah dululah gerakan Islam berjaya mendapat kemenangan. Dan dengan susah-susah dululah banyak lahir ahli gerakan yang bersedia mengorbankan diri, jiwa dan segalanya untuk Islam.

Pendek kata, Islam tertegak dengan kesusahan.

Mana ada Islam tersebar dengan mudah? Rasulullah s.a.w di Madinah, perangya menentang musuh dan menyebarkan dakwah adalah sebanyak 77 kali, hampir setiap tahun berperang!

Bila sudah terjun ke medah perjuangan, bermakna kita bersedia menempatkan diri kita untuk bersusah-susah. Bersedia untuk berhabisan dan kekeringan duit, dan bersedia mendengar cemuhan dan hinaan daripada orang lain.

Amat malang ahli gerakan tidak bersedia menerima tabiat perjuangan yang sentiasa akan dilanda mehnah dan tribulasi.

Satu sahaja muhasabah yang perlu digerakkan dengan segera oleh ahli gerakan. Kembali kepada fundamental perjuangan iaitu asas-asas tarbiyah.

Kembali sahaja tidak cukup, malah perlu seiringkan dengan penghayatan (al-wa'yu) agar roh perjuangan memberkas dan merembes di dalam gerak kerja.

Gerak kerja yang tiada ruh perjuangan ibarat jasad yang tiada nyawa.

Bila bergerak kerja dengan tiada 'nyawa' gerakan, maka ahli-ahli akan mudah 'pancit' atau lebih sinonim disebut sebagai futur.

Inilah sindrom akhir yang paling ditakuti dan digeruni. Hebat pada permulaan, 'hilang' bila sampai ke kemuncak. Lebih daripada itu mereka pula menjadi kelompok yang menentang jemaah yang dibaiahnya dahulu.

Inilah yang perlu dijauhi dan dielakkan demi masa depan Islam dan generasinya.

2 comments:

qudwaH_Humaira' said...

setuju x kalau ana cakap ianya adalah hasil ahli gerakan goreng pisang..atau mi segera?

syuhadah dzarawi said...

'Inilah sindrom akhir yang paling ditakuti dan digeruni. Hebat pada permulaan, 'hilang' bila sampai ke kemuncak. Lebih daripada itu mereka pula menjadi kelompok yang menentang jemaah yang dibaiahnya dahulu.Inilah yang perlu dijauhi dan dielakkan demi masa depan Islam dan generasinya'

sindrom yang lebih bahaya adalah malas daLam mencari ilmu dan menghayati apa yang disampaikan dan dipelajari- lebih malang lagi, sikap menuding jari atas kesalahan yang lain, tetapi tidak diri sendiri.