catatan oleh : Mohd Aizat bin Mohd Salleh
Seminggu kebelakangan ini, tiga kematian berlaku. Seorang, sahabat adik UM Nilam Puri kemalangan ketika melintas jalan pulang dari solat Jumaat. Allahyarham Ustaz Hassan Shukri, pemimpin PAS serta seorang sahabat muslimat dari UIAM, juga meninggal kerana kemalangan.
Perasaan saya berbaur sedih dan cemburu. Sedih kerana kehilangan orang yang banyak berjuang untuk Islam. Cemburu kerana saya tidak dapat seperti mereka, pergi ketika dalam medan perjuangan.
Hari ini saya perlu bersedia dan mempersiapkan diri untuk seperti mereka. Bukan mahu meminta 'pergi' itu, tetapi membuat persediaan seandai dijemput seumpama itu. Siapa pun tidak tahu akhir kita bagaimana.
Saya perlu bersedia menerima untuk jauh dari orang-orang tersayang. Juga bersedia untuk meninggalkan mereka.
Saya perlu bercakap dengan rakan-rakan serta sahabat bahawa satu masa nanti kita akan berpisah, dan dengan ikatan ukhuwah akidah, berdoa agar bertemu di syurga semula.
Sedikit-sedikit juga perlu memisahkan diri daripada perkara-perkara yang membelenggu saya. Melarikan nikmat dunia segera yang mengikat saya untuk tujuan itu.
Jika ada yang bersangkut dengan saya, atau saya bersangkut dengannya, mohon segera buangkan, dan bersedia menerima ia adalah sementara.
Cinta pada Allah dan perjuangan menemui-Nya, satu-satunya cinta yang tertanam di dalam hati. Selain itu, bakal menjauhkan kita kepada perjuangan.
Kata-kata as-Syahid Sayyid Qutb di waktu-waktu terakhir sebelum digantung. Katanya : "Saya hampir-hampir tidak percaya bahawa kita akan mendapat kemuliaan ini, iaitu mati syahid di jalan Allah", sambil tersenyum.
Walaupun beliau tahu, kematian adalah menyakitkan, namun Imannya itu memberi ia ketenangan dan hilang rasa takut.
Semoga hari-hari akhir buatku, seperti beliau. Perkenankanlah Ya Allah.
1 comment:
InsyAllah! janji Allah itu pasti pada yang sentiasa berada di jalanNya..namun,dunia ini bukan sekadar hiasan yang menantikan suram dihujung dengan sendirinya, akan tetapi ia merupakan rantaian emas yg sgt berharga butirannya HANYA bagi insan yang tahu erti nilainya - salam pencerahan! dunia highwayku menuju akhirat =)
Post a Comment