Thursday, December 9, 2010

Disebalik demo air rakyat Selangor

Sebahagian peserta demonstrasi yang ditahan beramai-ramai

oleh : Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Sebaik sahaja Dr Badrul Amin, pengerusi jawatankuasa bertindak Kembalikan Hak Air Rakyat Selangor memberikan arahan berarak, saya dan beberapa rakan memulakan langkah.

Walaupun pada awalnya Dr Badrul Amin berkata polis membenarkan himpunan dan perarakan ini, ia tidak semudah itu telahan saya.

Baru sahaja kami melepasi bulatan berhadapan Masjid Negara, ratusan pegawai polis dan FRU sudah menunggu dengan rantaian manusia siap untuk menghalang perarakan kami sampai ke Istana Negara. Saya berkata kepada Qayyum, "Polis sudah menunggu.." Dia tersenyum.

Paling hadapan adalah skuad Unit Amal yang begitu setia menjadi tembok peserta demonstrasi, menyediakan tubuh badan mereka bakal diterjah air asid dan kepulan asap gas pemedih mata.

Seorang pegawai Unit Amal menjerit : "Yang belakang tolak kami kehadapan, jangan bimbang kami, kita rempuh sekatan polis.." Penuh semangat.

Saya berasak-asak berada di kelompok anak muda dan mahasiswa sambil laungan Hidup Rakyat, Hapus Syabas, Kembalikan Hak Rakyat bergema.

Saya berbaju merah hati bertutup mulut kain putih. Satu-satunya gambar saya yang saya temui di internet. Ketika ini memerhatikan gelagat polis dan anak muda.

Teruja dengan anak-anak muda

Barisan paling hadapan juga adalah kelompok anak muda yang rata-rata datang dari kolej swasta. Paling banyak UNISEL dan kolej komuniti sekitar Selangor selain daripada ahli-ahli GAMIS.

Selepas beberapa bom asap pemedih mata ditembak, serta semburan demi semburan, saya lihat anak-anak muda ini sedikit pun tidak berganjak, malah mereka semakin kehadapan.

Keberanian mereka, membuatkan saya menyertai mereka. Yang akhirnya menimbulkan kebimbangan dan kemarahan polis. Pihak polis terus mengeluarkan arahan menangkap kesemua peserta demonstrasi yang masih berkeliaran.

Dibelasah dan ditahan

Tatkala kelam-kabut melepaskan diri dari kejaran polis, di sebelah hujung tangga kawasan masjid saya terlihat seorang lelaki teruk dipukul seorang anggota polis. Di samping wanita juga turut dikejar.

Hati saya membuak, sejurus itu melepaskan satu tendangan kepada polis yang menyebabkan dia tersungkur dan dikerumuni orang ramai.

Tiba-tiba seorang anggota polis menerjah kepada saya. Tangan saya dikilas ke belakang, saya dipijak dan dipukul dan diperintah meniarap. Saya kira saya akan ditangkap kali ini.

Bila lagi polis boleh menjadi pengawal perhimpunan yang baik seumpama demonstrasi-demonstrasi yang berlaku di negara-negara Eropah.

"Supp!" Satu semburan mengenai muka saya. Polis menyembur semburan cili ke muka saya menyebabkan saya terus lemah dan penglihatan gelap. Pedih dan panas rasanya. Kemudiannya saya terus dibawa menaiki trak.

Ke Kem PGA Cheras

Bersama-sama saya lebih kurang 30 orang lagi peserta himpunan yang ditahan. Kami dibawa ke Kem PGA di Hulu Langat. Di sana kami diambil laporan dan soal-siasat.

Rupanya lebih kurang 50 orang kesemuanya ditahan dalam dua trak. Masing-masing ada mahasiswa, pegawai unit amal dan aktivis masyarakat.

Sementara menunggu diambil laporan, saya bersembang dengan seorang lelaki India, Jason namanya. Datang daripada TTDI untuk demonstrasi.

Usrah dengan Jason

Kata Jason, ini adalah kali kelima dia ditahan. Lain himpunan yang disertainya adalah Bersih, Mansuh ISA, turun harga minyak. Kesemua dia ditahan.

Umurnya mencecah 40-an, namun dia belum berkahwin. Saya bertanya mengapa tidak berkahwin, dia menjawab belum menemui wanita yang boleh faham perjuangan sepertinya. dia bimbang berkahwin dengan wanita yang tidak faham akan mengganggu perjuangannya.

Saya tersenyum dan berseloroh dengannya. Memang susah mencari isteri yang boleh faham perjuangan. "Semoga anda bertemu wanita yang anda cari" kata saya.

Paling saya ingati, dia menasihati saya agar tidak 'puas' dengan penahanan ini. Perjuangan kita adalah bukan untuk kita tetapi anak-anak dan generasi hadapan. Katanya, biar masuk penjara kerana perjuang hak rakyat, jangan masuk penjara kerana kes moral.

Saya mengangguk. Hari itu, saya mendapat 'pengisian' aqidah perjuangan daripada seorang pejuang berbangsa India dan bukan Islam. 'Usrah' seketika itu memberi banyak manfaat walaupun sekejap.

Dilepaskan

Sekitar jam 6 petang kesemua dibebaskan. Kami bertakbir dan bersalam-salaman dengan anggota polis. Diantara kami menyatakan janji akan bertemu semula dalam demonstrasi-demonstrasi akan datang.

Melepasi pintu pagar Kem PGA itu, kami disambut rakan-rakan. Saya berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang setia menunggu. Ridzuan, Qayyum dan Syahriul. Juga kepada pimpinan mahasiswa yang bersemangat Izzudin dan Taufik.

Saya balik dengan selipar 'baru' dan kehilangan jam tangan. Ia sebenarnya menambahkan lagi semangat saya. Ada benarnya kata seorang tokoh 'Andai takut dengan risiko usah bicara soal perjuangan!'

5 comments:

Azizan Yaakob said...

saya kagum dengan semangat dan keberanian saudara. Teruskanlah jika sdr berfikir ada 'kebenaran' yang perlu dipertahankan. Buatlah selalu istiqarah dalam mencari kebenaran. Insha Allah Tuhan bagi jalan kepada kita. Walau pun kita berbeza fikiran saya juga mencintai kebenaran. Disatu sudut kita adalah sama. Hanya jalan berbeza. Jangan patah hati.

madihah said...

ok, terbukti kenyataan ust ridzuan othman tempoh hari di twitter =)

Mohd Aizat Bin Mohd Saleh said...

Terima kasih saudara Azizan Yaakob.

Kepada ukhti Madihah, cerita ini bukan main-main, tp betul2 punya..

Nurul Jannah Binti Ismail said...

wah..terpana baca artikel ni.lain rasanye bile baca pengalaman org yg kita kenal.huhu

Al Ghazali Sulaiman said...

Kalau ganjarannya bukan di sini, pasti sudah tersedia 'di sana'. Selamat maju jaya dan moga terus konsisten.