Saturday, July 18, 2009

Kronologi Demonstrasi Bantah Kekejaman Thai dan Tangkapan 8 Mahasiswa

catatan oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Berikut sedikit catatan kronologi demonstrasi aman bantah kekejaman Thailand selepas solat Jumaat. Demonstrasi kami dicalari dengan insiden kekasaran polis dan tangkapan.

Jumaat, 18 Julai 2009:

2.15 petang : Selepas selesai solat Jumaat, saya dan beberapa mahasiswa berpakaian putih bersiap-sedia untuk memulakan demonstrasi. Disebelah saya juga Presiden ISIUKM saudara Idris.

2.25 petang : Kira-kira lebih 70 mahasiswa mula berkumpul di perkarangan masjid Tabung Haji berdekatan tangga. Dihadapan kami sekumpulan polis berpangkat tinggi mula berkumpul. kami mengangkat banner dan memakai headband. Saudara Azizan, ketua tarbiyah UKM memulakan ucapan.

2.30 petang : Polis mula mendekati kami, cuba menyuraikan himpunan. Namun kami melepasi setelah beberapa rundingan.

2.45 petang : Perarakan mula masuk ke tengah jalan setelah melepasi Kompleks Tabung Haji. Laungan 'Hidup Islam', 'Hancur Kekejaman' dan takbir bergema mengiringi perjalanan kami. Perkumpulan bertambah, beberapa pekerja mengikuti kami. Di jalan raya, beberapa kenderaan membunyikan hon tanda sokongan kepada bantahan kami.

Demonstan berarak dari Tabung Haji ke Kedutaan Thailand. "Hidup Islam!"..."Hancur Kekejaman!".
Laungan membakar semangat, demi sebuah kasih persaudaraan Islam.


2.55 petang : Kira-kira lebih 200 meter sampai ke Kedutaan Thailand, kumpulan demonstran dihalang oleh polis berdekatan Balai Polis Tun Razak. Seorang pegawai polis bernama Inspektor Zainuddin menghentikan kami. Beberapa unit keselamatan kami membuat rundingan.

3.00 petang : Laungan diteruskan. Kelihatan saudara Shafie, wakil SMM berunding dengan polis. Polis mengarahkan perhimpunan bersurai, namun kami membantah dan meminta budi bicara polis untuk mengadakan ucapan pimpinan mahasiswa. Inspektor Zainuddin bersetuju dengan syarat hanya 5 minit sahaja.

Shafie Hashim berunding dengan polis. "Beri kami lima minit sahaja, kemudian kami bersurai.."

3.10 petang :
Ucapan diteruskan. Namun, tiba-tiba beberapa pegawai polis bersama dua Special Branch (SB) membuat provokasi. Azizan selaku koordinator demonstrasi ditolak, seorang pegawai polis cuba merampas pembesar suara. Berlaku sedikit pergelutan. Saya dan Aiman, unit keselamatan turut dikasari. Beberapa pimpinan mahasiswa memohon supaya diberi ruang untuk menghantar memorandum. Polis membenarkan hanya 10 wakil sahaja. Di sebelah hujung, Song Yong, wakil DEMA ditarik Inspektor Zainuddin.

3.20 petang : Setelah rundingan, saya bersama 6 wakil mahasiswa dari pelbagai front dibenar ke Kedutaan Thailand, antaranya GAMIS, SMM, KAMMI dan DEMA. Kami berjalan kaki ke kedutaan. 10 minit kemudian kami tiba. Seorang wakil daripada kedutaan bernama Amin bersedia menerima memorandum kami. Memorandum berjaya diserah.

3.32 petang : Saya mendapat panggilan daripada Aiman, tiga demonstran ditangkap. Mereka adalah Song Yong, Shafie dan Fitri. Dibawa ke Balai Polis Tun Razak.

3.45 petang : Di Tabung Haji, himpunan telah bersurai. Namun, beberapa kelompok polis mengawal dihadapan masjid. Turut serta pasukan simpanan khas (FRU). 10 minit kemudian, dua lagi ditangkap di hadapan masjid. Saya difahamkan Fauzan dan Farid dirampas kad pengenalan sebelum polis menggari mereka setelah beberapa pergelutan. 5 minit kemudian, dua siswi pula ditangkap setelah dikepung polis.

4.00 petang : Fauzan dan Farid dibawa dengan kereta polis ke Balai Polis Dang Wangi. Mengikuti mereka ke sana juga dua siswi, Aisyah dan Syamsul Mahida. Saya bergegas menghubungi peguam.

4.30 petang : Saya tiba di Balai Polis Dang Wangi, namun saya dihubungi rakan, mereka (4 orang) sudah dipindahkan ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi. Saya terus ke sana.

5.15 petang : Saya mendapat panggilan dari rakan di Tun Razak, 3 yang ditahan di Balai Polis Tun Razak akan dibawa ke IPD Sentul.

7.00 petang : Peguam tiba di IPD Dang Wangi. Setelah beberapa perbincangan, peguam bersetuju membantu kami melepaskan pelajar yang ditahan.

Song Yong sebelum ditahan.

7.35 petang : Kami dan peguam ke Balai Polis Dang Wangi di Kampung Baru setelah dimaklumkan dipindahkan ke sana. Saya mengikuti sesi soal jawab mereka. Saya dimaklumkan oleh pegawai penyaiasat (IO) dengan jaminan mereka akan dibebaskan malam ini (Jumaat). Di Balai Polis Sentul, peguam kami dihalang bertemu dengan tahanan. Akhirnya mereka ditahan semalaman untuk disoal siasat.

9.45 malam : Saya, Hilman (wakil KAMMI), Jin Cheng (DEMA) dan Idris (GAMIS) berbincang untuk melakukan tindakan tekanan kepada polis bagi membebaskan rakan-rakan kami. Satu sidang media mesti diadakan esok dihadapan Balai Polis Sentul. Dalam sidang ini kami akan menjelaskan pendirian dan tuntutan mahasiswa atas insiden yang tidak demokratik ini.

10.00 malam : Saya dimaklumkan oleh peguam di Balai Polis Dang Wangi, bahawa soal-siasat hampir tamat. Mereka (4 orang) akan dibebaskan malam ini tanpa syarat. Saya masih lagi tidak mengetahui status rakan-rakan yang ditahan di Sentul. Yang pasti mereka bermalam di lokap malam ini.

11.00 malam : Soal-siasat masih diteruskan.

11.45 malam : Soal-siasat tamat. 4 mahasiswa ditahan di Balai Polis Dang Wangi dibebaskan setelah mengisi borang jaminan. Mereka disambut oleh beberapa mahasiswa dan penyokong.

12.05 malam : Kesemua aktivis mahasiswa pulang. Esok sekitar jam 9.00 pagi kami akan ke IPD Sentul untuk mengetahui status lanjut 3 rakan lagi yang ditahan.

Sabtu, 19 Julai 2009:

9.03 pagi : Saya tiba di IPD Sentul. Saya membuat keputusan untuk bertemu dengan pegawai penyiasat bagi 3 mahasiswa yang ditahan. Saya berjaya menemui Inspektor Sharizan, IO mereka. Beliau menyatakan, mereka akan dibawa ke mahkamah untuk diambil perintah reman. Saya menghubungi peguam mereka.

9.15 pagi : Beberapa rakan sudah mula hadir. Saya mendapat maklumat lagi yang mereka akan dibawa ke mahkamah sekitar jam 11 pagi.

10.00 pagi : Jin Cheng tiba. Di dalam IPD saya melihat kelibat 3 rakan yang ditahan digari dan dibawa ke suatu tempat. Saya mengangkat tangan, dibalas oleh mereka tanda respon.

10.45 pagi : Pegawai media mulai hadir. Saya, Hilman dan Jin Cheng serta wakil GAMIS bersedia untuk sidang media. Sejurus itu, trak polis yang membawa mereka muncul dan keluar melalui pintu hadapan Balai. Saya nampak mereka. Lalu kami melaung 'Student Power!' dan 'Bebas Mahasiswa!'. Disambut dengan lambaian mereka.

11.00 pagi : Sidang media berjalan seperti biasa.

11.25 pagi : Di mahakamah Jalan Duta, saya mendapat makluman dari rakan di sana bahawa peguam sudah tiba. Berlaku perbincangan antara peguam dan pihak polis. Akhirnya pihak polis mengaku bahawa penahanan mereka bertiga adalah satu kesilapan. Kami mencari Inspektor Sharizan untuk mendapat tahu status lanjut. Namun beliau menghilangkan diri. Timbalan Supritenden berjanji untuk membebaskan mereka sebelum jam 3 petang hari ini.

1.00 petang : 3 mahasiswa yang ditahan di Sentul dibebaskan dengan jaminan. Mereka lantas membuat laporan polis berikutan salah laku polis ketika tahanan. Sekitar jam 3 petang mereka dan penyokong, pulang.

Setelah ditahan sehari, kesemua mahasiswa yang ditahan dibebaskan. Terima kasih buat seluruh pejuang kebenaran dan sokongan. Bukti perjuangan tidak pernah mati.

Hidup Perjuangan!


No comments: