Tuesday, February 23, 2010

Universiti Kartun Malaya (UM)

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Tanggal Khamis (23 hb Feb) depan secara rasmi watikah perlantikan bagi kepimpinan baru MPMUM yang telah menang baru-baru ini. Secara peribadi, saya ucapkan syabas kepada yang telah berjaya memenangi hati rakyat UM.

Pun begitu, saya ingatkan amanah serta tanggungjawab di hadapan sangat besar. Bukan sekadar berjanji dalam manifesto yang lantang dilaungkan tatkala berkempen, hari ini, semua itu perlu ditunaikan.

Melalui blog sahabat saya, saudara Hafiz (yang juga menang kerusi umum), kabinet secara tidak rasminya telah dilantik melalui mesyuarat pada minggu lepas antara wakil-wakil yang menang. Apabila meneliti senarai tersebut, saya ketawa sendiri. Apa yang saya boleh sebutkan adalah sebuah 'Kabinet Kartun'.

Calon umum, calon fakulti

Bukan sengaja saya nak labelkan seumpama itu. Ia bersebab.

Ketepikan soal menang majoriti. Jika itulah tajuk perbincangannya, maka Penggerak Mahasiswa layak dengan jawatan-jawatan tersebut. Malah mereka boleh buat apa sahaja lebih dari itu.

Saya hairan. bagaimana begitu ramai calon-calon daripada fakulti yang menangnya jumlah undi antara seratus ke tiga ratus diangkat ke jawatan Majlis Tertinggi (MT). Manakala yang menjadi Yang Di-Pertua (YDP) Khairul Anwar, adalah calon umum yang menang undian terendah.

Secara tradisinya, calon yang mengisi jawatan MT adalah daripada calon-calon yang memenangi kerusi umum, kerana mereka ini diundi oleh keseluruhan mahasiswa. Seluruh fakulti mengundi calon umum. Walaupun tiada secara bertulis, mahupun perlembagaan MPM yang menyatakan calon umum mesti dipilih ke MT.

Namun, secara logiknya untuk apa dibuat pemilihan calon umum itu? Jawabnya, supaya semua mahasiswa tahu, dan calon tersebut dapat membawa suara keseluruhan mahasiswa yang memilihnya lebih tinggi. Ini berbeza dengan calon fakulti, mereka berjuang untuk kebajikan mahasiswa fakultinya dan isu disekitar fakultinya sahaja. Kebiasaan calon umum membawa agenda lebih besar, misalnya mengurangkan yuran pengajian dan sebagainya.

Tetapi, amat malang untuk sesi kali ini, calon-calon umum semuanya diletakkan sebagai ajk dibawah biro-biro. Sekurang-kurangnya, bagi membawa hasrat keseluruhan mahasiswa UM itu, berilah jawatan ketua biro. Ini tidak.

Sesi kepimpinan Aspirasi 2007/08 sebelum ini, seingat saya YDP nya saudara Affandy Sutrisno Tanjung. Ketika itu dua calon umum dari Pro-M menang undian kedua tertinggi. Saudara Shahir Aziz dan Hasbie diletakkan di jawatan timbalan setiausaha dan timbalan bendahari, jawatan MT.

Ketika sesi kepimpinan Pro-M menerajui MPMUM yang lepas, tidaklah seteruk yang disangka. Saudara Benjamin dipilih sebagai Bendahari. Kokilavani Sanmungan dilantik timbalan bendahari walaupun dia daripada Fakulti Bahasa, kedua-dua mereka daripada Penggerak Mahasiswa. Tidak ada masalah bagi Pro-M melantik mereka.

Entah macamana, saya tidak tahu atas dasar apa pertimbangan mereka melantik. Saya rasa, dendam mereka masih lagi belum padam untuk merampas MPMUM daripada Pro-M dan mahasiswa.

Permulaan kartun

Tetapi asasnya, saya boleh sebutkan ia datang dari sistem pilihan raya kampus yang tidak adil dan penuh dengan penyelewengan. Ditambah lagi dengan penggunaan sistem yang berisiko, e-voting, memudahkan lagi misi untuk melenyapkan demokrasi di kampus UM.

Bermula dengan sistem kartun, diterajui dan dikuasai oleh puak-puak kartun HEP dan akhirnya melahirkan pemimpin mahasiswa yang menduduki kabinet kartun. Cukup sempurna sebuah 'Kampus Kartun' di UM.

Saya tidak tahu bagaimana masa depan UM jika ditadbir oleh gerombolan kartun-kartun ini. Tetapi yang pastinya, rakan-rakan saya yang menang dalam PRK lepas tidak duduk diam. Kata saudara Fadzil, mereka mahu menjadi pembangkang yang berkesan. Bukan kepada Penggerak Mahasiswa semata-mata, malah pentadbir kartun HEP juga.