Sunday, September 11, 2011

Analisis: Pandangan umum terhadap Konsep Asas Negara Berkebajikan PAS


oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Pandangan ini bukanlah mengkritik atau memperbetulkan mengenai konsep asas Negara Berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS di dalam bukunya 'Konsep Asas Negara Berkebajikan' tulisan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Bin Awang, namun satu komentar berkenaan pandangan awam yang lahir daripada pengamatan rakyat biasa.

Dokumen setebal 86 halaman dengan dibahagikan kepada 7 bahagian tersebut mengambil semangat ucapan Presiden PAS iaitu: "PAS menerima hakikat masyarakat majmuk dan menjadikannya peluang keemasan bagi memperkenalkan Negara Berkebajikan yang berkonsepkan Adil Untuk Semua, dengan Kepimpinan Islam yang menekankan perpaduan kaum berasaskan persaudaraan kemanusiaan yang diwajibkan oleh Islam.." (Rujukan: Buku Konsep Asas Negara Berkebajikan)

Asas Transformasi Negara Islam kepada Negara Berkebajikan

Asas yang menjadi perkara penting kepada PAS adalah menerang, memperjelas dan memahamkan masyarakat dan rakyat berkenaan bagaimana dasar Negara Islam yang diperjuangkan sejak puluhan tahun dahulu berubah menjadi konsep Negara Berkebajikan. Perlu diingatkan bahawa apabila PAS mempromosikan dasar tersebut, maka ia dinilai bukan sekadar daripada parti lawannya sahaja (UMNO-BN), bahkan seluruh rakyat Malaysia. Dan rata-rata yang menelitinya adalah generasi baru yang kritikal dan berfikiran luas serta terbuka.

Asas perubahan ini perlu dirujuk kembali kepada konsep fleksibeliti (keboleh-ubahan dan kelenturan) hukum serta syariat Islam terhadap perkara-perkara semasa. Dr Yusuf Al-Qaradhawi di dalam bukunya bertajuk: 'Keunggulan Hukum Islam Menangani Cabaran Zaman' membawa kaedah fiqh: "Berubahnya sesuatu hukum (syariat Islam) kerana berubahnya masa, tempat dan keadaan (semasa)."

Itu dalam persoalan hukum fiqh - yang memerlukan perubahan-perubahan hukum - apabila timbulnya pelbagai masalah-masalah baru semasa yang kompleks dan rumit. Malah lebih-lebih lagi dalam persoalan politik yang sangat memerlukan para pemimpin parti dan gerakan Islam mengemukakan sesuatu yang baru, segar dan boleh diterima masyarakat agar perjuangan dan dasar parti itu diterima baik dan murni oleh lapisan masyarakat.

Justeru, tidak syak transformasi yang dilakukan PAS menepati kehendak Islam agar Islam itu diterima masyarakat dengan kefahaman dan kejelasan, bukan atas dasar sokongan politik semata-mata. Selain itu, perubahan itu (Negara Islam kepada Negara Berkebajikan) perlu diperjelaskan lagi bahawa ia bukanlah satu transformasi yang mengubah dasar dan kehendak Negara Islam, bahkan sebenarnya ia adalah proses merealisasikan Negara Islam tersebut.

Negara Berkebajikan adalah terjemahan Negara Islam

Apabila meneliti konsep-konsep asas bagi sebuah Negara Islam, maka ia boleh disimpulkan secara berikut: "Negara yang didiami oleh umat Islam (seluruh atau sebahagiannya), dan dilaksanakan dalamnya hukum-hakam (syariat) Islam." (Ibnu Qayyim di dalam bukunya Ahkam Ahli Az-Zimmah).

Terjemahan kepada perlaksanaan hukum-hakam Islam itu tidaklah semata-mata kepada perlaksanaan hukuman Hudud - memotong tangan bagi pencuri dan sebagainya - bahkan ia lebih luas daripada itu. Apabila meneliti objektif - atau popular disebut maqasid syariah - di dalam perlaksanaan hukum Islam, maka kita mendapati bahawa tujuan perlaksanaan hukum Islam pasti akan menghasilkan - kepada seluruh manusia: 1) Mengambil segala kebaikan (Jalb al-Masalih), 2) Menolak segala keburukan (Dar al-Mafasid), 3) Menegakkan persamaan/hak asasi (al-Musawaat). (Rujukan: Ibnu 'Asyar dalam bukunya Maqasid As-Syariah al-Islamiyyah).

Di samping itu, manfaat hukum Islam itu akan dirasai bersama kepada seluruh manusia - termasuk Islam dan bukan Islam serta hidupan lain - kerana Islam itu adalah rahmatan lil 'aalamin - rahmat kepada seluruh alam.

Daripada inilah lahirnya konsep kebajikan. Takrif kebajikan tersangat luas merangkumi semua perkara. Kata Dr Yusuf Al-Qaradhawi: "Kebajikan itu termasuk apa sahaja yang menyerukan kepada kebaikan seperti kebajikan (perbuatan baik), kasih-sayang, sedekah, melapangkan kesulitan, menolong orang yang teraniaya, dan sebagainya." Dari konsep inilah kita dapat melihat bahawa di dalam Negara Islam itu tertegaknya Negara Kebajikan sebagaimana yang dibawa PAS.

Mengambil 3 asas di atas iaitu mengambil kebaikan, menolak keburukan dan menegakkan persamaan, kita dapat melihat banyak contoh di dalam merealisasikannya, dan inilah yang sewajarnya diperjelaskan oleh PAS dengan lebih proaktif dan berkesan.

1) Mengambil Kebaikan

Antara yang boleh diperjelaskan oleh PAS di dalam konsep mengambil kebaikan adalah dengan mengemukakan segala manifesto yang memberi kebaikan kepada seluruh rakyat. Antaranya adalah dengan membentangkan belanjawan alternatif di dalam aspek ekonomi serta mengemukakan alternatif-alternatif kepada permasalahan ekonomi, undang-undang, pendidikan dan sebagainya yang melanda negara dan masyarakat yang gagal dilakukan oleh UMNO-BN.

Di samping itu juga, dalam konsep ini, PAS juga boleh mengekalkan apa sahaja dasar serta tindakan yang baik daripada usaha kerajaan sekarang tanpa perlu membuat perubahan secara drastik yang akan memeningkan rakyat. PAS juga perlu mengambil peluang daripada sistem yang sudah sedia ada, misalnya bagaimana PAS boleh bergerak dengan lebih berkesan di dalam kerangka perlembagaan.

2) Menolak Keburukan

Menolak keburukan beerti menolak segala dasar yang tidak memberi manfaat kepada masyarakat. Misalnya dasar ekonomi yang memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda kepada syarikat-syarikat besar, serta memiskinkan lagi rakyat yang sudah sedia miskin. Menolak juga segala unsur-unsur yang membawa kepada penyelewengan seperti rasuah dan salah guna kuasa di samping akta-akat serta undang-undang yang bersifat 'mendera' rakyat.

3) Menegakkan persamaan/keadilan/hak asasi

Asas ketiga inilah yang menjadi kayu ukur yang sebenar kepada sebuah Negara Berkebajikan. Penegakkan keadilan adalah merentasi parti politik, bangsa dan agama. Dalam hal ini, kerajaan UMNO-BN sedia ada telah gagal menjadi sebuah kerajaan yang adil dan berhemah. Dalam banyak perkara lebih mementingkan keuntungan golongan atasan berbanding rintihan dan kepayahan rakyat bawahan.

Begitu juga dalam aspek sistem perundangan. Berapa banyak rakyat yang telah dinafikan hak mereka untuk mendapat keadilan undang-undang. PAS juga perlu bersedia mengemukakan alternatif kepada sistem perundangan terutamanya di dalam kehakiman dan perlaksanaannya agar institusi ini kembali bersih dan berkredibiliti.


Model Negara Berkebajikan

Walaupun di dalam buku Konsep Asas Negara Berkebajikan ada mengemukakan contoh terbaik Negara Berkebajikan perlu diambil daripada Negara Madinah serta zaman khulafa' ar-Rasyidin (Khalifah Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali r.a) (Rujuk buku tersebut di m/s: 56&64), namun PAS perlu mengemukakan model yang realistik dan tepat dengan keadaan serta sistem negara di Malaysia. Atas sebab inilah PAS telah memulakan langkah yang baik di dalam Muktamar ke-57 dahulu dengan memilih kepimpinan yang sesuai dengan zaman dan manifesto itu (Negara Berkebajikan).

Buku Konsep Asas Negara Berkebajikan wajar diteliti, dikaji dan diperbahaskan agar isi dan aspek yang dibentangkan tepat dengan keadaan masyarakat kini. Antara lainnya, PAS perlu mengambil pandangan umum daripada pelbagai lapisan masyarakat antaranya generasi muda, pakar perlembagaan, pakar ekonomi, disamping pemimpin politik yang berpengalaman di dalam negara ini, agar persembahan dasar perjuangan PAS diterima semua lapisan masyarakat.

Tulisan ini tersiar di laman portal MerdekaReview.com.

7 comments:

pijahafizah said...

tapi macam agak kurang menyenangkan pabila konsep negara berkebajikan di bezakan dengan Negara Kebajikan "Welfare State" ...hanya di bezakan dengan imbuhan "ber" , dan memeRlukan peneRangan yang terperinci untuk membezakannya..bg saya, konsep ini masih tak kukuh dan masih belum berpijak di bumi nyata.

Aizat Salleh said...

Aizat - Ana Hafizah

Salam.

Secara umum dalam buku Konsep Asas Negara Berkebajikan yg ditulis TGHH memang masih teori dan memerlukan perincian yg lebih teliti.

Antaranya, tidak disebutkan bagaimana negara berkebajikan hendak dilaksanakan dalam kerangka perlembagaan dan undang-undang sedia ada.

Sebab itu rakyat masih tak tahu apa isi yg PAS nak bawa sebenarnya. Walauapapun perbincangan lanjut memang diperlukan terutama melibatkan pakar-pakar dalam setiap bidang.

Mohd Aizat

pijahafizah said...

kalau begitu, hanya sekadar penerangan secara umum tidak perlulah naskhah itu di jual dengan harga RM10,

mengapa tidak saja di buat dalam bentuk PDF yang boleh download secara percuma, kerana belum lagi penerangan secara dasar, dan buat apa sekiranya, buku itu sendiri tidak menceritakan Visi PAS yang sebenar, ini makin megelirukan.

Aizat Salleh said...

Ana - Hafizah

Salam.

Lupakan berkenaan harganya. Yang penting isinya.

Ya, benar kata Hafizah. Buku tersebut ada kekurangan, sebab itu pd akhir pandangan saya katakan perlu dibincang dan diperhalusi bersama pakar-pakar. Saya tidak tahu kesediaan PAS dalam melaksanakan ini.

Mohd Aizat

pijahafizah said...

Maaf , ada satu lagi pertanyaan,apa relevan wujudnya buku ini, sedangkan buku jingga pakatan telah di perekenalkan, dan lebih praktikal saya kira. bagaimana ya?

Aizat Salleh said...

Aizat - Ana Hafizah

Jawapan saya adalah hanya satu tindakan politik PAS, kerana sokongan PAS sekarang ramai dari bukan Melayu. Dan boleh juga dikatakan ingin menarik sokongan Melayu.

Saya pun tak tahu kerelevenannya. Cuma penerangan konsep saja. Dan menambahkan bilangan terbitan buku di pasaran.. =)

Mohd Aizat

ABU KHUZAIFAH BIN EMBONG said...

Saya kira penjelasan kanpa "Ber" di gunakan telah di jelaskan didalam buku tersebut. merujuk buku tersebut ia untuk membezakan prinsip negara kebajikan yang hanya kerajaan memberi, tapi negara berkebajikan memerlukan dua-dua pihak saling memberi an disokong oleh sistem yang di bentuk oleh kerajaan.

Persoalan kenapa perlunya buku ini sedangkan sudah adanya buku jingga yang lebih pratikal. Sefahaman saya, apabila membaca buku ini, adalah bertujuan untuk menampung kekrungan yang terdapat dalm buku jingga, Dimana dalam buku jingga penekanan hubungan dengan Tuhan di lihat tidak di tekankan, sebab itu pas menerbit buku ini bagi menampung kekrungan tersebut.

harus diingat buku ini merupakan menjelaskan konsep asas negara kebajikan, jadi perincian tidak dijelaskan, Saya kira PAs dalam membawa tema negara bekerbajikan mempunyai peringkat2 tertentu. Pada tahun 2008 negara kebajikan telah di lontarkan oleh PAS sendiri, namun dari sudut membumikan tidak berapa jelas. jadi dalam konteks sekarang PAs melaksanakan beberapa peringkat dalam menawarkan negara berkebajikan ini, Jika kita lihat sebelum ia di umumkan di muktamar, pas telah mengambil pendekatan yang bijak dengan mengadakan seminat maqasid shariat, agar di peringkat pimpinan PAS memahami dan menerima bila PAs mengumumkan agenda negara berkebajikan. Selepas mengumumkan negara bekerbajikan ini, PAs terus menerbitkan buku konsep asas negara bekerbajikan. kemudian sayadi fahamkan ia kaan di terjemahkan didalam manifesto yang akan pas tawarkan bersama pakatan rakyat. Jika kita lihat belanjawan yang di bentang oleh PR baru-baru ini, bukan sekadar menjelaskan agenda kebajikan namun di letakkan hubungan dengan Allah.

Secara umumnya saya melihat konsep negara berkebajikan menunjukkan bahawa PAS tidak pernah mengesampingkan prinsip asasnya berdasarkan al-Quran dan Sunnah, jika di dalam buku jingga roh hubungan dengan Allah di lihat tidak ada, mungkin denga keluarnya buku negara berkerbajikan menampung kekruangan tersebut..