Wednesday, September 14, 2011

Hari Malaysia: Sejarah, Merdeka dan harapan Generasi Muda


oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Sejarah jika merujuk kepada portal wikipedia bermaksud: “Ilmu yang diperolehi melalui kaedah penyiasatan. Juga membawa erti penemuan, pengumpulan, pengurusan, dan persembahan maklumat terhadap peristiwa silam atau lampau. Ia juga bermaksud tempoh masa yang lalu selepas catatan penulisan telah dicipta.” (Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah).

Merdeka pula didalam Bahasa Inggeris diertikan sebagai: Independent (bebas) atau freedom (kebebasan). Di dalam aspek pemerintahan, kemerdekaan dimaksudkan sebagai, ‘Pemerintahan sendiri oleh penduduk sebuah negara yang secara amnya menuntut kedaulatan.’ (Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Kemerdekaan).

Manakala Dr Abdullah Nasih ‘Ulwan, tokoh gerakan Islam timur tengah pula mentakrifkan generasi muda sebagai: ‘Satu kelompok atau generasi yang memiliki semangat yang tinggi, bersifat perubah, tidak mempunyai kepentingan kerana asas tertegaknya jiwa mereka adalah daripada sifat hatinya yang tulen dan kemahuan yang membara yang dipengaruhi oleh asas Aqidah yang benar (Islam).’ (Sumber: Abdullah Nasih Ulwan, Hingga Dimengerti Generasi Muda).

Persepsi ‘Kaum Tua’

Banyak generasi lama, atau ‘Kaum Tua’ sering prejudis kepada generasi muda di dalam aspek sejarah dan kemerdekaan. Kata mereka generasi muda hari ini – yang lahir pasca kemerdekaan – adalah satu golongan yang ‘nipis’ semangat merdekanya. Tidak kurang yang berkata mereka – generasi muda – tidak pandai menghargai kemerdekaan - kerana memperlihatkan tingkah berbeza – selain tidak tahu bersyukur dan tidak mengenang jasa-jasa pejuang kemerdekaan dahulu.

Generasi muda, jika diteliti yang umurnya 35 tahun kebawah, sememangnya kelompok yang tidak melalui secara langsung sejarah dan keperitan perjuangan merdeka. Lahir sekitar 1970-an di waktu negara sudah pun merdeka dan bibit-bibit kemajuan negara sedang rancak tumbuh. Ya! Kita – generasi muda - mengakuinya. Kita tidak pernah merasai ‘air sabun’ dari tentera Jepun, mahupun makan tengahari ubi kayu, apatah lagi suasana darurat ketika penjajahan British.

Namun, apakah itu menjadi satu-satunya ‘tanda aras’ kepada kita – generasi muda – dinafikan keberadaan di dalam sejarah mahupun erti sebuah kemerdekaan di tanah air kita, seterusnya diberikan persepsi sedemikan rupa?

Sejarah dan merdeka: Kacamata generasi muda

Dengan bersumberkan maklumat wikipedia internet, kajian-kajian ilmiah, buku-buku ilmiah serta sumber penceritaan yang tidak terhad dan bebas, inilah yang menjadi asas generasi muda menilai sejarah. Lebih-lebih lagi dengan menggunakan medium media internet yang fakta dan maklumat yang tidak terbatas, generasi muda bebas dan mudah mendapatkan sumber-sumber sejarah tanpa sekatan dan pelbagai versi.

Dari situ, kita – generasi muda – yang sifatnya kritikal dalam menyeduk maklumat, pasti meletakkan asas persoalan, mengapa sejarah itu terjadi? Bagaimana ia boleh berlaku? Siapakah tokoh pejuang yang menyertai peristiwa itu? Bila dan di mana ia terjadi? Dan dengan jawapan-jawapan yang terhasil, generasi muda akan mengambil semangat perjuangan itu untuk dinilai apakah ia berlaku pada zaman ini – zaman di mana mereka berada – di tanah air tercinta.

Misalnya, kita mengambil sejarah perjuangan kemerdekaan. Kita mendapati banyak gerakan dan tokoh yang terlibat membebaskan tanah air daripada penjajahan seperti PKMM, PKM, UMNO, API, AWAS dan sebagainya. Asasnya apa? Membebaskan tanah air dari dijajah. Lalu semua tokoh yang terlibat wajarlah diberi pengiktirafan pejuang kemerdekaan.

Contohnya lagi adalah kewujudan FELDA, yang diasaskan pada 1 Julai 1956. Tun Abdul Razak sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar telah membawa membawa semangat penubuhannya adalah untuk menangani penempatan semula penduduk luar bandar yang miskin ke kawasan-kawasan yang baru dibangun agar meningkatkan taraf ekonomi mereka. Disamping itu, penubuhan Dasar Ekonomi Baru (DEB) ketikanya menjadi Perdana Menteri yang bermatlamatkan membasmi jurang kemiskinan, menyusun semula masyarakat serta memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi berasaskan kaum.

Masa hadapan

Meneliti dan menelusuri sejarah dan perkembangan contoh yang disebutkan, bagi generasi muda – yang lahir pasca peristiwa-peristiwa penting negara tersebut – akan melihat sejauh mana semangat, perjuangan dan dasar tersebut pada hari ini – di zaman yang mereka berpijak – terlaksana dan terus cemerlang memperbaiki dan memajukan negara dan rakyatnya.

Pada hakikat, apa yang terjadi adalah sebaliknya. Sejarah telah dikaburkan apabila tokoh-tokoh yang sewajar diiktiraf di dalam arena perjuangan, digelapkan dan disembunyikan. Peristiwa penting yang menjadi landasan terbinanya negara ini ada yang disorok ada pula yang didedahkan – mengikut kepentingan politik masing-masing.

Generasi muda bertanya, apakah semangat-semangat perjuangan dan dasar-dasar yang diwujudkan oleh ‘pejuang-pejuang merdeka’ atau mereka yang mengangkat mereka pejuang merdeka, sehingga hari ini telah diletakkan pada kedudukannya? Dasar Ekonomi Baru (DEB) misalnya, tujuan asalnya adalah untuk mengangkat ekonomi dan membasmi kemiskinan orang-orang Melayu, namun yang terjadi adalah yang kaya adalah golongan yang sama, yang miskin tetap orang Melayu.

Harapan generasi muda

Lalu dengan takrifan apa maksud merdeka itu sebenarnya – bagi generasi muda – dalam menilai semua perkara-perkara ini? Andainya ia dieertikan sebagai jiwa dan fizikal yang merdeka, maka andaian tersebut masih lagi belum realiti di dalam keadaan dan situasi dalam negara kita hari ini. Merdeka sebenar bagi generasi muda – yang tidak melalui zaman penjajahan – adalah mereka bebas berada di tanah air mereka dalam erti kata dasar-dasar dan perjuangan – yang diperjuangkan dahulu – kekal semangatnya sehingga kini, walaupun pemimpin, parti dan kerajaannya berubah.

Pemimpin datang dan pergi – dan ia tidak menjadi ukuran – bagi generasi muda. Apa yang penting, dasar yang baik – dengan mengambil kepentingan seluruh suara rakyat, bukan kepentingan parti dan golongan atasan semata-mata – dan dengan dasar itu, ia mewujudkan hubungan antara kaum yang murni dan selesa – walau tanpa slogan yang begitu idealistik. Soalnya ialah generasi muda melihat dan merasai, tidak sekadar mendengar teori yang sering berubah-ubah menjelang pilihan raya.

5 comments:

pijahafizah said...

salam, asif, satu persoalan,
bagaimana kaum muda, mahu capai satu persepakatan tanpa satu platform? harap faham dgn soalan ana.syukran

pijahafizah said...

asif, 1 lagi soalan,
kenapa ustz gunakan Wikipedia sbg sumber rujukan? dan di jadikan fakta di situ, sedangkan kita smua tahu Wikipedia hanyalah himpunan2 "assumption" yang di dtangi daRi sumber yg tak di ketahui, harap dapat jelaskan.

Aizat Salleh said...

Wsalam, Ana Hafizah.

1.Soalan yg pertama kurang jelas. Persepakatan adalah pada fikrah atau pemikiran, tidak hanya platform. Platform penting utk menguruskan persepakatan itu.

2.Maksud menggunakan wikipedia bukannya pada keabsahan maklumat. Tapi maksud ana ialah generasi muda sekarang dlm mendapatkan maklumat sangat cepat dan platform yg paling cepat dlm sumber mklumat adalah wikipedia. Tetapi itu bukan bermaksud generasi muda bulat3 menerima wikipedia itu, mereka juga merujuk sumber2 lain spt bahan ilmiah, buku2 dsb.

Dalam artikel di atas menceritakan tabiat generasi muda, dan sikap kaum tua yg prejudis kpd kaum muda dlm erti kemerdekaan. Bukan menjelaskan keabsahan erti merdeka dsb.

Terima kasih atas kritikan

Mohd Aizat

Unknown said...

salam. saya pelajar sekolah menengah ingin minta kebenaran untuk mengambil artikel ini sebagai bahan bantu forum. mohon dipertimbangkan.

Rasyidah said...

ASSALAMUALAIKUM.
BOLEYH X TLONG BG HURAIAN TENTANG HARAPAN BERKAITAN DGN PATRIOTISME utk budak skola menengah?
ayt abg begitu bombastik ...NK WAT SEJARAH NI.