Saturday, November 20, 2010

Alahai artis-artis kita..


oleh : Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Saya kadang-kadang pelik kerana rakyat Malaysia sangat mengagungkan dunia hiburan dan kesenian. Artis-artis juga diibaratkan sebagai ikon remaja dan trend hari ini.

Di surat khabar arus perdana misalnya, paparan berkenaan artis dan hiburan begitu banyak.

Namun, hari ini, jika kita menyorot dengan teliti dan insaf, ramai artis di Malaysia tidak layak menjadi ikon masyarakat. Walau bagaimana pun, apa yang boleh dibuat kerana artis sangat sinonim dengan media.

Sesekali rasa ingin 'termuntah' apabila seluruh kehidupan seorang artis itu diceritakan dan dipaparkan secara terperinci di dada akhbar.

Hatta, jika tak keterlaluan dikatakan bahawa jenis 'seluar dalam' pun hendak dikisahkan di media.

Terfikir juga apabila media massa membuat liputan secara besar-besaran kisah artis yang berkahwin. Acaranya begitu gilang-gemilang, lebih mudah disebut sebagai wedding of the year. Namun, dua minggu selepas itu, bercerai.

Tidak sedikit serasa saya kes-kes moral buruk yang telah berlaku kepada artis. Antaranya boleh disebutkan adalah terlibat dengan dadah, khalwat dan penceraian.

Pada 12 Jun 2010, pelawak dan pelakon terkenal sitkom senario, Saiful Apek atau nama sebenar Saifulizam Yusoff ditahan kerana memiliki 40 gram ganja. Dia ditahan dirumahnya pada jam 10 malam. Kes beliau disiasat dibawah Seksyen 39A (1), Seksyen 6, dan 15(1), Akta Dadah Merbahaya.

Yassin Yahya, juga anggota kumpulan Senario juga pernah ditahan di pusat hiburan Sunway Pyramid kerana didapati positif dadah. Beliau direman selama 3 hari dan didakwa di bawah Seksyen 15(1) Akta dadah Merbahaya.

Selain dari itu, pelakon drama terkenal Benjy atau nama sebenarnya Khyrill Benjamin Ibrahim ditahan pada 11 Mac 2010 di tempat letak kereta di rumahnya. Beliau ditahan kerana disyaki terlibat dengan dadah. Sehingga hari ini kesnya masih dibicarakan.

Seorang artis perempuan yang terkenal membintangi filem Pontianak Harum Sundal Malam (PHSM), Zarina Ann Julie telah ditahan di LCCT dan mengaku telah mengambil dadah jenis 'ketamin'.

Penyanyi Jamal Abdillah, yang terkenal dengan lagu 'Siapa bilang gadis Melayu tak menawan' telah ditahan di sebuah rumah rehat di Teluk Intan oleh pihak polis apabila disyaki memiliki dadah jenis 'syabu'. Beliau didakwa dibawah Akta dadah Merbahaya.

Tidak kurang juga yang terlibat dengan masalah moral dan akhlak serta rumah tangga.

Ako Mustapha, seorang dramatis serta pelakon telefilem cerekarama TV3, ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah rumah di Bukit Antarabangsa Hulu Kelang.

Artis 'Gerak Khas', Norman Hakim yang menjadi model kehebatan polis kepada masyarakat gagal menjadi model sebenar apabila ditangkap berkhalwat di Ukay Perdana dengan pasangannya juga seorang pelakon Memey Suhaiza. Lebih memalukan apabila beliau sudah berumah tangga dengan Abby Abadi yang juga seorang pelakon terkenal.

Pengacara program 'Bang bang Boom' Ahmad Azahari Mohd Ali ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Selangor pada 7 Oktober 2010 kerana disyaki berkhalwat dan berdua-duaan dengan wanita yang juga masih isteri orang.

Kisah bercerai-berai dalam rumah tangga juga dilakonkan oleh artis-artis kita di luar selepas melakonkan watak itu di dalam filem mahupun drama yang dibintanginya.

Pelakon jelita sitkom 'Puteri', Nora Danish bercerai dengan suaminya Rizal Asyram atas alasan sudah tidak serasi dan membawa haluan masing-masing. Lebih memalukan apabila lafaz cerai mereka dilakukan melalui panggilan telefon.

Pada 26 April 2006, pelakon terkenal Yusri KRU bersama isterinya Erra Fazira sah melafazkan cerai di mahkamah. Kedua-dua pelakon ini juga tatkala majlis perkahwinan mereka telah disiarkan secara meluas dan gemilang oleh media.

Ac Mizal telah menyaman isterinya Shafnie Zainuddin selepas menceraikannya serta masih lagi di dalam perebutan di dalam tanggungjawab memberi nafkah dan hak penjagaan anak.

Apa lagi sebenarnya yang kita mahukan daripada artis-artis ini untuk menjadi role-model kepada masyarakat? Seperkara lagi, media begitu pantas memainkan peranan. Kadang-kadang imej buruk artis-artis ini cepat dipadamkan oleh mereka.

Hiburan serta artis alternatif perlu berusaha lebih kuat dan gigih untuk menaikkan imej mereka di mata masyarakat agar dapat menenggelamkan artis-artis yang tidak bermoral ini.

Saturday, November 6, 2010

Sketsa Tepi : Sepagi di HKL


Oleh : Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Kisah yang terjadi pada suatu pagi ini tiada langsung kena-mengena dengan sesiapa sahaja, sama ada yang masih hidup mahupun yang telah mati. Ia cuma sembang yang terjadi di subuah Hospital bertaraf Kerajaan.

Suatu pagi di ruang menunggu di Hospital Kuala Lumpur (HKL)

Pesakit 1 : Menunggu ubat ke?

Pesakit 2 : Tak, nak buat appoinment dengan doktor pakar.

Pesakit 1 : Oh ya ke.. sakit apa ya encik?

Pesakit 2 : Kanser.. Baru ni check di klinik, tak jangka kena bila doktor check, dia terus refer ke sini.

Pesakit 1 : Dah lama ke kenanya?

Pesakit 2 : Ntahlah..rasanya baru je ni.

Pesakit 1 : Oh..ok..ok.

Kedua-dua pesakit menunggu dipanggil jururawat.

Pesakit 1 : Hm..dengar berita PM kita masuk HKL juga..

Pesakit 2 : Yelah..saya pun ada baca juga berita.. Sakit demam cacar ke apanya..

Pesakit 1 : Ya, dia demam.. Tapi pelik ya, kenapa masuk HKL..

Pesakit 2 : Apa yang peliknya, biasalah tu.

Pesakit 1 : Tak adalah, biasa orang-orang besar ni tak main hospital-hospital kerajaan ni. Biasanya hospital macam Ampang Puteri ke, Gleneagles ke..

Sejurus kemudian, pesakit 2 dipanggil jururawat dan lima minit kemudian, dia keluar. Kelihatan mukanya agak masam.

Pesakit 1 : Dapat jumpa doktor? Bila appoinmentnya encik?

Pesakit 2 : Huh... Bila hospital kerajaan, macam nilah.. Ada ke dapat jumpa doktor lagi tiga bulan? Mati dululah saya ni sakit kanser..!

Pesakit 1 : .... (Diam tak terkata)

Pesakit 2 : Saya rasa kalaulah PM sakit, taklah kena macam ni..

Pesanan penaja : Kepada seluruh rakyat marhaen, jangan percaya dengan apa jua tindakan orang politik, meskipun yang melibatkan hal-hal kemanusiaan..

Sekadar berkongsi..ada komen?

Galas : Kajian Ilham Centre tepat

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Terima kasih kepada seluruh jentera yang terlibat di dalam PRK Galas dan Batu Sapi baru-baru ini.

Ternyata kajian yang dilakukan oleh firma penyelidikan bebas Ilham Centre sehari sebelum mengundi tepat.
Apa yang lebih penting, kajian tersebut adalah bagi menilai tahap sokongan pengundi terhadap PAS. Namun, PAS tidak menggunakannya. Yang mengambil tindakan terhadap kajian tersebut adalah BN.


Sebab itu mereka boleh menang.

Signal awal telah pun diberitahu kepada PAS bahawa 22 peratus pengundi bakal mengundi BN manakala hanya 15.6 peratus sahaja yang akan mengundi PAS. Manakala selebihnya sebanyak 54.1 peratus belum menyatakan sokongan mana-mana parti.

Sepatutnya dengan situasi ini, isu memainkan peranan paling besar dalam memenangi hati rakyat Galas.

Namun, apa yang dilihat, BN terlebih dahulu menguasai isu termasuklah isu penyerahan zakat kepada orang Asli yang didakwa wang rasuah disamping isu tanah dan sebagainya.

PAS masih lagi 'sederhana' mungkin kerana berhadapan dengan Ku Li.

Dalam kebanyakan pilihan raya kecil, kajian Ilham Centre adalah paling tepat. Misalnya dalam ORK Hulu Selangor lepas, keputusan bahawa PKR kalah telah didapati dalam kajiannya. Namun, mungkin hasil itu digunakan oleh BN juga.

Sebab itu BN boleh menang.

Kajian daripada Iham Centre adalah kajian yang realistik kerana penyelidik pergi langsung kepada golongan sasaran, menurut pengarahnya Hisomuddin Bakar.

Thursday, October 28, 2010

Suatu hari di Kampung Baru

oleh : Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Satu hari di hujung minggu, saya dan seorang sahabat bernama Rusydi ke Kampung Baru untuk ke Pejabat Baitul Mal MAIWP atas urusan kajian universiti.

Petangnya, kami merancang untuk solat Asar di Masjid Jamek Kampung Baru.

"Jaga-jaga kasut, kat sini banyak pencuri, letak di tempat sembunyi sedikit" pesan saya pada dia.

Memang di masjid ini banyak berlaku kecurian terutama kasut. Orang yang baru pulang kerja singgah solat sering kehilangan kasut. Tetapi sejak kebelakangan ini ada pegawai masjid yang menjaganya ketika solat.

Selepas solat, saya didatangi seorang lelaki Cina tua. Dari jauh kelihatannya dia seperti marah-marah. Akhirnya dia mendekati saya.

"Cik, ada sikit duit? Mau makan, dari pagi tak makan.." pintanya.


"Awak dari mana?" saya bertanyanya semula. Biasanya jika orang minta derma, saya akan bertanya dahulu latar belakangnya.

"Saya muallaf, baru sebulan masuk Islam" dia berkata sambil menunjukkan kad akuan memeluk Islam. Tertera namanya 'Ridzuan Bin Abdullah' dan tarikhnya memeluk Islam.

"Datang sini mau minta sikit derma sama itu zakat sana" sambungnya lagi.

Mungkin ke tempat saya pergi tadi rasanya. Rusydi tiba kepada saya selepas itu.

Dia menyambung, "Tadi lepas solat itu Asar, saya pergi ke pejabat masjid. Mau jumpa itu imam"

"Saya minta sikit wang untuk makan, dia kata sambil marah-marah, sini bukan tempat minta derma, kalau mau duit pergi kerja atau pergi minta sedekah." katanya sambil menggerakkan tangannya. Saya agak dia melakonkan kembali tindakan Imam tadi.

"Saya ingat, Imam kopiah putih ada pakai, solat, tapi kedekut, tengking orang. Macam ni ka orang Islam?" ayat terakhirnya itu menyebabkan saya tersedak air liur.

Saya memandang Rusydi. Dia menggelengkan kepala tanda tak tahu nak jawab apa.

"Macam nilah Ridzuan. Kamu ambil ini duit, pergi makan. Lepas tu datang pusat zakat di belakang sana, cuba minta bantuan di sana ya" saya cuba memujuknya. Saya menghulur lima ringgit, Rusydi sepuluh ringgit.

"Ok, terima kasih abang, terima kasih.." Setelah bersalaman, dia berlalu.

Saya start motorsikal saya, kemudian Rusydi membonceng. Kami berlalu dengan pelbagai persoalan di kepala.

Jika anda di situ, mungkin anda lagi banyak persoalan.. Ada komen?

28 Oktober 2010 (Khamis) 11.57 a.m,
Pinggiran Batu Caves,
Selangor.

Friday, October 22, 2010

IFF : Antara kejahilan dan provokasi


oleh : Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Tahniah saya ucapkan kepada PAS serta NGO Islam Malaysia yang peduli dan sensitif terhadap isu penghinaan terhadap pemakaian Islam. Bantahan tersebut bagi saya sudah cukup memberi tamparan serta membuka mata 'First Lady' Malaysia yang kononnya ingin mengenegahkan idea busana Muslimah.

Datin Seri Rosmah Mansur yang juga isteri Perdana Menteri nampaknya gagal menjadi penaung yang baik kepada penganjuran Islamic Fashion Festival (IFF). Dato Raja Rezza Shah yang juga Minister Councellor di Kedutaan Malaysia di Indonesia adalah pengarah dan telah menganjurkan program ini sejak 2007 lagi.

IFF yang berlangsung di Dubai pada 2008 turut dihadiri Permaisuri Agong. Tuanku Nur Zahirah anggun bertudung, sedangkan Rosmah sebaliknya

Sebelum ini, program ini pernah dianjurkan di Kuala Lumpur pada 2006, kemudian beralih ke Jakarta pada 2007. Pada tahun 2008 ia dilangsungkan di Dubai yang turut dihadiri Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

'First Lady' sebenar

IFF yang berlangsung di Dubai pada 2008 adalah festival yang wajar dipuji. Selain tidak menimbulkan kontroversi dengan kehadiran fesyen yang menghina agama Islam, 'First Lady' yang sebenar telah menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.

Apa yang boleh dilihat adalah kehadiran Tuanku dengan berpakaian muslimah lengkap bertudung sangat perlu dibanggakan. Ia sangat berbeza dengan Rosmah yang turut serta hadir, namun memalukan imej Islam dan Malaysia dengan tidak bertudung.

Apa yang boleh saya perkatakan kepada penganjuran IFF di sini baru-baru ini, niat pengarahnya untuk memasarkan idea global di dalam pemakaian busana Muslimah tidak disedari telah menghina Islam.

Saya tidak rasa bahawa Datin Seri Rosmah terlalu jahil dalam pemakaian yang menghina tersebut. Sebelum ini misalnya, di dalam satu pertunjukan fesyen di Eropah pernah menyiarkan pemakaian tersebut, dan ia mendapat bantahan seluruh umat Islam di dunia.

Dan hari ini ia berlaku di Malaysia.

Provokasi dan kejahilan

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Rosmah cuba menimbulkan provokasi terhadap sensitiviti umat Islam di Malaysia, walaupun saya tahu ia mungkin bercampur dengan kejahilannya.

Ia juga boleh saya samakan dengan penyiaran stesen televisyen TV3 iklan hari raya Aidilfitri yang bercampur-baur dengan pegangan agama lain iaitu Kristian dan Buddha. Dan ia telah disaman SKMM sebanyak Rm50,000 sejurus TV3 memohon maaf kepada seluruh masyarakat.

Persoalan yang perlu ditimbulkan di sini juga adalah siapkah sebenarnya Dato Raja Rezza Shah yang menjadi pengarah kepada IFF tersebut? Pembawaannya yang agak keterlaluan liberal wajar diperhatikan dengan sensitif, selain penganjurannya itu sering mendapat perhatian dari orang-orang seumpama Rosmah itu.

Di samping itu, rakyat juga wajar mempersoalkan berkenaan keyakinan kepada Rosmah dalam menguruskan RM111 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan yang dipimpin suaminya di dalam Bajet 2011 baru-baru ini.

Justeru, bantahan yang dibuat hari ini sangat tepat. Bukan kerana membantah penganjuran tersebut, tetapi membantah salah faham dan kekeliruan gambaran yang diberikan oleh penganjur berkenaan fesyen busana Muslimah yang sebenar.

Sangat wajar diperhatikan saranan Naib Presiden HELWA ABIM, Fadhlina Siddiq yang menyatakan "Apa yang dipotretkan kepada masyarakat dalam penganjuran IFF nyata jauh tersasar dan sangat mengelirukan masyarakat Islam sendiri".

Wednesday, October 20, 2010

Pukullah anak untuk masa depan akhlak dan negara


oleh : Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Dalam satu hadith, Daripada Amru Bin Shuib, Rasulullah s.a.w telah bersabda :

"Perintahkanlah olehmu anak-anakmu (supaya) solat tatkala berusia tujuh tahun, dan pukullah anak-anakmu apabila berusia sepuluh tahun, dan pisahkanlah tempat tidur mereka."

Falsafah pendidikan anak-anak ini sudah lama diajarkan oleh Nabi s.a.w dalam menangani permasalahan sosial dan akhlak anak-anak muda.

Sewajarnya, apa yang datang daripada Allah dan Rasul-Nya semestinya benar dan releven sepanjang zaman. Ia adakah asas atau pun dasar dalam memandu perjalanan hidup manusia dan seluruh alam.

Maksud tersirat

ibu bapa pada hari ini, dalam kaedah mendidik anak-anak, wajar memerhati dan memperdalam hadith ini.

Mengapakah Nabi s.a.w menganjurkan agar mengajar anak-anak solat bermula umur tujuh tahun? Apakah maksud supaya dipukul mereka tatkala berumur sepuluh tahun apabila tidak mahu bersolat?

Mesti di sana ada ibrah iaitu pengajaran mahupun hikmah yang tersirat yang perlu dicari.

Contoh sahabat r.a

Para sahabat r.a terdahulu dalam melihat Hadith Nabi s.a.w akan terbahagi kepada dua golongan. Golongan pertama yang akan melaksanakan langsung hadith tersebut secara zahiri (tekstual), manakala golongan kedua akan memerhati serta mentafsirkan hadith tersebut dengan mengambil kira apa sebenarnya maksud yang ingin disampaikan Nabi s.a.w.

Dalam satu peristiwa, Nabi s.a.w apabila melalui satu jalan yang terdapat sebatang pokok, Baginda akan menundukkan kepalanya. Lalu para sahabat mengikut sebagaimana apa yang Nabi lakukan.

Sehinggalah Baginda wafat, ada para sahabat yang masih lagi melakukan apa yang dilakukan Nabi s.a.w ketika hidup dahulu dengan alasan ia seakan sunnah perbuatan yang perlu dilakukan. Sedangkan sebahagian sahabat yang lain sudah meninggalkan perbuatan tersebut kerana mereka berhujah Nabi s.a.w menundukkan kepalanya kerana mengelakkan dari terlanggar dahan pokok tersebut.

Dalam hadith tadi, mungkin kita boleh menafsirkan pelbagai maksud berkenaan pendidikan anak-anak melalui solat.

Basyiran wa nazira

Dalam Islam sendiri, pendidikan mesti disalurkan kepada manusia melalui dua cara. Basyira dan nazira. Basyira adalah khabar berita yang baik atau boleh ditafsirkan sebagai lemah-lembut, kasih sayang dan bertolak-ansur.

Manakala nazira adalah khabar buruk atau maksud lainnya cerita mengenai azab siksaan yang bakal dihadapi atau kekerasan. Kedua-dua ini adalah dengan tujuan manusia itu mencapai apa yang disebut sebagai kesedaran (al-wa'yu).

Begitu jua dalam mendidik anak-anak. Solat merupakan tiang agama. Tiang yang akan menentukan bagaimanakah bangunan 'akhlak' seseorang itu. Maka solat yang akan menentukan keperibadian anak-anak itu. Justeru, pendidikan akhlak anak-anak perlu bermula dengan solat.

Para pengkaji Barat menyatakan bahawa umur dalam lingkungan tujuh hingga sepuluh tahun adalah tahap yang paling sesuai melentur akhlak anak-anak.

Mungkin ini maksud tersirat yang cuba disampaikan oleh Nabi s.a.w.

Ibu bapa seharusnya jangan takut memukul anak-anak sekiranya 'degil' atau tidak mahu bersolat, dengan syarat memukul dengan niat mendidik serta tidak mencederakan. Walaupun dibenarkan memukul, namun Islam juga menganjurkan agar tidak melampaui batas dan bersederhana.

Memukul anak-anak yang berumur lingkungan itu adalah memukul akhlaknya dalam keadaan mereka sendiri tidak sedar kesalahan meninggalkan solat.

Namun kesedaran itu akan datang apabila mereka berumur selepas lingkungan itu. Mereka mula tahu dan berfikir mengapa mereka dipaksa solat dan dipukul dan maksud sebenar solatnya.

Mencari solusi sosial remaja

Keruntuhan akhlak remaja hari ini selain daripada kerosakan sistem, ia berlaku apabila proses mendidik tidak dilakukan seawal umur muda.

Apabila para remaja sudah memasuki alam sekolah menengah, akhlaknya sudah payah dilentur dan dibentuk. Siapa remaja pada ketika itu adalah bergantung pendidikan mereka yang diterimanya ketika kecil.

Oleh sebab itu, kerajaan, ibu bapa dan semua pihak usah rasa menyesal generasi hari ini yang dilanda masalah sosial. Menyesallah kerana tidak mendidik mereka sedari kecil.

Permulaan didikan misalnya, ketika bayi sudah dijaga dan dipelihara mengikut tuntutan Islam sehinggalah kepada pra-sekolah (taska) sudah dikenalkan dengan Allah, Rasul dan agama Islam. Ia dibantu dengan qudwah ibu bapa dirumah.

Bukankah sudah ada penyelesaian ini? Mungkin tidak perlu bagi 'First Lady' untuk menganjurkan persidangan yang menelan belanja beribu-ribu untuk mencari solusi tentang masalah anak-anak. Jika ini diikuti, sudah mencukupi bagi melahirkan generasi yang soleh berakhlak, dan berkualiti untuk memimpin negara mengikut acuan Islam.

Pinggiran Batu Caves,
20 Oktober 2010
12.06 p.m