Sunday, April 27, 2008

Antara Ujian Dunia yang Susah dan Ujian Akhirat yang Senang

ilmu dan tarbiyah perlu seiring agar ketenangan dirasai

Minggu-minggu kebelakangan ini adalah waktu yang dikatakan kritikal buat mahasiswa/i seluruh negara. Ia adalah fasa peperiksaan akhir. Peperiksaan yang menilai dan menguji sejauh mana kefahaman pelajar mengenai kuliah yang dipelajari selama lebih kurang 14 minggu. Pastinya pelbagai ragam ditemui. Yang susah dengan alasannya. Yang senang dengan hujahnya. Ia berbalik semula kepada sejauh mana persediaan pelajar itu.

Saya turut merasai akan fenomena itu. Menjadi lumrah sebagai seorang pelajar, mempunyai tanggungjawab menuntut ilmu dan berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kecemerlangan dan kejayaan. Saya juga seorang pelajar. Memiliki tanggungjawab tersebut dan menjiwai perasaan tersebut.

Keluh exam
Rata-rata pelajar yang saya jumpai ramai yang menyatakan ’ketakutan’ untuk exam, banyak mengeluh bimbang akan exam yang bakal dilalui. Takut-takut gagal. Jika gagal akan menjatuhkan pointer, ’apa kata mak ayah nanti’ dan banyak lagi alasan. Ada yang kadang-kadang tension yang amat sangat. Melepaskan tension dengan melepak di kedai-kedai dan banyak aktiviti lagi yang dirasakan dapat melepaskan tekanan exam.

Ada juga yang cuba-cuba mencari soalan-soalan jangkaan (soalan spot), bertanyakan pensyarah, mengphotostate soalan-soalan lepas, berdiscuss, bertanyakan kawan lain dan macam-macam lagi. Saya katakan di sini betapa bersungguhnya mereka ini untuk memastikan peperiksaan (ujian) yang bakal dilalui berakhir dengan jayanya.

Ujian sebenar
Saya sebenarnya jujur mengatakan pelik dengan ragam sebegini. Pelik benar. Suasana ini sebetulnya berlaku sejak awal-awal lagi. Sejak bermula semester awal lagi. Kerana jika berlakunya sebegini pada awal-awal lagi, maka rata-rata mereka sudah pasti tidak merasa bimbang dan takut menghadapinya.

Satu lagi yang saya lagi pelik. Kita menganggap peperiksaan yang dilalui sebagai satu ’sijil’ untuk kita melepasi kelulusan universiti. Untuk mendapat kerja mungkin. Dan bagi melepasi ujian tersebut perlulah lulus dengan baik. Tapi kenapa mereka tak menyedari tentang ujian sebenar yang sudah ’pasti’ dan ’wajib’ dilalui.

Ramai manusia hari ini bertungkus-lumus untuk dunia, sedangkan memandang remeh soal akhirat. Lihat sajalah situasi exam yang saya ceritakan di atas. Bermati-matian untuk kejar kejayaan dunia, tapi lupa akan kejayaan akhirat. Soalnya, kita sudah pasti akan menghadapi ujian sebenar kita iaitu ’soalan’ malaikat di kubur. Soalannya sudah jelas dan diberikan. Sudah ’bocor’. Tapi mengapa kita lihat ramai lagi manusia tidak bermati-matian untuk mencari jawapan untuk soalan itu bagi membolehkan mereka ini melepasi ujian akhirat.

Muhasabah
Bukanlah saya mahu menidakkan usaha-usaha mereka. Tapi biarlah seimbang kedua-duannya. Kalau kita boleh bersungguh-sungguh untuk dunia, masakan tidak boleh untuk akhirat? Kalau kita boleh usaha macam-macam untuk lepas peperiksaan, mengapa tidak pada ujian ke akhirat, iaitu syurga Allah?

Maka muhasabahlah. Sebelum nyawa kita diambil. Sebelum kematian menjemput. Selagi diri bernafas. Selagi mata belum terpejam..

No comments: