Sunday, April 6, 2008

Takdir di Celahan Mimpi (Part 2)


Nukilan : Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

“Semalam Pak Usu kau telefon, katanya Tok Mah tenat kau tenat.” “Minggu depan kita ke rumah mereka di Kampung Tengah.” Mak Sufiah berkata suatu pagi.

“Lama dah ke sakitnya mak? Sakit apa?” soal Faiz semula. Tangannya mencatat-catat sesuatu di atas kertas. Kerja sekolah yang ditugaskan guru kepadanya dilaksanakan dengan tertib. Kadang-kadang dia menjeling ke luar rumah leka melihat kawan-kawannya bermain sepak raga.

“Entahlah, sakit tua la tu dah lama sakit dia.” Jawab emaknya. Faiz melihat ruang rumahnya. Di suatu sudut almari, tersusun pelbagai perhiasan termasuk bingkai gambar-gambar kenangan keluarganya. Dia memandang sekeping gambar ayah dan emaknya. Di pangkuan emaknya, seorang bayi sedang lena tidur. Dia pasti bayi itu adalah dirinya.

“Mak..Adik nak tanya sikit boleh tak?” Faiz bersuara selepas diam sejenak.

“Hmm..tanyalah” Mak Sufiah menunggu persoalan anak tunggalnya.

“Lama dah ayah tak balik, ayah kerja apa mak?” Itulah tanda-tanya yang membelenggu fikirannya sejak dia mula dapat mengenal kehidupannya. Memang sedari kecil dia tidak merasai belaian kasih seorang ayah. Namun, kini setelah dia agak dewasa, barulah dia sedikit mengerti.

Mak Sufiah menoleh ke arah anaknya seraya merenung belas anak matanya.

“Ayah kau...mak sebolehnya tak nak ungkit kisah silam. Dulu...ayah kau tukang kait buah di ladang di Kampung Selamat. Sepuluh tahun dia kerja dengan tokey Wong Foo. Ayah kau alim orangnya. Selalu pergi surau, Al-Qur’an tak pernah lupa dibacanya lepas solat fardhu. Tapi entah macam mana ada orang dengki dengan dia, ditaburnya fitnah...” Mak Sufiah sebak.

“Apa jadi dengan ayah, mak?” Faiz bertanya.

“Suatu hari nanti kau sendiri akan tahu, nak.” Mak Sufiah terus meninggalkan anaknya keseorangan di meja.

17 Safar 1427 Hijrah, Khamis.

Tengahari selepas solat zohor, Faiz bertandang lagi ke pondok orang tua di pinggir hutan. Masuk hari ini, sudah lima kali di ke sana. Dia rasa ada satu kelainan apabila duduk berbual-bual dengan orang tua itu. Tenang dan tenteram. Dia sendiri tidak mengerti perasaan yang membelenggu hatinya. Dia sudah merasakan orang tua itu seakan ayahnya.

“Anakku, waspadalah engkau dengan dunia ini. Di dalamnya penuh dengan tipu daya dan keseronokan.” Faiz mendengar penuh minat bait-bait perkataan yang terluah dari mulut orang tua itu.

“Anakku, kadang-kadang sesuatu yang berlaku itu, perit untuk kita terimanya. Dan kadang-kadang juga kita tak menyangkanya. Tapi sebenarnya ia dekat dengan diri kita dan penuh hikmah disebaliknya..”

“Apa maksud pak cik?” Kata-kata yang penuh erti itu mahukan tafsiran.

“Anakku, Faiz. Manusia hidup tak lama. Kaya ke, atau miskin seseorang tu. Malah berpangkat sekalipun, apabila tiba seruan Allah, pasti akan diambil nyawanya. Tiga perkara yang ikut sama kita ke kubur, keluarga, harta dan amalan. Namun hanya satu sahaja yang bisa menolong kita. Itulah amal soleh yang kita kerjakan di dunia.” Panjang dan dalam pengertian yang diungkapkan orang tua itu.

“Pak cik, betulkah dunia ini penuh fitnah?” soal Faiz.

“Benar, nak. Dunia itu sendiri fitnah. Dan kaulah anakku mesti membebaskan fitnah itu. Itu tanggungjawabmu.” Balas orang tua.

“Tanggungjawab? Macamana tu..?” tanya Faiz lagi.

(bersambung)

No comments: