Thursday, October 22, 2009

Berusrah dengan keluarga ustaz Ramadhan

catatan oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Pagi tadi jam 7.05 pagi, saya menerima sms berkenaan pemergian anakanda Ustaz Ramadhan Fitri ke rahmatullah. Tatkala saya membacanya, terkedu seketika. Baru minggu lepas saya berkunjung menziarahi Siti Fatimah di Hospital Putrajaya.

Ustaz Ramadhan walaupun dua minggu bersengkang mata menjaga anaknya, masih mampu tersenyum apabila saya dan Rusydi tiba di Masjid UPM.

“Ustaz, bersabar ya”, saya memeluk ustaz.

“Terima kasih akhi, inilah rezeki yang Allah bagi pada ana”, ujar ustaz. Bergetar suaranya.

Di matanya tergenang sedikit berkaca. Saya memahami situasi seorang ayah kehilangan anaknya.

Datang dan Pergi

Serasa baru semalam saya mengucapkan tahniah atas kelahiran Siti Fatimah kepada Ustaz Ramadhan dan Kak Khadijah. Sewaktu saya menziarahi ustaz di rumahnya dalam satu kenduri aqiqah.

Minggu lepas sahaja, dua orang yang banyak mendidik saya juga mendapat cahaya mata. Ustaz Hisomuddin dan Ustaz Shahrulzaman.Ustaz Hisom menerima orang pertama, manakala Ustaz Shahrul anak yang kedua. Tahniah saya ucapkan.

Dua hari lepas juga saya terima sms daripada sahabat seperjuangan saya, Hafiz Sabri. Katanya baru menziarahi seorang ahli jemaah yang kematian anaknya berusia 19 tahun, kemalangan jalan raya.

Betapa hidup ini menerima insan yang datang dan pergi. Melengkapi sunnatullah. Membawa kita merenungi kembali diri dan alam. Hidup tidak lama, mesti segera buat bekalan.

Mati sebagai penasihat

‘Akhi, pengajaran paling baik adalah mati.’ Sahabat saya Hafiz Sabri pernah mengingatkan dalam satu usrah saya dengannya.

‘..mati itu tidak mengenal usia muda atau tua, kita kena banyakkan amal ibadah, jangan lakukan kemaksiatan yang nampak dan tersembunyi..’

‘..hormatilah ibu bapa, kerana ketiga-tiga amalan ini memudahkan kita untuk sakaratulmaut..’

‘..dan menjadi bekalan kekal kita di kubur dan akhirat. Banyakkan menginsafi kerana kita tidak tahu adakah esok masih lagi pasti milik kita..’

Terima kasih ustaz Ramadhan, saya banyak belajar dari usrah pagi tadi. Juga kepada Siti Fatimah. Menasihati saya dalam ‘tidur’nya.

~Takziah dan Al-Fatihah kepada Allahyarhamah Siti Fatimah Binti Muhammad Ramadhan Fitri Ilyas atas pemergian jam 6.02 pagi tadi.~

No comments: