Thursday, October 15, 2009

Menggapai Nusrah daripada Allah

oleh Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Hari ini jam 5 pagi, ditemani secawan kopi. Saya hirup perlahan-lahan. Mata ketika ini menghadap laptop untuk mencatat sedikit idea setelah beberapa hari blog saya menyepikan diri.

Sambil-sambil itu, saya cuba merenung kembali suasana gerakan mahasiswa Islam di kampus. Semalam, saya sempat berusrah bersama-sama dengan ahli-ahli PMIUM di kolej kediaman kelima selepas subuh.

Oleh kerana sudah berjanji lama. Adik saya Amiruddin begitu mahu sangat diberikan sedikit pengisian kepada ahli-ahli disana, katanya sudah lama tidak ada tazkirah dari pimpinan PMIUM. Berat untuk saya tinggalkan, saya penuhi jua.

Dua perkara sahaja yang saya sebut dan tinggalkan kepada mereka. Iaitu, dua faktor paling besar yang menjadi kekuatan paling ampuh untuk lahirkan ahli gerakan yang iltizam dengan perjuangan.

Pertamanya ialah kekuatan pergantungan seseorang itu dengan Allah s.w.t dalam semua perkara. Ini yang paling penting.

Kenapa dalam gerak kerja dan perancangan strategi yang kita laksanakan, kadang-kadang mudah sangat kita rasa kecewa sekiranya ia tidak memenuhi kehendak dan matlamat tersebut. Terkadang juga kita mula menyalahkan sistem, ahli yang gagal memberikan komitmen dan pelbagai lagi.

Sebabnya, kita tak sandarkan sepenuh perancangan kita pada Allah. Tidak merasakan keputusan akhir adalah datang daripada Allah sahaja. Dan tiada sikap sentiasa meredhai apa jua yang akan diberikan oleh Allah dalam perjuangan kita.

Keduanya, saya sebut untuk menilai sejauh mana kepimpinan dan kehebatan sesorang ahli gerakan itu dengan cara kita melihatnya berjaya menyelesaikan masalah dalam kondisi dan suasana yang sangat kritikal dan terdesak.

Kerana, tugas pemimpin itu adalah tugasan selesaikan masalah orang lain. Membetulkan yang tidak benar dan memperbaiki untuk menjadi lebih baik.

Sebab itu, perlunya kekuatan rohani yang kuat dalam diri ahli gerakan. Ibadah sentiasa dijaga, amalan mesti dekat kepada Allah dan menghindarkan maksiat yang berlaku disekeliling. Barulah Allah bersedia turunkan nusrah-Nya.

Tak sedar, jam menghampiri ke 5.35 pagi. Kopi terus dihirup. 'Selepas ini mahu berjumpa Tuhan..'

No comments: