Monday, May 9, 2011

Aku dan Ikhwan: Sesuatu yang perlu dipelajari oleh gerakan


oleh: Mohd Aizat Mohd Salleh

Saya baru menamatkan pembacaan buku bertajuk Aku dan Al-Ikhwan Al-Muslimun karya Prof Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Tajuk asalnya adalah Muzakkirat al-Qaradhawi. Buku ini ialah sebuah catatan pengalaman dan perjalanan Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi selama menyertai gerakan Ikhwan Muslimin.

Sepanjang membaca karya Dr Yusuf Al-Qaradhawi, inilah penulisannya yang saya cukup kagum. Ia seumpama kisah motivasi luar biasa dan menambahkan keinginan saya untuk bertemu dengannya suatu hari nanti.

Cerita Ikhwan

Ia adalah sebuah gambaran kehidupan dan perjalanan beliau sendiri dan gerakan Ikhwan. Kita akan dapat mengenali Ikhwan dengan pengkisahan beliau. Bukan sekadar batang tubuh Ikhwan, bahkan anggotanya, perjuangannya dan tribulasi yang melandai mereka.

Sebagaimana kita mengetahui ketokohan beliau, Dr Yusuf Al-Qaradhawi adalah seorang daripada ribuan anggota yang mendapat tarbiyah Ikhwan Muslimin. Apabila anda melihat dan membaca karya-karya beliau, kita akan mengetahui bagaimana pemikirannya.

Maka pemikirannya itu diasuh dan dididik di dalam medan tarbiyah Ikhwan.

Tarbiyah

Cukup agung bagaimana kita boleh melihat Ikhwan Muslimin mempunyai keanggotaan yang sangat berkualiti. Tarbiyyah dan pengisiannya diguna-pakai sehingga kini di kebanyakan gerakan Islam di Malaysia.

Ikhwan Muslimin tidak melahirkan ahli parti atau organisasi gerakan. Bahkan lebih daripada itu. Dr Yusuf al-Qaradhawi menyifatkan Imam Hassan al-Banna tidak melahirkan generasi atau pemimpin jemaah dan gerakan.

Jika demikian, maka pemimpin yang mati dan terbunuh akan diganti. Namun, kematian Imam Hassan al-Banna tidak dapat diganti. Ini kerana beliau telah berjaya membina hubungan yang sangat rapat di dalam Ikhwan seumpama seorang guru dengan muridnya, seperti seorang syeikh dengan anak buahnya. Begitu juga hubungan seperti ayah dengan anaknya di dalam hubungan emosi.

Kematiannya juga melahirkan generasi. Di Amerika Syarikat, disebalik kegembiraan Yahudi dan sekutu terhadap gugurnya Imam Al-Banna, telah membangkitkan sasterawan Syed Qutb bagi menyambung perjuangan Ikhwan.

Walaupun Dr Yusuf al-Qaradhawi begitu sedikit bertemu dengan Hassan al-Banna hanya di Kfar Musailiha, Kfar Ziyat dan Dasuq. Itupun hanya mendengar syarahan dan ucapan beliau.

Namun, beliau (al-Qardhawi) telah melalui tarbiyah secara praktikal dan realiti melalui penahanannya apabila berlaku pembunuhan Nuqrasyi, Perdana Menteri Mesir pada ketika itu. Tatkala itu seluruh pemimpin dan anggota Ikhwan ditangkap dan disumbat di penjara.

Ahli-ahli Ikhwan

Satu kisah yang sangat menarik yang perlu diceritakan di sini, adalah bagaimana ketika Dr Yusuf al-Qaradhawi dipenjarakan bersama anggota Ikhwan lain, mereka telah mengubah penjara daripada sebuah kediaman yang kosong dan sepi kepada sebuah masjid!

Bersama-sama beliau adalah ulama terkemuka, Sheikh Sayyid Sabiq, Sheikh Muhammad al-Ghazali, Ustaz Abdul Badi Saqr. Beliau juga sepenjara bersama Mehdi Akif, Mursyid Ikhwan terkini.

Penjara tersebut berubah menjadi pusat kegiatan anggota Ikhwan. Halaqah ilmu diadakan yang mana Sheikh Muhammad al-Ghazali telah mengajar Sirah Nabawiyah, manakala halaqah fiqh dianjurkan oleh Sheikh Sayyid Sabiq. Anggota Ikhwan telah menyuburkan tanah-tanah yang kering gersang dengan tarbiyah daripada Ikhwan.

Politik dan kenegaraan

Di dalam buku ini juga diceritakan secara terperinci bagaimana Ikhwan berhadapan dengan trubulasi dan cubaan yang begitu dahsyat.

Selepas berlaku pembunuhan Perdana Menteri Mesir, undang-undang darurat dikenakan kepada rakyat. Ikhwan Muslimin telah diisytiharkan sebagari 'haram' dan segala anggotanya dicari atas alasan bertanggungjawab ke atas pembunuhan Nuqrasyi.

Walaupun Imam Hassan al-Banna selepas itu mengeluarkan kenyataan penafikan pembabitan anggota Ikhwan dalam pembunuhan tersebut, namun tidak diendahkan. Kemuncak kepada tekanan itu, Imam Hassan al-Banna dibunuh.

Oleh hal yang demikian, saya berpendapat gambaran gerakan Ikhwan hari ini adalah kesan daripada perjalanan yang begitu jauh yang mereka lalui. Pembunuhan demi pembunuhan pemimpinnya serta dipenjarakan menjadikan gerak langkah Ikhwan terpaksa disembunyikan demi mencapai kebaikan yang lebih besar iaitu meluaskan tarbiyah.

Sehinggalah kepada revolusi yang berlaku baru-baru ini, barulah Ikhwan Muslimin dilihat bangkit menyuarakan perjuangan dengan melibatkan diri di dalam pilihan raya melalui platform parti al-'Adalah wa al-Huriyyah (Parti Keadilan dan Pembebasan).

2 comments:

nzlaa86 said...

buku ni sangat menarik.baru lebih mengenali ikhwanulmuslimin & prof.dr al qaradhawi.mereka pejuang hebat kerana telah banyak diuji.

Mohd Aizat Bin Mohd Saleh said...

Sejarah perjuangan dan pergerakan mereka yang mencorak bagaimana perjuangan masa depan mereka.

Satu pengalaman yang menarik.

Mohd Aizat