Wednesday, May 18, 2011

Bersedia ke Putrajaya tanpa Anwar


oleh: Mohd Aizat Mohd Salleh

ANALISIS : Keputusan tuduhan Kes Liwat II kepada Dato Seri Anwar Ibrahim pada 16 Mei 2011 telah menyaksikan beliau diperintah oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah agar membuat pembelaan.

Membuat pembelaan di dalam mahkamah bermaksud, saksi serta bukti yang dibawa oleh pihak pendakwaraya dinilai dari sisi dan pertimbangan Hakim sebagai berjaya membuktikan perkara tersebut (liwat) berlaku.

Walaubagaimanapun, Dato Seri Anwar berpeluang membuat pembelaan yang bakal memperlihatkan sama ada saksi-saksi serta bukti pendakwa raya berjaya 'dipatahkan' atau pun tidak.

Pasukan peguam bela Karpal Singh nampaknya berpeluang besar untuk berhujah. Jika diteliti sorotan dakwaan serta tampilan saksi serta bukti, banyak yang boleh diragukan. Misalnya bukti kehadiran Saiful Bukhari Azlan ke kondominium masih lagi terlalu samar.

Pun begitu, keputusan akhirnya bakal ditentukan oleh Hakim. Dan seperti yang kita sedia maklum, institusi kehakiman hari ini sudah banyak dicemari dengan campur tangan politik parti pemerintah.

Dengan keputusan tersebut, setidak-tidaknya sesuatu perlu dilakukan oleh Pakatan Rakyat.

Apa yang boleh dibuat pertimbangan dan jangkaan adalah, bagaimanapun perbicaraan serta keputusan, Dato Seri Anwar - sebagai pengerusi Pakatan Rakyat - akan ke penjara.

Sejarah telah membuktikan, pada tahun 1998, beliau telah dituduh dan dipenjarakan atas dakwaan meliwat bekas pemandu isterinya. Walaupun beberapa tahun selepas dipenjara, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa tuduhan ke atas beliau adalah silap.

Pada 2008, beliau sekali lagi dituduh meliwat pembantu peribadinya. Seterusnya - tuduhan yang bakal menunggu - adalah melakukan seks melalui video seks yang ditayangkan trio Datuk T.

Siapa 'stateman' selepas Anwar?

Persoalannya, jika Dato Seri Anwar Ibrahim ke penjara, siapakah yang akan menggantikan beliau memimpin Pakatan Rakyat?

Memimpin Pakatan Rakyat akan datang boleh ditafsirkan sebagai siapa yang bakal mengetuai PR menghadapi pilihan raya umum ke-13. Dan yang lebih penting adalah siapakah yang bakal menjadi Perdana Menteri seandainya PR ditakdirkan menguasai Putrajaya?

Jika dinilai secara umum, barisan pemimpin yang boleh diposisikan sebagai 'stateman' atau negarawan di dalam Pakatan Rakyat hanyalah Anwar seorang. Hujahnya, beliau pernah menjadi orang nombr dua kerajaan Malaysia, dan semestinya pernah melibatkan diri dalam arena nasional dan antarabangsa. Beliau juga pernah menjadi menteri Kewangan, iaitu tugas menguruskan kewangan dan ekonomi negara.

Walaupun kita boleh berkata, pemimpin perlu diberi peluang. Namun, kita melihat realiti bagi menduduki jawatan tersebut.

Apa yang pasti DAP tidak berpeluang untuk menempatkan pemimpinnya sebagai orang nombor satu Pakatan Rakyat. Ini kerana - berasaskan realiti - Malaysia dan PR, DAP adalah parti paling minoriti suaranya. Yang boleh dilihat, bagaimana PAS dan PKR pula.

PAS

Tidak dinafikan, PAS punyai beberapa pemimpin yang berkaliber dan berpotensi memiliki ciri-ciri kepimpinan negarawan, walaupun secara pengalamannya masih belum terbukti. Misalnya Datuk Husam Musa, yang pernah menjadi ahli parlimen serta menjawat exco perancang ekonomi negeri Kelantan. Sekurang-kurangnya beliau berjaya membawa kemajuan ekonomi kepada Kelantan walaupun sumber kewangan terhad kerana dinafikan wang royalti Petroleum.

Dato Seri Nizar Jamaluddin, AJK PAS Pusat juga berpotensi. Dengan pengalaman beliau memimpin Perak - sebagai Menteri besar walau beberapa bulan - telah berjaya meningkatkan sokongan rakyat bukan Islam di negeri dan peringkat persekutuan.

Presiden (Dato Seri TG Hj Hadi) dan Mursyidul Am (Datuk Nik Abdul Aziz) juga punyai pengalaman dan autoriti, namun faktor usia sedikit sebanyak menghalang gerakan itu menjadi lebih agresif di Putrajaya kelak.

PKR

Dari sudut PKR pula, Setiausaha Agungnya Saifudin Nasution lebih berpotensi mendepani dari aspek politik. Begitu juga di dalam Dewan Rakyat - sebagai MP Machang - beliau juga berjaya menganalisa dengan tepat dan membangkitkan isu-isu ekonomi dan urus tadbir kewangan negara.

Begitu juga isteri Dato Seri Anwar, Datin Seri Wan Azizah. Dengan sedikit pengalaman sebagai isteri Anwar. Namun, sejauh mana beliau boleh ke hadapan, adakah faktor gender (wanita) mungkin menjadi halangan terbesar?

Mungkin juga Menteri Besar Selangor hari ini Tan Sri Khalid Ibrahim, boleh ditonjolkan ke hadapan berasaskan pengalaman memimpin Selangor. Namun, beliau dilihat agak 'lemah' menangani isu-isu yang berkait politik di Selangor.

DAP

Dari kalangan pemimpin DAP, ada yang memiliki kredibiliti. Misalnya setiausaha Agungnya Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang. Pengalaman mentadbir Pulau Pinang boleh menjadi modal dan kredit besar. Disamping pakar ekonominya Tony Pua dan yang lainnya.

Namun, seperti yang disebutkan, secara realiti agak sukar pemimpin parti ini menduduki tempat nombor satu. Walaupun boleh, namun kecaman pasti akan berlaku dari kalangan parti lawan.

Apa peluang?

Justeru itu, PR perlu memikirkan solusi dengan segera. Misalnya dengan segera menamakan pengganti Anwar agar pemimpin dan penyokong akan bersedia dengan matlamat bergerak ke Putrajaya.

Isu Kerajaan Perpaduan (PAS), isu sama ada benar atau tidak Anwar adalah pelaku video seks dan isu kes perbicaraan liwat II, tidak boleh menjadi 'kemuncup' yang menggoyahkan pakatan Rakyat. Hasrat memikirkan semula kedudukan di dalam Pakatan Rakyat oleh mana-mana parti komponen seharusnya tidak timbul langsung.

Bagi PAS, medan muktamar pada bulan Jun ini sebagai persediaan membentuk 'kabinet' Putrajaya, iaitu dengan menampilkan pemimpin yang berkaliber dan sesuai ditempatkan di sana serta menghadapi PRU-13.

Rakyat sudah yakin dengan PR. Isunya banyak untuk ditimbulkan. Banyak juga perkara yang boleh menjadi asbab kerajaan BN hari ini jatuh. Namun persoalannya adakah PR bersedia ke Putrajaya?

2 comments:

pemuda agama said...

Salam..

umumnya sy bersetuju,perlunya 'stateman' yg baru dlm PR..perlu ada bayangn pgganti beliau dr sekarang..

namun dlm PAS,cdgn saudara penulis,Husam dan Nizar bukanlah dr kpimpinan ulama' yg umum mngetahui Pas mesti didokongi figure ulama'..Husam juga hanya akan brtanding ajk pas pusat shja utk muktamar pas akan dtg.jd,agak susah Husam n Nizar utk dinaikkan tanpa jawatan yg tinggi dlm Pas itu sendiri..Tidakkah Ust Nasa atau Mat Sabu lbih layak?Dato' Mustafa Ali S/U Agung yg masih dilantik wlaupun sudah berumur (brbanding S/U Agung PKR n DAP), msti ada klebihan yg mnyebabkan bliau msih kekal dlm kpimpinan era skrg? apa pandangan pribadi pnulis tntg hal ini?

dlm PKR pula,memg diakui Saifudin Nasution ada kredibiliti, nmun imej Saifudin sdikit tercemar slps pmilihan PKR yg lepas, akibat bnyk aspek ketelusan yg dipertikaikn ramai ahli bwhn..cthnya Cikgu Bard yg tewas pmilihan Ktua AMK.
knpa penulis tidak mngatakan Azmin Ali yg layak, dia Timb. Pres PKR skrg? adakah pnulis juga merasakn dia tidak ssuai?

dlm DAP,sy bersetuju,sebab DAP telah menonjolkan figure2 muda dan pimpinan pelapis mereka dgn baik. sudah diuji dan teruji dgn pendedahan menggalas jawatan trtinggi parti dan negeri (pulau pinang) kpd golongan muda.

skdr pandangan, dan mgharap penulis mngulas dalam entry yg seterusnya akn dtg..

-rakyat yg mahukan perubahan selepas semua harga barang dan minyak naik!!

Mohd Aizat Bin Mohd Saleh said...

Saudara Faris,

Berkenaan persoalan ulama/profesional tidak timbul di dalam PAS kerana mereka semakin matang, tinggal lagi bagaimana pemimpin ini memainkan peranan meyakinkan ahli-ahli parti mereka.

Adalah lebih wajar mencari pemimpin yg diterima rakyat, Cadangan Dato' Mustafa Ali kurang sesuai memandangkan beliau sendiri ditolak oleh rakyat di negerinya (kalah dalam PRU-12).

Ramai sebenarnya tokoh pimpinan muda yang berpotensi, tinggal lagi sama ada mereka diberi tempat atau tidak, itu persoalannya sekarang.