Wednesday, May 11, 2011

Hospital Islam tanggungjawab 'Daulah Islamiyah' para doktor

Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) adalah salah satu hospital yang ada menerapkan ciri keislaman. Persoalannya sebanyak mana?

oleh: Mohd Aizat Mohd Salleh

Ada sesuatu yang saya terfikir apabila bersama-sama para doktor di dalam program semalam.

Mereka adalah bakal doktor-doktor Islam yang akan ditempatkan di hospital-hospital. Saya teruja apabila mendengar hasrat mereka suatu hari nanti akan tertubuhnya sebuah hospital Islam. Hospital di mana keseluruhannya menjalankan pentadbiran dan nilai-nilai Islam sepenuhnya.

Apabila saya merujuk kembali tulisan Dr Yusuf al-Qaradhawi, di dalam buku Fiqh al-Aulawiyyat, beliau telah menyebutkan berkenaan kepentingan ini.

Hari ini masyarakat ingin melihat bagaimana Islam meletakkan nilainya di dalam bidang perubatan. Orang bertanya di mana Islamnya pada aspek perubatan. Apakah perubatan Islam itu adalah semata-mata kaedah perawatan Islam seperti yang dilakukan Darussyifa dan sebagainya?

Keperluan mendesak

Sebenarnya jika kita renung, keperluan kepada para doktor dan pengamal perubatan berfikrah Islam begitu mendesak hari ini.

Buktinya, hari ini masih lagi banyak doktor lelaki yang menjadi penyambut bayi yang baru lahir di hospital (doktor bersalin). Lebih malang doktor lelaki bukan Islam. Begitu juga dalam aspek pembedahan. Lebih nyata kita melihat ramai para jururawat yang tatacara pemakaiannya tidak melambangkan Islam walau dia beragama Islam.

Ya, kita melihat mungkin mustahil untuk pergi sejauh itu. Bolehkah jururawat itu berpakaian bercirikan Islam? Longgar? Bertudung?

Adakah kita selesa dirawat oleh jururawat seperti ini?

Berapa ramai doktor hari ini yang mampu berjaya menerapkan aqidah yang benar kepada pesakitnya yakni meletakkan seluruh pergantungan kepada Allah tatkala pesakit berhadapan dengan situasi-situasi genting seperti tiada harapan sembuh.

Bagaimana seorang doktor itu memahami fiqh (faham Islam) yang sebenar di dalam amalan perubatannya tatkala berhadapan dengan kewajipan solat ketika sedang pembedahan? Atau ketika mana satu-satu ubat itu memiliki campuran bahan yang tidak halal yang akan diberi makan kepada pesakitnya?

Semua ini memerlukan doktor mahupun jururawat yang benar kefahaman Islamnya.

Wujudkan Daulah Islamiyah di Hospital

Jika kita kembali kepada prinsip asas dalam gerakan Islam, kita mahu mewujudkan kembali daulah Islamiyyah (negara yang bercirikan Islam) di dalam negara. Bermula individu seterusnya berakhir kepada pemerintahan.

Oleh itu, para doktor yang ditarbiyyah ini, saya kira bertanggungjawab membina Daulah Islamiyyah mereka di hospital, dengan mewujudkan tatacara dan urustadbir perubatan yang bercirikan nilai Islam sebenar. Mereka harus mentadbir perubatan itu sebagaimana mentadbir negara dengan Islam.

Inilah keutamaan para doktor kita yang berfikrah. Malah pada hari ini lebih-lebih lagi keperluannya kepada Islam.

Peringkat awal, perlunya memperbanyakkan kaderisasi para doktor yang berfikrah sebelum melakukan proses 'Islamisasi' keatas hospital dan perubatan. Sekurang-kurangnya kita berharap perlu memiliki pentadbir dan menteri perubatan yang pakar dalam bidangnya dan berfikrah Islam.

No comments: